Berdasarkan data Jabatan Statistik pada 2016 taburan hujan tahunan paling tinggi di Kuching 5,423 mm berbanding 2015 sebanyak 4,545.5mm.

Temerloh antara yang paling kurang menerima hujan iaitu 1,397.8 mm pada 2016 berbanding 1,193.2 mm pada 2015. Suhu terendah di Malaysia pada 2016 adalah di Cameron Highlands iaitu 16.2 darjah Celsius dan di Jerantut paling panas iaitu 34.2 darjah Celsius. Pada 2015 suhu di Cameron Highlands adalah 15.9 darjah Celsius and 33.8 darjah Celsius di Jerantut.

Pengaruh angin dari tanah besar dan lautan mendedahkan Malaysia kepada fenomena seperti El-Nino yang mengurangkan hujan semasa musim kering.

Perubahan cuaca yang berlaku boleh mempengaruhi paras laut dan curahan hujan boleh meningkatkan risiko banjir dan kemarau.

Semua faktor perlu diberi perhatian dan rakyat mesti disediakan dengan maklumat tentang semua perkara berkaitan hutan dan air. Kajian terperinci diperlukan bagi memudahkan persediaan dan perancangan serta pengetahuan masyarakat umum.

Berdasarkan National Geography setiap kanopi pokok hutan tropika boleh melepaskan air kira-kira 760 liter setiap tahun.

Kelembapan menghasilkan awan yang tebal di atas hutan hujan. Walaupun tiada hujan awan ini memastikan keadaan hutan lembab dan panas. Hutan hujan tropika yang terletak berdekatan Khatulistiwa juga merupakan enam peratus daripada permukaan tanah muka bumi yang menghasilkan 40 peratus oksigen dunia.

Curahan air hujan tahunan di hutan dilepaskan perlahan-lahan melalui anak-anak sungai hingga ke muara sungai dan akhirnya ke laut.

Hutan menyimpan air seperti span. Sejauh mana perkiraan telah dibuat bagi mengesahkan jumlah air sebenar dan lamanya hutan boleh simpan air masih belum dapat dijelaskan kepada awam. Berapa banyak hutan yang ditebang dan berapa banyak pula air hilang atau tidak dapat disimpan oleh hutan perlu dipantau dan direkodkan.

Tiada maklumat tepat sukar untuk diterangkan kepada pembuat polisi dan keputusan dalam pembangunan negara.

Sekiranya hutan ditebang seperti tiada lagi span yang menyimpan air dan menyebabkan air hujan terus ke sungai dan muara. Sekurang-kurangnya kitaran hidrologi hutan tropika mestilah difahami bagi menerangkan fungsi hutan berkaitan air.

Lapisan hutan hujan tropika, di atas kanopi, bawah kanopi dan lantai hutan menyediakan nic atau mirohabitat yang kompleks dengan suhu, kelembapan dan cahaya sesuai bagi pelbagai spesies haiwan dan tumbuhan.

Kepelbagaian flora dan fauna yang tinggi di hutan tropika Malaysia menuntut lebih banyak penyelidikan dan sudah sampai masanya Malaysia mempunyai sebuah Muzium Alam Semula Jadi bertaraf antarabangsa bagi menggalakkan program pendidikan dan penyelidikan berkaitan kepelbagaian biologi.

Malaysia masih memiliki banyak kompleks hutan simpan yang produktif dari segi ekologinya. Di Semenanjung misalnya terdapat Kompleks Hutan Ulu Muda, Kompleks Hutan Belum-Temenggor, Kompleks Hutan Endau-Rompin dan hutan di banjaran-banjaran utama. Di Sabah pula terdapat hutan seperti Lembah Danum, Imbak Canyon dan Lembagan Maliau. Begitu juga di Sarawak masih terdapat banyak hutan simpan.

Jika dibincangkan tentang hutan dan air, Kompleks Hutan Ulu Muda seluas lebih 163,000 hektar boleh dijadikan contoh yang baik. Kompleks hutan ini bukan sekadar hutan simpan dan habitat hidupan liar tetapi merupakan kawasan tadahan air yang penting di Kedah.

Kompleks Hutan Ulu Muda membekalkan 96 peratus air mentah Kedah, 70 peratus air mentah Perlis dan lebih 80 peratus air mentah Pulau Pinang.

Air dari hutan ini ditakung dalam empat empangan iaitu Empangan Pedu, Empangan Muda, Empangan Ahning dan Empangan Beris untuk kegunaan pertanian, perindustrian dan domestik.

Isu pembalakan Hutan Ulu Muda bukan isu perhutanan dan alam sekitar semata-mata tetapi sebenarnya mengancam sosioekonomi masyarakat wilayah utara Semenanjung.

Justeru, Hutan Ulu Muda perlu dijaga dan adalah lebih baik jika diwartakan sebagai sebuah Taman Negeri Kedah yang berfungsi sebagai kawasan tadahan air.

Bagi Pulau Pinang pula, walaupun kapasiti air terawat hampir 35 peratus melebihi permintaan air di Pulau Pinang pada 2017, bekalan air mentah yang mencukupi melalui Sungai Muda sangat diperlukan. Apabila hutan hujan di Ulu Muda dibersihkan, krisis air yang besar dijangka berlaku di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Hujan di kawasan hutan akan dikawal oleh tumbuhan.

Seluruh bahagian pokok daripada daun, batang dan akar mengatur aliran air permukaan, air bawah tanah dan wap air yang mengawal kelembapan, cuaca dan keseimbangan hutan tropika di samping membawa air hujan ke tempat lain. Air yang melalui seluruh sistem hutan akhirnya boleh digunakan oleh manusia. Kurang kefahaman masyarakat umum tentang hutan dan air mungkin disebabkan kurangnya pengetahuan, penyelidikan dan maklumat tentang hutan dan air.

Pada 21 Mac setiap tahun seluruh dunia menyambut Hari Hutan Antarabangsa.

Dalam sambutan Hari Hutan Antarabangsa sepatutnya masyarakat dibawa berbincang tentang peranan hutan dan sumber air. Sekurang-kurangnya memastikan kelestarian bekalan air bersih yang cukup dan kehidupan di darat seperti yang disenaraikan dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 6 dan SDG 15 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 2030.

Hutan penting membekalkan manusia dengan keperluan asas untuk hidup iaitu oksigen dan air.