Kalau dilihat kepada penerbitan seperti artikel dalam jurnal dan buku-buku berkaitan kepelbagaian biologi, kebanyakannya ditulis oleh saintis luar negara. Sampai sekarang kita belum berusaha menjejak kedudukan spesimen dari negara ini di dunia dan bagaimana spesimen berkenaan boleh berada di luar negara.

Sebagai sebuah negara yang berada pada kedudukan 12 dalam kalangan negara yang tinggi kepelbagaian biologi di dunia, sepatutnya sudah lama kita mempunyai cukup pakar haiwan dan tumbuhan tertentu.

Berdasarkan sejarah pertumbuhan ekonomi negara yang pesat, Malaysia sepatutnya sudah mempunyai sebuah muzium alam semula jadi terbaik di rantau ini. Satu tabung mungkin boleh diwujudkan segera bagi membina Muzium Semula Jadi Malaysia. Badan-badan korporat utama boleh menyumbang kepada tabung ini bagi menyediakan dana yang cukup untuk pembinaan muzium berkenaan.

Kajian-kajian tentang sumber alam semula jadi perlu dipertingkatkan bagi melahirkan pakar tempatan.

Semua orang sedia maklum tentang pentingnya sumber semula jadi apabila memikirkan tentang beras yang dimakan setiap hari. Padi yang ditanam untuk mendapatkan beras adalah daripada sumber semula jadi. Hasil kajian secara saintifik varieti padi terbaik telah ditemukan dan ditanam untuk keperluan beras negara. Begitu juga apabila kita membincangkan tentang getah dan kelapa sawit yang menjadi sumber pembangunan negara sehingga hari ini.

Kita juga sering mendengar cerita tentang sumber perubatan dan kecantikan daripada alam semula jadi. Tongkat ali, kacip fatimah, petai, durian dan lain-lain menjadi makanan dan sumber perubatan.

Begitu juga dengan hidupan liar seperti harimau, gajah, badak sumatera, seladang, beruang matahari, tapir, burung enggang dan beberapa spesies monyet yang boleh menjadi tarikan pelancong sekali gus melonjakkan ekonomi negara berasaskan ekopelancongan.

Kini banyak dibincangkan tentang kepupusan hidupan liar kerana habitat mereka terganggu dan aktiviti pemburuan haram yang berleluasa. Aktiviti pembalakan, pembangunan pertanian, industri dan jalan raya telah mengganggu habitat dan pergerakan hidupan liar seperti harimau.

Permintaan tinggi bahan berasaskan hidupan liar juga menggalakkan aktiviti pemburuan haram.

Pengurangan populasi haiwan telah menarik minat ramai saintis tempatan dan luar negara untuk membuat kajian dari segi habitat, biologi, tingkah laku haiwan, genetik dan ancaman yang dihadapi.

Kerajaan berhasrat menggandakan bilangan harimau dalam masa terdekat ini. Sehubungan itu kempen Selamatkan Harimau Malaya diadakan secara besar-besaran. Program pendi–dikan, pengha–yatan dan kesedaran mesti dilakukan segera dan melibatkan semua pihak melalui semua saluran media. Semua pihak perlu terlibat dalam menjayakan usaha kerajaan ini.

Sekarang harimau Malaya yang hanya terhad di Semenanjung sepatutnya mempunyai ciri-ciri yang melambangkan Tanah Melayu, misalnya sifat-sifat luar dan genetiknya. Kajian sedang dilakukan bagi memastikan spesies harimau Malaya unik dan berada dalam kelompoknya yang tersendiri. Kajian seperti yang diterbitkan dalam jurnal Conservation Genetic Resources pada Jun 2012 telah mem­bincangkan tentang spesies Panthera tigris.

Mungkin fokus perbincangan dalam artikel itu untuk membangunkan teknik asid deoksiribonukleik (DNA) bagi memantau dan menguatkuasakan ancaman perdagangan haram harimau di Asia Tenggara.

Namun, kajian tersebut boleh juga menyumbang kepada genetik harimau Malaya. Nama saintifik harimau Malaya iaitu Panthera tigris jacksoni diberikan bagi menghargai ahli pemuliharaan harimau, Peter Jackson.

