Dalam lawatan tersebut, beliau mendengar taklimat tentang KHUM daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia, dan pihak yang terlibat dengan aktiviti ekopelancongan. Dalam perbincangan itu, banyak maklumat dapat dikongsikan antara jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan usahawan ekopelancongan. Dengan melihat sendiri keunikan KHUM, sudah tentu beliau memahami dan menghayati keindahan alam semula jadi KHUM serta isu sebenar kenapa hutan perlu diwartakan sebagai taman negeri.

Beliau lebih memahami akan keperluan KHUM apabila melawat beberapa projek pembangunan tertier Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kampung Banggol Basin, Jenun, program bersama usahawan padi berskala besar di Kampung Kubang Anak Gajah, Pendang dan kawasan berkaitan yang menerima bekalan air dari KHUM. Tanggung jawab beliau dalam menerajui MADA nampak jelas melalui lawatan ke kawasan strategik sumber air dan pembangunan kawasan pertanian terbabit.

Sepanjang menyusuri Sungai Muda, antara yang menarik pemerhatian adalah kehijauan spesies flora, kesan gajah melintas sungai dan burung enggang yang terbang pada masa tertentu. Sebanyak 10 spesies burung enggang dapat dilihat di KHUM. Daripada kesannya, dapat dianggarkan populasi gajah sangat signifikan dalam pengurusan hutan dan tarikan pelancong.

Pengurusan habitat sangat penting terutama kawasan gajah mencari makanan dan mandi. Spesies rumpai yang sesuai untuk makanan mungkin boleh diuruskan di habitat haiwan itu. Sebagai haiwan yang bersaiz besar, gajah memerlukan kawasan yang cukup untuk makan dan sungai untuk mandi. Peluang ini boleh dimanfaatkan untuk aktiviti ekopelancongan.

Journal of Tropical Forest Science 2014 menceritakan tentang haiwan herbivor besar dan jenut (sira) di Ulu Muda. KHUM terkenal dengan jenut dan kawasan berumput di kawasan Sungai Muda membuatkan ia kaya dengan herbivor besar seperti gajah dan tapir. Jenut yang penting di sekitar Sungai Muda ialah Sira Air Hangat, Sira Keladi dan Sira Bongor. Sira Air Hangat yang panas suhunya mencecah antara 40 hingga 60 darjah Celcius.

Sira ialah tempat terdapat kepekatan tinggi mineral secara semula jadi seperti natrium, kalsium dan magnesium yang keluar dari tanah atau batu. Lebih 12 sira direkodkan di sepanjang Sungai Muda.

Di bawah Seksyen 85 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) untuk Semenanjung, sira dan kawasan sekitarnya dilindungi termasuk tanah dan tumbuhan untuk memastikan tarikan dan keselamatan hidupan liar.

KHUM sangat penting sebagai sumber air untuk kegunaan negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Berdasarkan MADA taburan hujan di Tasik Pedu pada tahun lalu adalah 2,095.5mm, Muda (2,273mm ) dan Ahning (1,685.5mm).

Hujan dilaporkan paling banyak di Pedu pada bulan Mei (454mm), September (276.5mm) dan Oktober (420mm) manakala rendah pada bulan April, Jun, Julai dan Ogos dengan nilai masing-masing adalah 74.5mm, 103.5mm, 91.5mm dan 74.5mm.

Kawasan Tasik Muda juga menunjukkan corak curahan hujan hampir sama iaitu tinggi pada bulan Mei, September 
dan Oktober iaitu masing-masing 511.5mm, 345.7mm 356.5mm.

Hujan lebih rendah dicatat pada bulan Februari (44.5mm), Mac (91.0mm) dan April (100mm) manakala pada bulan Jun (126.4mm), Julai (180.5mm) dan Ogos 114.5mm.

Kawasan Tasik Ahning 
pula mendapat curahan hujan tinggi pada bulan Mei (246.5mm), September (266.5mm) dan Oktober 299mm manakala kurang curahan hujan pada bulan Februari (1mm), 
Mac (90mm) dan April 67.5mm.

Curahan hujan pada Jun, Julai dan Ogos pula masing-masing 78mm, 79.5mm dan 88mm berbanding purata di seluruh negara sebanyak 2,000mm setahun.

KHUM boleh dikatakan menerima curahan hujan yang tinggi. Air dari KHUM memberikan makanan asas beras negara, kekayaan Pulau Pinang melalui industri dan pelancongan serta Langkawi dalam pelancongan. Maka, wajarlah Kedah mendapat pampasan sepatutnya bagi mewartakan KHUM sebagai taman negeri.

Lawatan Mukhriz pada kali ini dapat memberi pengetahuan kepada beliau secara langsung tentang potensi KHUM untuk dijadikan kawasan pendidikan alam semula jadi, penyelidikan flora dan fauna di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta destinasi ekopelancongan utama di negeri Kedah.

Dengan terwartanya KHUM sebagai taman negeri, secara langsung pembangunnan ekonomi di sekitar KHUM akan meningkat. Seiring dengan itu masyarakat tempatan perlu dilibat sama dengan panduan agensi kerajaan dan NGO seperti MNS.