Dr. Ahmad Ismail

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Dr. Ahmad Ismail berkata, isu harimau di Terengganu bukanlah perkara baharu kerana banyak terutama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) serta pihaknya telah memberikan perhatian tentang konflik manusia harimau.

``Kebetulan kita akan menyambut Hari harimau Sedunia dan kempen Selamatkan Harimau Malaya maka kejadian semalam mesti diambil tindakan segera terutama dari segi pengurusan habitat.

Perhilitan perlu panggil segera pakar, aktivis harimau dan jabatan kerajaan terlibat untuk berbincang menyelesaikan masalah konflik, pengurusan habitat, program Selamatkan Harimau Malaya di Terengganu,‘‘ ujarnya.

Beliau mengulas kejadian dua ekor harimau yang merayau dan mencetuskan kegemparan dalam kalangan penduduk di Kampung Besol, Bukit Besi, Dungun Terengganu pagi semalam.

Beliau menegaskan semua pihak perlu bekerjasama dan mengambil tindakan yang perlu dengan segera memandangkan populasi harimau malaya di Semenanjung semakin berkurangan disebabkan pemencilan habitat, kekurangan makanan kesukaan, aktiviti manusia semakin menghampiri dan bertindih dengan habitat harimau atau mungkin disebabakan pengurusan habitat harimau yang kurang cekap.

Beliau berkata, populasi harimau di habitat liar di Semenanjung kini tidak sampai 200 ekor.

Harimau Malaya adalah salah satu daripada enam spesies harimau di dunia dan hanya dijumpai di Semenanjung Malaysia. Kini Harimau Malaya telah disenaraikan sebagai sangat terancam di bawah Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa Mengenai Konservasi Semula jadi (IUCN) yang bermaksud spesies itu berdepan dengan risiko sangat tinggi untuk pupus.

Harimau dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) sebagai spesies yang dilindungi sepenuhnya.

Menurut Ahmad percanggahan polisi kerajaan perlu dielakkan seperti program Selamatkan Harimau Malaya, maka habitat mereka perlu dijaga dan dilindungi, tiada program penerokaan atau penebangan hutan dan penanaman pokok lain untuk komersial.

Sementara itu Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya sedang mengesan lokasi terkini harimau berkenaan.