Pelaksanaan pengurusan sumber air melibatkan semua pihak yang berkepentingan.

Kompleks Hutan Ulu Muda (KHUM) boleh dijadikan sebagai contoh pengurusan bersepadu sumber air untuk kecukupan makanan, pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara serta pemuliharaan kepelbagaian biologi.

Pendekatan bersepadu dan suatu pengiktirafan yang tinggi perlu diberikan kepada KHUM sebagai satu model pengurusan sumber air negara.

Peranan KHUM dalam membekalkan air ke kawasan utara Semenanjung sudah jelas terutama dalam pengeluaran beras negara, pembangunan industri dan pelancongan.

Secara purata rakyat Malaysia makan kira-kira 78 kilogram beras setahun.

Dengan jumlah itu, negara memerlukan tiga juta tan beras setahun bagi menampung permintaan tersebut. Keluasan tanah sawah yang semakin berkurangan, tekanan ke atas sumber air yang tinggi dan permintaan beras negara yang semakin meningkat memerlukan tindakan segera tentang teknologi untuk meningkatkan pengeluaran beras negara di samping pengurusan sumber air yang baik dan lestari.

Pengurusan empangan dan sumber air di tiga empangan iaitu Pedu, Muda dan Ahning oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memastikan penanaman padi dua kali setahun di kawasan itu berterusan. Bekalan air cukup penting bagi pengairan untuk meningkatkan hasil padi negara. Kawasan MADA membekalkan 40 peratus daripada keperluan beras negara. Empangan Muda dan Pedu yang dibina pada 1969 di bawah Skim Pengairan Muda untuk menyediakan pengairan di kawasan lebih 96,000 hektar untuk tanaman padi dua musim setahun.

TAKUNGAN EMPANGAN MUDA

Empangan Ahning pula dibina oleh Jabatan Kerja Raya untuk membekalkan air bagi kegunaan domestik dan industri mula beroperasi pada 1991.

Walaupun kawasan takungan empangan Muda seluas 984 kilometer persegi tetapi kapasitinya hanya 160 juta meter padu.

Air dari takungan Muda dipindahkan ke Empangan Pedu yang lebih kapasitinya 1,073 juta meter padu melalui 6.8 kilometer terowong Siong. Air ke kawasan MADA dialirkan melalui Empangan Ahning dan Pedu.

Baru-baru ini media massa melaporkan enam negeri mengalami catuan air berikutan keadaan cuaca yang melampau. Malah tiga empangan utama seperti Empangan Muda, Empangan Macap dan Empangan Semberong telah berkurang kepada masing-masing 58.97 peratus, 55.61 peratus dan 54.07 peratus.

Empangan Bukit Kewong di Kelantan juga semakin kurang sehingga 37.28 peratus. Bagi kawasan utara Semenanjung seperti Pulau Pinang, Perlis, dan Kedah termasuk Pulau Langkawi sangat bergantung kepada empat empangan di Kedah iaitu Empangan Muda, Pedu, Ahning dan Beris yang terletak dalam KHUM.

Permintaan tinggi air untuk aktiviti pertanian, industri dan kegunaan domestik memberikan petanda yang pengurusan air dan sumbernya penting diberikan perhatian.

Musim panas yang melanda kawasan utara Semenanjung menimbulkan masalah kekurangan bekalan air domestik.

Perkara ini menjadi perbincangan umum dan menarik perhatian ahli politik.

Kedah yang mempunyai empat empangan yang menakung air iaitu Empangan Muda, Empangan Pedu, Empangan Ahning dan Empangan Beris sepatutnya tidak berlaku kekurangan air sekiranya diurus dengan baik.

Empangan Beris yang keluasan maksimum 16.1 kilometer persegi terletak di Lembah Sungai Beris yang bersambung dengan Sungai Muda di daerah Sik, Kedah. Empangan yang mampu menakung 144 juta meter padu air dibina dalam Rancangan Malaysia Kelapan dan siap pada 2004.

Empangan Beris digunakan untuk mengawal aliran dalam Lembangan Sungai Muda bagi menambah keperluan air untuk pertanian, bekalan air domestik dan perindustrian serta penggunaan lain.

Hari Air Sedunia disambut pada 22 Mac setiap tahun setelah pengisytiharan dilakukan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada 1993. Pada hari tersebut, negara-negara anggota PBB akan melaksanakan rancangan dan aktiviti yang dipersetujui dan menggalakkan aktiviti berkaitan sumber air dunia.

Sambutan tersebut diadakan bertujuan meningkatkan kesedaran dan memperbaharui tekad masyarakat dalam menangani isu berkaitan air melalui pelan strategik serta pelan tindakan oleh setiap negara di dunia.

Rakyat berhak mendapatkan air bersih yang cukup dan selamat untuk diminum.

Selain itu, bekalan air juga mencukupi untuk semua sektor yang berkepentingan dalam pembangunan ekonomi negara seperti domestik, industri, pertanian, penternakan dan perikanan. Permintaan air yang semakin meningkat dan kekurangan sumber air menjadi cabaran utama negara.

Sejauh mana sambutan tersebut di kawasan utara Semenanjung memberikan fokus kepada KHUM dan membuat kiraan berapa banyak air yang dibekalkan oleh hutan berkenaan perlu diberi perhatian. Selalunya penebangan hutan dikaitkan dengan hasil balak, kawasan untuk peladangan dan penempatan. Jarang sekali perkiraan dibuat dari segi kehilangan air untuk kegunaan manusia seperti dalam DSAN.

Air dari KHUM menampung keperluan domestik, pertanian, perindustrian dan pelancongan dan semua ini memberikan manfaat kepada manusia dan pertumbuhan ekonomi.

KEUNTUNGAN

Sekiranya semua ini dikira dengan terperinci, maka sewajarnyalah semua keuntungan dan faedah dipulangkan kepada KHUM melalui pemberian pampasan kepada Kerajaan Negeri Kedah.

Kerajaan Negeri Kedah yang melindungi, memulihara dan menguruskan KHUM dengan baik wajar mendapat imbuhan.

Peruntukan khas juga perlu untuk aktiviti pemantauan, aktiviti pembalakan dan pemburuan haram, pendidikan serta penyelidikan.

Pulau Pinang telah mendapat manfaat yang banyak daripada air KHUM. Pelabuhan Pulau Pinang misalnya adalah antara pelabuhan yang lama beroperasi di negara ini dan banyak memberi perkhidmatan kepada wilayah utara Semenanjung dan selatan Thailand. Lapangan terbang Pulau Pinang juga antara yang paling sibuk di negara ini selepas Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu.

Banyak syarikat yang beroperasi di kawasan perindustrian di sini memberi sumbangan besar yang bernilai RM111.19 bilion pada 2014.

Sebanyak 50 syarikat antarabangsa menghasilkan semikonduktor. Semua pencapaian tersebut memerlukan air mentah yang dibekalkan oleh KHUM.