Berdasarkan laporan New Scientist 2018, orang utan di Indonesia telah dipaksa pindah dari habitat mereka dan dibunuh kerana mengganggu manusia dan tanaman.

Dengan kadar penebangan hutan yang cepat, bilangan orang utan sebenar yang masih ada di habitat liar sudah tentu semakin berkurangan. Maka bagi memastikan populasi orang utan terus terkawal, sambutan Hari Orang Utan Antarabangsa diadakan.

Seluruh dunia akan memberikan peringatan kepada Malaysia dan Indonesia khasnya bagi memastikan tekanan ke atas populasi orang utan tidak berterusan dan penebangan hutan dikurangkan.

orang utan

Orang utan di Sumatera dikatakan dalam keadaan bahaya apabila kerajaan Indonesia meningkatkan penghasilan minyak sawit menjelang 2020. Peningkatan hasil minyak sawit melalui menambah keluasan ladang di mana penebangan hutan akan berlaku. Di samping itu penebangan hutan boleh menyebabkan perubahan cuaca dan pelepasan karbon. Pelepasan karbon di Sumatera adalah 12 peratus daripada pelepasan karbon global.

Ahli sains telah membuktikan bilangan orang utan berkurangan sebanyak 80 peratus antara 1950 dan 2015 kerana penebangan hutan, Melihatkan kepada pembangunan perbandaran dan perladangan serta perancangan semasa, keyakinan pihak antarabangsa tentang pemuliharaan orang utan tidaklah begitu tinggi. Ini membuatkan tekanan pihak Eropah semakin kuat terhadap industri minyak sawit di Malaysia dan Indonesia.

Dahulu dikatakan orang utan di Sumatera dan Borneo adalah daripada spesies yang sama. Setelah kajian dijalankan didapati ia adalah daripada dua spesies dan terpisah sejak 400,000 tahun dahulu.

Pada 1996, orang utan dikatakan terdiri daripada dua spesies iaitu orang utan Borneo (Pongo pygmaeus) dan orang utan Sumatera (Pongo abelii).

Pada November 2017, spesies ketiga dikenal pasti sebagai orang utan Tapanuli (Pongo tapanuliensis).

Penemuan spesies tersebut melibatkan 37 ahli sains dari 10 negara.

orang utan

Ahli-ahli sains dari Indonesia, United Kingdom, Switzerland, Jerman, Sepanyol, Belanda, Amerika Syarikat (AS), Australia, Brunei dan Malaysia telah membuat kajian berkaitan sejak 2013. Jurnal Conservation Science and Practice 2019 dan New Scientist 2017 telah membincangkan tentang genetik, status, ancaman dan langkah-langkah penambahbaikan pemuliharaan orang utan Tapanuli.

Permintaan terhadap minyak sawit meningkat sebanyak enam kali ganda sejak 1990.

Minyak sawit digunakan dalam banyak produk makanan, sabun, syampu dan kosmetik.

Permintaan minyak sawit yang tinggi dan penebangan hutan yang berleluasa, maka  Eropah telah memberikan tekanan dengan berbagai syarat.

Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) telah ditubuhkan pada 2004. Objektifnya  adalah mempromosi pertumbuhan dan penggunaan produk sawit yang lestari melalui standard global yang boleh dipercayai dan penglibatan pihak berkepentingan.

RSPO memastikan minyak sawit tidak datang dari ladang kelapa sawit yang melibatkan penebangan hutan.

Sekiranya orang utan hendak diselamatkan, hutan hujan tropika yang menjadi habitat mereka perlu dilindungi. Pokok-pokok tempat ia tinggal tidak boleh ditebang. Orang utan menghabiskan 95 peratus daripada masanya di atas pokok. Apabila tiada pokok ia tidak ada tempat untuk tinggal dan memberikan tekanan kepada kehidupannya.

Pada 2016 Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) menganggarkan populasi  orang utan sebanyak 100,000 ekor dan mengkelaskan orang utan Borneo sebagai spesies yang sangat kritikal terancam. Ahli pencinta alam semula jadi ingin memastikan bilangan orang utan tidak terus berkurangan.

Hidupan liar

Meskipun pelbagai aktiviti dijalankan, populasi orang utan masih tidak menentu.

Akibat daripada tekanan Eropah memboikot minyak sawit, syarikat besar yang mengeluarkan minyak sawit telah mengambil tindakan tentang pemuliharaan hidupan liar amnya dan orang utan khususnya.

Orang utan di habitat liar terdapat banyak di Sabah.

Sime Darby yang merupakan pengeluar minyak sawit paling besar di dunia telah menjalankan program pemuliharaan orang utan di Sabah.

Program kerjasama pemulihan habitat orang utan di Hutan Simpan Ulu Segama Utara oleh Jabatan Perhutanan Sabah dan Sime Darby Plantation Sdn. Bhd. adalah satu contoh yang baik. Inisiatif ini bermula pada 2008.

Pada 2010,  Yayasan Sime Darby pula terlibat dengan peruntukan sebanyak RM25 juta selama 10 tahun untuk memulihkan habitat orang utan seluas 5,400 hektar.

Jabatan Perhutanan Sabah  memantau projek tersebut supaya dapat menyediakan habitat yang optimum bagi orang utan.

orang utan

Antara 3,500 hingga 4,000 ekor atau 30 peratus daripada populasi orang utan di Sabah terlibat dalam program pemuliharaan ini.

Program pemuliharaan orang utan juga melibatkan Tabung Hidupan Liar Alam Sedunia (WWF) Malaysia dan Jabatan Perhutanan Sabah sejak 2007, Menerusi program tersebut,

habitat orang utan dipulihkan dengan menanam pokok-pokok dan makanan orang utan seperti binuang (Octomeles sumatrana) dan laran (Neolamarckia cadamba), sengkuang (Dracontomelon dao), terap (Arthocarpus spp) dan ara (Ficus spp.).

Usaha pihak korporat dan pertubuhan bukan kerajaan ini merupakan satu langkah terbaik bagi memulihkan hutan yang telah dirosakkan untuk kelapa sawit dan menambah baik habitat orang utan.
Pemuliharaan orang utan akan lebih berkesan sekiranya masyarakat mengetahui tentang cabaran yang dihadapi oleh orang utan di habitat liar.

Yayasan Pulau Orang Utan telah ditubuhkan pada 2008 dan dilancarkan pada 2009 bagi mempromosi pemulihan dan pemuliharaan orang utan. Pulau orang utan di Bukit Merah, Perak menempatkan orang utan untuk pendidikan dan penyelidikan.

Penyelidikan yang melibatkan universiti tempatan dan antarabangsa itu menyediakan maklumat terkini yang berguna dalam pendidikan dan pemuliharaan orang utan di Malaysia.

Sumbangan Yayasan Pulau Orang Utan ini sangat signifikan dalam pemuliharaan orang utan.

Selain pulau orang utan di Bukit Merah, tempat-tempat penting pemuliharaan orang utan lain adalah Taman Negara Tanjung Putting, Taman Negara Sebangau, Taman Negara Gunung Palung dan Taman Negara Gunung Leuser di Indonesia manakala di Malaysia adalah di Pusat Hidupan Liar Semenggok dan Matang di Sarawak serta Santuari Orang Utan Sepilok di Sandakan Sabah.