Meskipun ketika ini industri tersebut berdepan dengan kejatuhan harga, namun sumbangannya antara lain mengubah nasib penduduk miskin di negara ini sejak dahulu tidak boleh dinafikan.

Kira-kira lima juta hektar tanaman sawit yang ada di negara ini merupakan nadi ekonomi kepada banyak keluarga peneroka, pekebun kecil, kilang dan industri hiliran yang memberi sumbangan tidak ternilai.

Demi memastikan kelangsungan industri sawit dan kemampuannya bersaing dengan minyak kacang soya, sesawi, zaitun dan bunga matahari, kerajaan mahupun pekebun tidak lagi boleh terikat dengan cara konvensional dalam pengurusan ladang.

Bukan sahaja operasi ladang perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa, malah kelemahan pengurusan perlu diselesaikan agar segala maklumat atau dokumen penting diurus dengan baik.

Ini termasuk mengamalkan penggunaan teknologi terkini dalam pengurusan perladangan agar memudahkan dokumen yang diperlukan diperoleh dengan mudah tanpa sistem pengurusan yang kompleks serta mesra pengguna.

Kerana itu LintraMax (M) Sdn. Bhd., penyedia penyelesaian perisian pengurusan ladang sejak 2002 bekerja keras membangunkan satu sistem perisian yang diberi nama Quarto. Aplikasi tersebut dapat membantu hal ehwal berkaitan sistem pengurusan ladang yang berasaskan perkomputeran awan (cloud computing) yang menyasarkan ladang kelapa sawit di negara ini.

Pun begitu, perisian tersebut hanya dilancarkan pada 2016 dan sejak itu terus menjadi pemangkin industri tersebut bagi membantu pelanggan menerima penyelesaian digital untuk ladang mereka.

Pengarah Urusan dan pengasasnya, Khor Kheng Khoon berkata, sistem Quarto dicipta bagi memudahkan pemilik ladang atau pekerja di bahagian pengurusan menyelaras dan menerima maklum balas prestasi di ladang.

Menerusi maklumat yang dimuat naik juga membolehkan pihak pengurusan membuat keputusan dalam sesuatu perkara dengan lebih efektif berdasarkan fakta.

Katanya, aplikasi baharu itu dicipta untuk membantu pengurus-pengurus ladang sawit menyelaraskan kerja- kerja di ladang.

Sistem baharu itu juga memudahkan pemilik untuk mengakses data ladang mereka bila-bila dan di mana sahaja melalui pelayar web pada mana-mana peranti mudah alih.

Menerusi teknologi itu juga, pengurus ladang tidak lagi perlu bergantung pada buku log berasaskan kertas atau kaedah-kaedah manual yang lain.

Berdasarkan pengalaman, pengurus ladang masih menggunakan buku log yang bukan sahaja sukar dikendalikan, malah juga menjadikan proses melaporkan data ke ibu pejabat mengambil masa yang agak lama.

Quarto kini ditawarkan untuk ladang-ladang kelapa sawit di Malaysia dan Indonesia.

“Kami melihat bahawa masih terdapat jurang maklumat antara operasi lapangan dan pemantauan dan itulah sebabnya kami menghasilkan Quarto. Inilah pendekatan kami untuk memperluaskan pendigitalan ladang untuk turut memasukkan kerja di peringkat lapangan, bukan hanya di ibu pejabat,” katanya.

Memandangkan kerja-kerja di peringkat ibu pejabat turut boleh dimuat naik dan diakses oleh orang tertentu atau pekerja, Quarto dilengkapi sekuriti dan privasi terbaik selari dengan perkembangan teknologi terkini.

Malah, perisian ini turut mendapat kerjasama bersama Mircosoft dan Google.

“Ini bermakna tidak mudah bagi seseorang untuk menggodam perisian tersebut untuk mendapatkan sebarang maklumat tanpa kebenaran pemilik akaun,” jelasnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pembangunan perisian ini, Kheng Khoon memberitahu, Pembangunan dan pengkomersialan Quarto ditampung oleh dana yang diterima daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berjumlah RM700,000. Ia daripada program Tabung Pembangunan dan Komersialan Produk (PCF).

QuartoStandard meliputi ciri-ciri utama yang penting dalam menguruskan tugas-tugas dan aktiviti kerja dari peringkat estet hingga pelbagai fungsi lain seperti perakaunan, senarai gaji, daftar kedatangan pekerja am dan penuai, pemero­lehan, pengu­rusan inventori, pengurusan tapak semaian dan pengurusan kenderaan yang dijalankan di ibu pejabat ladang. Ia juga sesuai digunakan oleh pekebun kecil.

Perisian ini difahamkan telah digunakan oleh kebanyakan ladang di Malaysia, Indonesia dan Papua New Guinea selain digunakan secara meluas oleh FELCRA Berhad, SIPEF Group, MP Evans Group, Tamaco, Melangking, Guthrie Group dan Lembaga Getah Malaysia.