Kebanyakan aktiviti menanam pokok dilakukan sempena sambutan hari tertentu seperti Hari Alam Sekitar Sedunia, Hari Perhutanan Sedunia, Hari Tanah Lembab, Hari Bumi, Hari Habitat Sedunia dan sebagainya. Pelbagai jenis pokok ditanam mengikut kesesuaian habitat dan fungsinya.

Antaranya adalah pokok bakau, pokok buah-buahan nadir, pokok-pokok hutan, pokok khusus pada habitat tertentu dan peranannya sebagai pelindung pantai seperti pokok rhu atau pokok lain sebagai perhiasan atau pokok buah-buahan.

Selain itu pokok-pokok yang terancam mengikut klasifikasi Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) juga ditanam. Pokok-pokok yang ditanam mestilah di kawasan yang tidak terganggu dan kawasan berkenaan tidak terlibat dalam perancangan pembangunan yang boleh menyebabkan pokok itu hilang sebelum matang.

Kawasan kampus, sekolah atau tanah persendirian di pinggir hutan merupakan kawasan yang baik kerana tidak diganggu dan boleh dijaga dengan rapi. Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dengan kerjasama beberapa penaja juga telah mempromosikan penanaman pokok-pokok hutan dalam kampus. Antara kampus yang pernah terlibat ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan beberapa universiti atau kolej lagi.

AKTIVITI menanam pokok perlu dianjurkan sepanjang masa tanpa mengira musim.
AKTIVITI menanam pokok perlu dianjurkan sepanjang masa tanpa mengira musim.

Antara universiti yang banyak menanam pokok dalam kampus ialah Universiti Putra Malaysia (UPM). UPM adalah kampus hijau yang terkemuka di dunia. Dalam penilaian UI Green Metric tahun lalu, UPM mendapat tempat pertama di Malaysia, kedua di Asia Tenggara dan 32 di dunia.

Aktiviti menanam pokok antara yang menyumbang kepada penilaian UI Green Metric.

UI Green Metric adalah acara tahunan peringkat universiti dunia yang dilaksanakan sejak 2010. UI Green Metric adalah salah satu program daripada Universiti Indonesia (UI) bagi menilai komitmen dan tindakan universiti di dunia terhadap penghijauan dan kelestarian alam sekitar. UPM memang komited dalam menanam pokok di kampus sejak lama dahulu dengan melibatkan pelajar dan kakitangan universiti.

Sejak 1991 misalnya UPM bekerjasama dengan Mitsubishi Cooperation untuk menanam pokok-pokok hutan. Aktiviti penanaman bukan sahaja melibatkan pelajar dan kakitangan UPM tetapi juga sukarelawan dari Jepun.

Lebih 10,000 pelajar terlibat sejak program dilancarkan dan menanam lebih 500,000 pokok daripada 130 spesies tempatan.

Penanaman pokok berguna dalam pengajaran dan penyelidikan di samping menghijaukan kampus. Aktiviti ini juga dapat memupuk semangat sayangkan alam semula jadi dan kesedaran tentang kualiti alam sekitar dalam kalangan pelajar dan kakitangan UPM serta komuniti sekeliling kampus.

Komitmen UPM dan Mitsubishi hampir 30 tahun telah menghasilkan komuniti hutan yang matang dan dapat membantu menyimpan spesies pokok-pokok hutan yang penting akibat kemusnahan hutan tropika di Malaysia.

Kedua-dua kampus UPM Serdang dan Bintulu terlibat dalam kerjasama UPM-Mitsubishi Cooperation ini.

Penanaman pokok oleh UPM tidak sahaja terhad dalam kampus, tetapi juga di luar kampus. Institut Penyelidikan Perhutanan dan Produk Hutan (Introp) UPM menerajui penyelidikan dalam membantu negeri Kelantan menanam 2,000 anak pokok hutan, Paulownia tomentosa untuk ladang hutan di Mering. Pokok ini dikatakan mempunyai kadar pertumbuhan cepat, toleran kepada pencemaran dan pelbagai jenis tanah, bunganya yang cantik berwarna dan berbau harum, saiz daun yang besar seakan telinga gajah dan mempunyai nilai komoditi jualan kayu sangat tinggi. Pokok ini berasal dari China.

