Contoh terbaik adalah penggunaan plastik dalam kehidupan seharian terutama dalam pembungkusan makanan. Plastik bukan sahaja berbahaya kepada manusia, mala hidupan marin apabila tidak diuruskan dengan baik dan akhirnya masuk ke laut. Banyak kes kematian penyu, burung laut dan ikan paus disebabkan plastik dilaporkan dalam media massa.

Tema sambutan IDB tahun ini adalah `Kepelbagaian Biologi Kita, Makanan Kita, Kesihatan Kita’. Kepelbagaian biologi merupakan kepelbagaian benda hidup di muka bumi sama ada flora dan fauna di pelbagai habitat. Ia merupakan komponen penting dalam alam semula jadi yang memastikan kemandirian spesies manusia dengan menyediakan makanan, bahan api, tempat tinggal, ubat-ubatan, keharmonian hidup dan lain-lain.

Kekayaan kepelbagaian biologi bergantung kepada keadaan iklim dan kawasan tertentu. Malaysia merupakan negara yang penting dengan iklim sesuai untuk kepelbagaian biologi yang tinggi dan menyokong kepada kekayaan peringkat dunia.

Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) melaporkan yang hutan hujan tropika di Semenanjung merupakan salah satu ekosistem yang sangat kompleks di dunia.

Kewujudannya sejak berjuta-juta tahun menjadi habitat kepada 2,500 spesies pokok, 200 spesies mamalia, 600 spesies burung, 110 spesies ular, 80 spesies cicak dan ribuan serangga.

Hasil kajian dan ekspedisi anjuran JPSM, universiti tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mungkin bilangan spesies tumbuhan dan haiwan terkini melebihi yang dilaporkan.

Bilangan yang ditunjukkan itu sudah cukup tinggi bagi sebuah negara tropika. Maka adalah sangat wajar untuk pihak bertanggung jawab menjaga kepelbagaian biologi negara. Pembangunan yang tidak terancang boleh memberi kesan kepada kepelbagaian biologi termasuk kepupusan.

Permintaan kepada kajian berkaitan kepelbagaian biologi menjadi amat mendesak apabila melihat kepada permintaan tinggi manusia kepada kehidupan mewah, berpendapatan tinggi, peluang pekerjaan dan kediaman.

Dikatakan lebih 99 peratus daripada semua spesies yang berjumlah lebih lima bilion pernah hidup di bumi dianggarkan pupus.

Daripada anggaran 10 juta hingga 14 juta spesies yang masih hidup di bumi sekarang, hanya kira-kira 1.2 juta telah didokumentasikan manakala lebih 86 peratus masih belum diperincikan.

Kemusnahan habitat yang berleluasa juga boleh mengancam manusia dan spesies terancam. Pihak bertanggungjawab mestilah memikirkan kaedah terbaik untuk meningkatkan kajian tentang kepelbagaian biologi.

Platform Polisi-Sains Antara Kerajaan Bagi Biodiversiti dan Perkhidmatan Ekosistem (IPBES) melaporkan bahawa sejuta spesies diancam kepupusan dan akan memberi kesan kepada manusia secara langsung atau tidak langsung. Hasil perbincangan ahli sains terkemuka dunia antara 29 April hingga 4 Mei lalu itu perlu diambil perhatian serius seluruh dunia termasuk Malaysia.

Keperluan manusia dari alam semulajadi seperti oksigen, air bersih, keseimbangan karbon dioksida di udara, peranan serangga dalam pendebungaan, peranan burung-burung dalam kawalan serangga dan penyebaran biji benih, sumber protein, kawalan banjir, habitat hidupan liar dan lain-lain boleh memberikan kesejahteraan.

Kesihatan ekosistem penting dalam ekonomi dan kesejahteraan hidup manusia dari segi kualiti kehidupan, kecukupan makanan dan alam sekitar yang bersih.

Bagi Malaysia yang prihatin kepada perlindungan alam semula jadi, sudah tentu proaktif dalam mengawal haiwan liar amnya daripada kepupusan. Apa yang berlaku kepada badak sumatera serta tekanan ke atas populasi dan habitat harimau dan tapir, kerajaan mengambil langkah berhati-hati. Perhatian kerajaan mendapat sokongan NGO seperti Persatuan Pencinta Alam (MNS) dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).

Hasil kajian dan perbincangan IPBES telah merumuskan perubahan alam semula jadi yang memberikan kesan global ialah perubahan penggunaan darat dan laut, eksploitasi organisme, perubahan iklim, pencemaran dan spesies invasif.

Sejak 1980, pengeluaran gas rumah hijau meningkat dua kali ganda. Ini meningkatkan suhu global dengan purata 0.7 darjah Celsius. Perubahan cuaca telah memberi kesan kepada peringkat ekosistem hingga ke peringkat genetik.

Matlamat pemuliharaan dan kelestarian alam semula jadi 2030 hanya boleh dicapai sekiranya transformasi ekonomi, sosial, politik dan teknologi dilaras semula dengan mengambil kira perubahan ekosistem dan kelestariannya.

Sesuai dengan matlamat PBB menganjurkan IDB, pengetahuan dan kesedaran masyarakat berkaitan kepelbagaian biologi mesti dipertingkatkan.

Polisi kerajaan tentang kepelbagaian biologi mestilah jelas dalam kalangan rakyat dan strategi pelaksanaannya lebih fokus.

Misalnya, kawasan sensitif kepelbagaian biologi yang di kenal pasti, maka perancangan kerajaan tentang Central Forest Spine (CFS) disempurnakan dan pengurangan konflik dalam pembangunan dengan kepelbagaian biologi serta kerjasama kerajaan negeri dan Pusat selari dalam perlindungan pemuliharaan.

Peruntukan yang paling penting ialah untuk menggerakkan ahli sains berkaitan kepelbagaian biologi negara dan melatih ahli sains muda bagi memperkasakan program kerajaan di bawah Pusat Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (NBC) ke arah mempunyai satu muzium alam semula jadi nasional.