Di Pulau Ketam, tidak ada kereta kecuali basikal atau motosikal. Perhubungan antara Pulau Ketam dengan bandar Klang hanya dengan bot atau feri. Perkhidmatan bot dan feri yang laju boleh mengganggu kestabilan pantai dan alur air yang menjadi habitat haiwan bentik.

Laluan bot dan feri yang kerap dengan kelajuan tinggi merosakkan pantai, menyebabkan hakisan, pokok bakau tumbang dan merubah struktur pantai yang kaya dengan haiwan bentik sebagai makanan burung-burung. Di sepanjang pantai berlumpur burung-burung seperti bangau, burung botak dan pelbagai spesies burung berhijrah boleh dilihat. Burung pemangsa seperti helang merah dan helang siput juga turut kelihatan.

Keunikan Pulau Ketam adalah terpisah dengan bandar lain, menjadi tumpuan pelancong, keadaan penduduk dan rumah yang padat membuatkan hal berkaitan kesihatan perlu diberi perhatian. Antaranya masalah berkaitan nyamuk.

Kajian tentang nyamuk aedes dan taburan hujan telah dijalankan dan diterbitkan dalam Southeast Asian J Trop Med Public Health 2013.

Kajian menunjukkan adanya kes denggi dan chikungunya serta kaitannya dengan populasi nyamujk Aedes aegypti dan Aedes albopictus.

International Journal for Parasitology 1995 melaporkan hasil kajian histopatologi ke atas kultur ikan siakap di Pulau Ketam dijangkiti parasit Trematoda yang mengganggu kesihatan ikan.

Jangkitan itu bukan sahaja memberi kesan kepada ikan tetapi juga manusia.

Masalah ekosistem hutan bakau secara umumnya telah banyak dibincangkan secara ilmiah termasuk kawasan hutan bakau di kepulauan Pulau Ketam, Pulau Kelang, Pulau Mat Zin dan Pulau Indah termasuk Pulau Carey.

Kepulauan ini yang kaya dengan pokok bakau dan menerima aliran Sungai Klang dan Sungai Langat menjadikannya ekosistem yang sangat kompleks dan unik.

Tambahan lagi pembangunan dan aktiviti Pelabuhan Klang yang meningkat memberi cabaran kepada kesihatan dan produktiviti kepulauan berkenaan. Antara perbincangan tentang ekosistem bakau adalah kelestarian penggunaan dan pengurusan ekosistem bakau yang diterbitkan dalam Journal Aquatic Ecosystem Health & Management 2006.

Ekosistem bakau diperlukan oleh manusia untuk melindungi pantai daripada dihakis ombak, hasil perhutanan, hasil perikanan, habitat hidupan liar, aktiviti pertanian, akuakultur, pembangunan tempat tinggal, bandar dan industri serta ekopelancongan. Kebanyakan program pembangunan ini tidak lestari terutama apabila hutan bakau dibangunkan untuk akuakultur pertanian, bandar dan industri.

Secara amnya kehilangan hutan bakau seluas 111,046 hektar atau 16 peratus dari 1973 hingga 2000.

Pengurusan hutan bakau yang kurang baik dan konflik antara kehendak pembangunan dan pemuliharaan menyebabkan ekosistem hutan bakau terus tertekan.

Pencemaran bahan kimia berbahaya seperti logam berat boleh dipantau dengan menggunakan haiwan moluska di kawasan pasang surut. Program Mussel Watch menggunakan kupang Perna viridis bagi memantau pencemaran logam berat, racun perosak dan hidrokarbon telah dijalankan di Malaysia sejak tahun 2000. Program yang diguna pakai seluruh dunia ini sepatutnya juga dilaksanakan di Malaysia.

Persatuan Pencinta Alam (MNS) dengan kerjasama swasta telah menjalankan program pendidikan masyarakat Pulau Ketam sejak lima tahun lepas. Penglibatan penduduk tempatan, kumpulan pelajar, guru-guru dan sukarelawan terpilih sekitar negeri Selangor dan Kuala Lumpur menjalankan aktiviti mengutip sampah terutama plastik, menyemai anak bakau dan menanam pokok bakau.

Pokok bakau yang didominasi oleh spesies bakau minyak dan bakau kurap dengan akarnya boleh membantu menguatkan tebing daripada mudah terhakis dan memerangkap sampah. Secara amnya kawasan hutan bakau di Pulau Ketam sudah nampak menurun.

Penurunan kualiti ekosistem bakau dan kesan pencemaran dapat ditunjukkan oleh kurangnya burung-burung pantai yang bergantung kepada organisma bentik.

Kesihatan hutan dan pantai juga mempengaruhi pertumbuhan anak-anak ikan dan hidupan marin lain.

Pulau Ketam yang terkenal dengan aktiviti memancing, menternak ikan dan restoran makanan laut segar akan terjejas kerana ekosistem bakau yang tidak sihat. Ekonomi penduduk tempatan juga boleh menjadi lebih baik jika keadaan Pulau Ketam bersih.

Kepulauan Kelang menjadi habitat kepada haiwan penting seperti beberapa spesies kelawar yang memakan buah dan serangga, haiwan primat seperti lotong (Presbytis cristata) dan kera (Macaca fascicularis), tupai pinang (Callosciurus notatus), memerang (Lutra perspicillata), musang belang (Hemigalus derbyanus), musang air (Cynogale bennettii), cerpelai ekor pendek (Herpestes brachyurus) dan kucing hutan (Felis bengalensis).

Malaysian Journal of Science 2009 melaporkan flora dan fauna di hutan bakau Pulau Kelang semakin berkurang kerana perubahan keluasan dan kualitinya. Perkara ini perlu diberikan perhatian segera oleh kerajaan negeri Selangor khasnya sebelum terlambat.

Senarai haiwan vertebrat darat (mamalia, burung dan herpetofauna) yang ditinjau berjumlah 68 spesies (lapan spesies mamalia, 57 spesies burung dan tiga spesies reptilia). Pulau Kelang dan Pulau Mat Zin merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Kepulauan Kelang.

Jumlah pokok bakau yang direkod sebanyak 10 spesies.

Hutan bakau di Kepulauan Kelang sedang mengalami tekanan fizikal daripada pembangunan di sekeliling seperti pembalakan, aktiviti tebus guna tanah, melombong pasir, hakisan pantai yang disebabkan oleh tindakan ombak dari laluan kapal, pencemaran minyak dan aktiviti pembangunan lain. Tindakan segera pengurusan ekosistem kompleks ini perlu diambil sebagai model pemuliharaan ekosistem bakau dunia, laluan utama burung berhijrah dan kawasan penting burung (IBA), aktiviti akuakultur, aktiviti pelabuhan bertaraf dunia dan ekopelancongan.

Lebih 100 tahun tiada perkhidmatan pembersihan dijalankan dengan baik. Pembersihan sisa pepejal di Pulau Ketam merupakan cabaran besar dihadapi oleh pihak pengurusan sisa pepejal bukan sahaja mengutip sampah dan tempat pelupusan sampah, tetapi juga sikap penduduk tempatan. Dengan penduduk melebihi 10,000 orang, keadaan rumah yang padat dan pelancong yang meningkat, usaha pengurusan sisa pepejal plastik dan sisa organik memerlukan teknologi dan disiplin yang tinggi.