Aktiviti Raptor Watch semasa penghijrahan burung pemangsa balik ke kawasan pembiakan di utara bertujuan memberi pengetahuan dan kesedaran awam tentang pemuliharaan burung-burung pemangsa berhijrah, melindungi hutan simpan Tanjung Tuan dan mempromosikan ekopelancongan.

Acara ini dikendalikan sepenuhnya oleh sukarelawan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) sejak 20 tahun lalu. 

Setiap tahun, sukarelawan baharu dilatih bukan sahaja dari segi kesukarelawan, menganjurkan acara dan melibatkan diri dalam aktiviti, malah yang penting melatih sukarelawan yang berminat mengecam spesies burung pemangsa hijrah dan mengira semasa ia melintasi ruang udara Tanjung Tuan di Melaka. Pengecaman dan mengira burung pemangsa memerlukan pengetahuan dan kemahiran yang tinggi. 

Pada tahun ini aktiviti mengira burung bermula pada 23 Februari hingga 17 Mac. 

Secara am, bilangan burung pemangsa hijrah yang merentasi ruang udara Tanjung Tuan semasa berhijrah ke hemisfera utara  pada bulan Februari hingga Mac setiap tahun semakin berkurangan. 

Antara sebab penurunan populasi adalah kehilangan habitat atau laluan hijrah mereka terganggu akibat pembangunan. Faktor perubahan cuaca dan pencemaran bahan kimia juga mengganggu kelestarian populasinya.

Penyertaan aktiviti sambutan Raptor Watch kebanyakannya adalah percuma dan terbuka kepada semua. Pada tahun ini sambutan Raptor Watch diadakan antara 9 hingga 10 March ini.

Dijangkakan seramai 3,000 peserta yang majoritinya adalah pelajar sekolah ahli Kelab Pencinta Alam (KPA-MNS) terlibat. 

Selain memerhati burung, aktiviti berpandu merentas hutan, merentas hutan bakau, menyusur dan membersih pantai juga dijalankan. 

Selain itu,  ada aktiviti ceramah bertujuan memberi pendidikan, kesedaran dan menggalakkan amalan itu dalam kalangan generasi muda. 

Ada beberapa tempat strategik untuk memerhati burung pemangsa di sekitar Tanjung Tuan seperti di sekitar rumah api dan tempat-tempat lain sekitar pantai Port Dickson. 

Aktiviti yang mendapat sambutan awam, menjadi tarikan pelancong dan mendidik masyarakat terutama generasi muda sepatutnya mempunyai kemudahan yang lebih baik. 

Kemudahan seperti menara tinjau boleh dibangunkan dan kawasan sekitar rumah api Tanjung Tuan dinaik taraf agar lebih selamat untuk pemerhati burung. 

Masa yang sesuai untuk memerhati burung adalah antara 10 pagi hingga 3 petang apabila udara semakin panas. 

Burung pemangsa hijrah ini memerlukan cuaca panas untuk meluncur di udara. Peserta Raptor Watch mesti berpakaian yang sesuai, membawa teropong dan kamera yang sesuai untuk merekodkan fenomena unik ini.

Selain Tanjung Tuan, Bedong di Kedah juga boleh dijadikan tapak penting Raptor Watch. 

Laporan Journal of Wildlife and Parks 2014 melaporkan pemerhatian selama enam minggu pada 2012 merekodkan sebanyak 64, 268 burung pemangsa mewakili 13 spesies yang berhijrah dan lapan spesies  tempatan. 

Pada 2013,  sebanyak 55,915 ekor dilaporkan. 

Bilangan tersebut lebih tinggi daripada yang dilaporkan di Tanjung Tuan dan Taiping, Perak. Laporan melebihi 10,000 ekor boleh dipertimbangkan sebagai tapak Raptor Watch penting negara. 

Sabah juga penting dan berpontensi sebagai tapak pemerhatian burung pemangsa hijrah. Burung yang datang melalui Pulau Palawan dan Mindanao di Filipina boleh dilihat di Kudat dan Semporna. Kawasan Kudat dan Semporna boleh di jadikan tempat baharu Raptor Watch Borneo.

Laluan Benua Asia dari tempat membiak di Timur Laut Asia melalui kawasan daratan Asia Tenggara Thailand, Semenanjung Malaysia, Sumatera dan kepulauan Indonesia. Ada juga yang melencong ke Borneo atau mungkin terus ke Palawan dan Mindanao. 

Sebanyak 25 spesies burung pemangsa melalui Segenting Kra yang merupakan kawasan yang sempit di selatan Thailand dan di utara Semenanjung.

Laluan Oceanic yang merupakan laluan melintasi lautan yang luas dari kawasan membiak di Timur Laut Asia melalui Semenanjung Korea, Taiwan, Filipina, Borneo hingga ke kepulauan Indonesia. Laluan ini lebih pendek berbanding dengan laluan benua Asia. 

Tidak banyak kajian dibuat tentang penghijrahan burung pemangsa melalui kedua-dua laluan ini kecuali pengkaji dari Jepun, Korea dan Taiwan. 

Kajian penghijrahan burung pemangsa penting sebelum strategi pemuliharaan dapat dilakukan.

Peminat burung pemangsa tempatan di Filipina, Malaysia dan Indonesia perlu diaktifkan. 

Kekurangan aktiviti pemantauan yang berstruktur menyebabkan kurangnya maklumat tentang penghijrahan burung pemangsa. 

Misalnya konflik dalam bilangan spesies kehadiran burung pemangsa di Taiwan yang dilaporkan sebanyak 14 spesies manakala di Filipina hanya 13 spesies. 

Terdapat juga perbezaan pendapat dalam pengkelasan spesies burung pemangsa tempatan dan hijrah. Begitu juga setakat ini hanya enam spesies burung pemangsa dilaporkan di Sangihe Indonesia dan helang lebah asia (Pernis ptilorhyncus) yang lazimnya direkodkan di Mindanao tidak dilaporkan di Sangihe.

Untuk laluan Oceanic, mereka perlu terbang dengan purata kelajuan 56 kilometer sejam dan mengambil masa 28 jam bagi merentas rantaian lebih 7,000 pulau. 

Burung pemangsa dijangka menerusi Palawan dan Zamboaga ke Borneo. 

Penerbangan burung pemangsa dari Davao ke Pulau Sangihe, Indonesia sejauh 193 kilometer mengambil masa 3.5 jam dan dari Davao ke Pulau Talaud di Indonesia sejauh 241 kilometer mengambil masa empat jam. 

Penghijrahan burung berlaku semasa pertukaran musim Monsun Barat Laut dari bulan September atau Oktober hingga Mac atau April dan Monsun Barat Daya dari Mac atau April hingga September atau Oktober. 

Sekiranya terdapat aktiviti Raptor Watch di Kudat dan Semporna, kekurangan maklumat tentang penghijrahan burung pemangsa melalui laluan ini dapat ditambah baik.

Persidangan pemuliharaan spesies haiwan liar berhijrah (CMS) bertujuan menyelaraskan pada peringkat antarabangsa bagi memastikan matlamat pemuliharaan burung pemangsa hijrah di seluruh negara terlibat tercapai.

Burung pemangsa menghadapi ancaman manusia seperti kehilangan dan penurunan kualiti habitat, pemburuan haram dan pencemaran bahan kimia.