Justeru, pada masa hadapan lebih banyak menara pemancar telekomunikasi akan dibina tetapi mengikut garis panduan ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) termasuk jarak antara rumah.

Demi masa depan generasi akan datang, syarikat infrastruktur telekomunikasi bersepadu, Edotco Group mengambil langkah drastik bagi mengurangkan pelepasan karbon yang memberi impak negatif kepada alam sekitar.

RADZIAH MOHD. DAUD
RADZIAH MOHD. DAUD 

Pelbagai langkah yang diambil ini merangkumi struktur gentian karbon, mengurangkan penggunaan keluli, reka bentuk inovatif dengan susun atur yang lebih kecil, penggunaan buluh sebagai material alternatif, penggunaan grid sebagai sumber tenaga utama dan menggunakan sumber tenaga hijau.

Kesemua langkah yang diambil ini boleh mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 44 peratus bagi setiap tapak pada 2017.

Catatan ini dicapai setahun lebih awal berbanding jangkaan dan melepasi sasaran yang ditetapkan sebanyak empat peratus berbanding tahun tersebut.

Menurut Pengarah Kejuruteraan dan Teknologi, Kumpulan Edotco, Ir. Kumari Nalini, mengejar kemajuan digital kini menjadi agenda utama sesebuah negara, namun permintaan kepada penggunaan infrastruktur telekomunikasi yang kurang memberi impak kepada alam sekitar turut meningkat.

“Melestarikan alam sekitar adalah teras utama yang kami pegang di samping menjadi garis panduan untuk menjalankan aktiviti perniagaan seharian.

“Selari dengan peningkatan permintaan terhadap infrastruktur telekomunikasi moden, kami akan memastikan teknologi yang digunakan dalam urusan pembinaan mesra alam sekitar,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar mengenai Agenda Mengekalkan Bahan Api Negara 2030 di ibu negara baru-baru ini . Hadir sama Pengurus Besar Kanan Jabatan Pensijilan dan Pengujian Produk Sirim QAS International, Basori Selamat dan Ketua Seksyen Perhutanan, Pertanian dan Makanan Sirim QAS, Radziah Mohd. Daud.

Mengulas lanjut, Edotco Group yang merupakan anak syarikat kepada Axiata Group Bhd. akan memperkenalkan menara telekomunikasi yang diperbuat daripada buluh di Malaysia pada hujung tahun ini.

“Sebagai permulaan, edotco akan membina sebuah menara telekomunikasi buluh bagi tempoh percubaan sebelum merancang membina menara buluh yang lain.

“Projek menara telekomunikasi berasaskan buluh mula dilaksanakan di Bangladesh pada 2017 dan ia dilihat memberi kesan positif khususnya dari aspek kos dan bahan binaan,” katanya.

Menurut Kumari, penggunaan buluh bagi membina menara telekomunikasi juga banyak membantu dalam mengurangkan sehingga 70 peratus pelepasan karbon sepanjang proses pembinaan menara itu.

Katanya, untuk tujuan itu syarikat akan bekerjasama dengan peladang tempatan bagi mendapatkan buluh tempatan dengan kualiti terbaik supaya dapat menampung dan menjadi menara telekomunikasi yang kukuh sama seperti besi.

“Selain itu, beberapa penyelidikan juga dijalankan bersama Universiti Malaya (UM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk menggunakan buluh dari jenis semantan.

“Di Malaysia kami juga menggunakan struktur gentian karbon untuk sembilan menara telekomunikasi dan sekiranya dibina dengan buluh dapat memberi pengurangan kos pembinaan menara antara 25 hingga 30 peratus,” katanya.

Menurut Kumari, pembinaan menara telekomunikasi menggunakan buluh dimulakan di Dhaka, Bangladesh pada 2017 oleh Edotco Group dan sehingga kini terdapat 15 menara telekomunikasi buluh di negara itu.

“Menerusi inovasi yang dijalankan, industri dapat mewujudkan teknik, proses dan produk baharu yang dapat menyumbang kepada kesan alam sekitar yang lebih baik seperti mengurangkan risiko perubahan cuaca,” katanya. Dalam pada itu, Radziah memuji usaha syarikat berkenaan dan berharap lebih banyak syarikat mencontohi usaha yang dilakukan oleh Edotco.

“Kesedaran mengenai pembangunan lestari telah meningkat tetapi masih di peringkat rendah dan kita memerlukan polisi dan pendidikan yang kuat untuk memberi penekanan mengenai pentingnya kelestarian alam,’’ ujarnya.