Selain UPM dan beberapa kampus lain yang menanam pokok, Xiamen University Malaysia juga turut menjalankan aktiviti menanam pokok semasa kempen kesedaran tentang hijau. Mereka menanam 1,100 pokok dalam kampus mereka. Komuniti kampus diberikan pengetahuan tentang kepentingan pokok yang bukan sahaja nampak hijau dan cantik, tetapi juga pokok dapat mengurangkan hakisan permukaan tanah, mempengaruhi kualiti udara yang bersih dan pada tahap tertentu dapat mengawal perubahan cuaca. Kampus Xiamen University sudah tentu akan menarik perhatian kerana ramai pelajar dari negara China datang dari persekitaran dan iklim yang berbeza.

Media antarabangsa telah menceritakan tentang undang undang yang baharu diperkenalkan di Filipina iaitu semua pelajar sekolah dan kolej diperlukan menanam paling kurang 10 pokok sebelum tamat pengajian. Sekiranya cadangan ini berlaku dijangkakan sebanyak 157 juta pokok akan ditanam setiap tahun. Filipina menyasarkan 525 bilion pokok ditanam untuk satu generasi.

Sekiranya 10 peratus pokok yang ditanam terus hidup, maka rakyatnya terutama pelajar akan lebih bersemangat menanam pokok. Mungkin negara lain juga patut mengikut langkah Filipina.

Terdapat banyak faedah menanam pokok. Bagi pokok-pokok yang ditanam di bandar akan dapat menambah lindungan kanopi yang membantu mengurangkan kepanasan di bandar. Pokok-pokok yang sesuai ditanam juga boleh memberikan lindungan laluan pejalan kaki daripada kepanasan di samping mengurangkan kepanasan bangunan.

Pokok-pokok juga menyimpan karbon dan menyerap karbon dioksida. Penebangan hutan mempengaruhi suhu dan cuaca tempatan. Aktiviti penanaman juga boleh menyeimbangkan pokok-pokok hutan yang telah ditebang melalui aktiviti pembalakan atau pembangunan. Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) telah memberi amaran kepada dunia bahawa sebanyak 22 juta hektar hutan di Borneo dijangka terancam menjelang 2030. Justeru, aktiviti penanaman pokok hutan perlu dipergiatkan.

Selain dalam kampus, pokok juga ditanam di kawasan hutan yang dilindungi termasuk hutan simpan. Penanaman pokok juga tidak semestinya semasa menyambut hari-hari tertentu sahaja. Setiap hari sepatutnya adalah hari penanaman pokok kerana setiap hari ada sahaja pokok yang ditebang. Misalnya Global Environment Centre (GEC) menjalankan aktiviti penanaman pokok setiap bulan di hutan paya gambut Selangor untuk menggalakkan orang awam menanam pokok dan memastikan hutan paya gambut itu kembali pulih kepada keadaan asal secara ekologinya.

Penanaman pokok bertujuan pemuliharaan ekosistem paya gambut berkenaan yang pernah terancam. Kebanyakan projek penanaman pokok yang dianjurkan oleh GEC adalah ditaja oleh pihak swasta dan korporat. GEC juga bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain seperti MNS dan WWF. Sepanjang tahun ini, sekiranya setiap sesi penanaman melibatkan antara 500 hingga 600 pokok, maka dalam tempoh setahun, antara 4,000 hingga 6,000 batang dapat ditanam oleh peserta GEC di kawasan hutan paya gambut Selangor.

Bagi menjayakan program seperti ini banyak pihak perlu terlibat. Kerjasama NGO, agensi kerajaan negeri dan tajaan pihak korporat sangat penting.

Selain universiti dan NGO, pihak korporat dan lain-lain turut terlibat dalam penanaman pokok. Petronas bersama MNS melalui projek Ecocare Kertih telah menanam lebih 10,000 pokok bakau pelbagai spesies.

Penglibatan semua pihak dalam aktiviti ini menunjukkan kesedaran tinggi rakyat Malaysia tentang kepentingan pokok. Usaha ini perlu diteruskan dan diselaraskan dengan baik.