Masalah habitat yang diganggu menjadikan spesies flora dan fauna tidak lagi mampu memastikan kemandirian di habitat asal menjadikan populasinya semakin berkurangan atau mungkin ada yang pupus.

Bagi mengatasi masalah tersebut, usaha pemuliharaan antara cara penyelesaian terbaik bagi memastikan spesies berkenaan dihantar pulang ke tempat asalnya selepas dibiakkan dalam persekitaran luar habitat.

Aquaria KLCC (Aquaria) sebagai contoh melihat akan keperluan tersebut bagi memastkan dua spesies yang terancam dan Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa Mengenai Pemuliharaan Semula Jadi (IUCN) dapat dbiakkan sebelum dilepaskan ke habitat asal.

Dalam hal ini, Aquaria mengadakan kerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi membiakkan Malayan Jungle Nymph (Heteropteryx dilatata) atau dikenali juga sebagai Malayan Walking stick.

Serangga tersebut dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

Aquaria berjaya menjalankan satu usaha konservasi ex-situ bagi hidupan spesies serangga daratan pertama dalam akuarium pada 2017.

Pada 2018, Perhilitan telah mengadakan sesi lawatan audit spesies di Aquaria dan sedia maklum akan program pembiakan dalam kurungan (captivity breeding).

Justeru, Perhilitan menyatakan sokongan terhadap usaha tersebut dan mencadangkan agar melakukan pelepasan kembali ke habitat asal serangga tersebut pada masa yang bersesuaian.

Aquaria mencapai kata sepakat dalam persetujuan dan bimbingan dari Perhilitan untuk melakukan program pelepasan yang diadakan di Port Dickson, Negeri Sembilan sempena Hari Bumi Sedunia 2019, baru-baru ini.

Objektif program pelepasan adalah mengembalikan serangga tersebut yang telah dibiak dan dipelihara di Aquaria ke lokasi asal spesies, selain membantu dalam menjamin kelestarian ekosistem agar dapat memastikan kelangsungan spesies pada masa akan datang.

Kawasan yang terpilih adalah Hutan Simpan Sungai Menyala, Port Dickson yang merupakan hutan simpan dilindungi dan di bawah perhatian perhilitan sekali gus membantu meningkatkan peluang hidup dengan faktor minimum ancaman habitat asal serangga tersebut bersama bekalan keperluan asas seperti makanan dan minuman. Serangga itu dilepaskan pada ranting atau dahan pokok yang bersesuaian di dalam hutan.

Selain serangga tersebut, satu lagi spesies terpilih adalah bamboo shark atau yu pasir yang dilepaskan di perairan Port Dickson.

Mengulas mengenai program tersebut, Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Aquaria KLCC, Datuk Simon Foong berkata, program tersebut amat signifikan dan bermakna dalam usaha melindungi dan memulihara spesies terancam.

Untuk tujuan itu, pihaknya menjalin kerjasama rapat dengan pelbagai pihak dan pada kali ini Perhlitan dan Jabatan Perikanan serta Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) membantu dalam mencapai hasrat tersebut.

“Kami telah bekerjasama rapat dengan perhilitan sejak beberapa tahun lepas dan pada kali ini usaha pemuliharaan diadakan menerusi program pelepasan spesies serangga Malayan Jungle Nymph ke habitat asalnya selepas dibiakkan di Aquaria,” ujarnya.

Kajian ke atas biak baka serangga telah diadakan sebelum ini dengan bantuan perhilitan dan ia adalah kerjasama yang pertama seumpamanya melibatkan kedua-dua pihak.

Hal yang sama juga dilakukan ke atas spesies yu pasir iaitu kajian biak baka telah dijalankan selama 10 tahun dan apabila mencapai saiz besar dilepaskan ke habitat asalnya.

Menurut Simon, program tersebut penting bagi menunjukkan kepada generasi muda mengenai kepentingan flora dan fauna di negara ini.

Ditanya kenapa yu pasir dipilih untuk program tersebut, Simon berkata, spesies tersebut membiak dengan pantas dan mudah-menyimpannya selain populasinya sudah berkurangan.

Justeru hasil bimbingan Perhilitan, pihaknya berharap program tersebut mencapai matlamatnya.

Pihaknya berharap program seumpama itu membantu memberi kesedaran kepada pengunjung Aquaria mengenai hasrat murni pihaknya dalam memastikan kemandirian spesies terancam.

“(Bahan) pameran kami terdiri daripada 70 peratus haiwan marin dan 30 peratus lagi serangga,’’ ujarnya. Katanya, Aquaria memperuntukkan dua peratus daripada perolehannya untuk program pemuliharaan.

Kerjasama dengan penyelidik tempatan

Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan akan mengadakan kerjasama dengan penyelidik dari universiti tempatan untuk meneruskan kajian mengenai kemandirian serangga yang dilepaskan di Hutan Simpan Sungai Menyala, Port Dickson bagi melihat perkembangannya dalam persekitara semula jadi.

Pengarahnya, Salim Aman berkata, kajian itu perlu bagi memantau sama ada serangga tersebut boleh bertahan dan hidup dalam persekitaran semula jadi berbanding dalam persekitaran terkawal semasa dalam proses biak baka di Aquaria KLCC.

“Kerja-kerja pelepasan ini memberi nilai tambah kepada hutan dan meningkatkan jumlah populasi spesies di Hutan Simpan Sungai Menyala.

“Hutan ini berkeluasan 1,280 hektar yang statusnya sebagai kawasan perlindungan sepenuhnya untuk pemuliharaan biodiversiti tumbuhan asli.

“Hutan ini masih dilindungi sebagai hutan dipterokarpa yang masih dikekalkan sedangkan kawasan lain telah dimajukan sebagai kawasan pertanian,” ujarnya,

Jabatan itu kata beliau, amat mengalu-alukan dan menghargai usaha Aquaria yang memilih hutan simpan tersebut sebagai lokasi pelepasan serangga.

Menurut beliau, program pelepasan spesies ke habitat asalnya merupakan satu kaedah pemuliharaan yang baik.

Sementara itu Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun menyifatkan program pelepasan spesies flora dan fauna itu perlu diberi perhatian dalam usaha memperbanyakkan dan mempelbagaikan spesies di negara ini.

“Kami juga bekerjasama dengan agensi lain seperti JPSM dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi melepas spesies lain.

Spesies terancam ini perlu dilindungi dan diperbanyakkan sebab ia jarang ditemukan lagi tetapi penting dalam kitaran hidup biologi hutan.