Namun, ada pendapat lain mencadangkan nama lain iaitu Panthera tigris malayensis bagi menghargai kewujudan harimau Malaya yang unik hanya terdapat di Semenanjung.

Perbincangan tentang penamaan dan pemuliharaan harimau Malaya sudah lama seperti disiarkan dalam CAT News 2005. Kajian dan perundingan perlu diteruskan segera bagi menjayakan hasrat ini.

Harimau Malaya juga terdapat di zoo luar negara. Zoo Cincinnati di Amerika Syarikat misalnya menjalankan pembiakan dalam kurungan dengan mengimport harimau jantan dan betina dari Asia antara 1990 dan 1992. Di Semenanjung, harimau Malaya ada di Zoo Johor, Zoo Negara dan Zoo Taiping.

Habitat penting harimau Melaya yang tinggal sedikit dan sangat terancam mesti dikenal pasti segera dan dipantau secara dekat. Segala kemudahan dan teknologi perlu disediakan.

Begitu juga dengan dana khas sama ada daripada pihak kerajaan atau melalui dana khas. Hutan simpan seperti Ulu Muda, Belum-Temenggor, Taman Negara dan Endau-Rompin mesti dilindungi dan tidak ada lagi aktiviti manusia yang boleh mengancam harimau Malaya.

Apabila habitat harimau Malaya terjaga, maka haiwan liar lain juga akan terpulihara.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2015) kerajaan mestilah memberi pertimbangan serius dalam hal berkaitan alam sekitar dan kelestarianya, pemuliharaan hidupan liar termasuk meningkatkan penyelidikan dan pendidikan serta kesedaran, tanggung jawab dan penglibatan awam.

Kerajaan mesti bersedia dengan sistem yang lebih cekap dan mesra pelanggan terutama dalam meluluskan dan mengawal kebenaran menjalankan penyelidikan bagi memastikan kajian berjalan seperti yang sepatutnya dan kecurian maklumat alam semula jadi negara tidak berlaku.

Walaupun kita ingin mengaktifkan penyelidikan dan penemuan saintifik berasaskan sumber semula jadi serta menggalakkan kerjasama antarabangsa, tetapi kawalan yang sistematik perlu diadakan.

Selain harimau Malaya, kajian genetik ke atas lotong juga menjadi isu penamaan dan konflik saintifik. Misalnya lotong kelabu di Kuala Selangor dan lotong cenekah di Panti, Johor.

Lain-lain kepentingan sumber semula jadi ialah sebagai produk farmaseutikal, kosmetik, tumbuhan hiasan, haiwan hiasan, haiwan peliharaan dan haiwan untuk bahan kajian.

Kita sudah banyak mendengar kisah mengenai pokok ketum, tongkat ali, kacip fatimah, orkid, periuk kera, ular sawa, tenggiling, burung, ikan pelaga dan ikan medaka. Semua ini merupakan tumbuhan dan haiwan yang mempunyai nilai komersial.

Lotong kelabu yang dahulunya dikenali sebagai spesies Trachypithecus cristatus boleh ditemukan di kawasan pantai barat Semenanjung, Sumatera dan Borneo.

Bagi kumpulan lotong kelabu di Kuala Selangor dikenali sebagai subspecies Trachypithecus cristatus selangorensis. Pada 2008 ahli primat telah mengkelaskan pula sebagai spesies baharu Trachypithecus selangorensis.

Namun, ada ahli genetik primat masih belum menerimanya dan perlu dikaji dengan lebih mendalam lagi. Apakah faktor yang menjadi keraguan dalam pengkelasan lotong ini perlu dihalusi oleh pakar taksonomi.

Tidak banyak kajian tentang lotong kelabu. Antara rujukan yang ada ialah Journal of Mammalogy 1970, The Journal of Wildlife and Parks 2010 dan Mamalian Species 2010.

Terdapat satu lagi lotong yang sensitif dari segi taburannya, status pemuliharaannya dan nama saintifiknya. Lotong cenekah hanya terdapat di selatan Thailand, utara dan selatan Semenanjung dan pantai barat Sumatera.

Ahli sains primat berpendapat nama saintifik Presbytis femoralis femoralis juga memerlukan kajian yang lebih mendalam sebelum memuktamadkannya.