Meskipun mengusahakan kebun cili gantungnya itu secara kecil-kecilan di sebidang tanah seluas 0.1 hektar yang terletak di Kampung Temin, Jerantut, Pahang, dia berjaya menambahkan pendapatan keluarganya melalui aktiviti pertanian yang dijalankan.

Mengakui tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang pertanian, itu tidak menjadi penghalang untuk dia mencuba bidang itu.

“Saya terdetik untuk mengusahakan penanaman cili dua tahun lalu selepas melihat abang saya menanam cili api secara fertigasi.

“Dari situ saya lihat penanaman cili secara fertigasi agak mudah untuk dilakukan dan cuba bertanya orang yang lebih berpengalaman sebelum memulakan penanaman cili,” katanya yang merupakan lepasan ijazah kewangan dari sebuah universiti awam.

Tambahnya, sebelum memulakan penanaman cili, dia turut mendapatkan nasihat daripada kumpulan petani yang lebih berpengalaman mengenai sistem fertigasi serta mengikuti kursus di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat.

Setelah itu, dia memulakan penanaman cili jenis Kulai 461 dengan modal sebanyak RM3,000 bagi membangunkan sistem fertigasi serta membeli anak benih.

“Buat permulaan saya menanam sebanyak 580 pokok cili di tanah berhampiran rumah dengan menggunakan sistem fertigasi. Saya uruskan kebun sendiri dan dibantu oleh ahli keluarga.

“Bagi musim pertama dan kedua, saya menanam cili di atas tanah, tetapi bermula musim ketiga saya menukar kepada kaedah tanaman cili gantung untuk memudahkan proses tuaian dan memaksimumkan hasil. Bila gantung, kitaran tanaman akan sentiasa berkualiti serta konsisten,” ujarnya.

Jelasnya, sistem fertigasi banyak membantu dia menguruskan kebun secara sendiri dan lebih mudah jika dibandingkan dengan kaedah pertanian secara tradisional serta menjimatkan masa.

Sehingga kini dia berjaya mengutip hasil tuaian sebanyak dua tan bagi satu musim yang memberikan pulangan lumayan sehingga RM14,000 untuk setiap jualan.

Jelasnya, dia tidak hanya menjual cili berkenaan kepada PPK tetapi juga mencari pelanggannya sendiri yang terdiri daripada peniaga kedai makan untuk meluaskan pasarannya.

Atasi cabaran

Walaubagaimanapun, sudah menjadi lumrah bagi setiap pekerjaan yang dilakukan pasti mempunyai cabaran tersendiri yang perlu diatasi.

Tidak dapat lari daripada kenyataan itu, Nazira mengakui pada fasa permulaan dia diuji dengan hasil tanaman yang tidak memuaskan apabila tuaian pertama kali tidak menepati kuantiti yang dijangkakan.

“Tidak tahu di mana silapnya, tetapi hasil tuaian semasa musim pertama tidak maksimum. Sepatutnya hasil tuaian bagi satu pokok akan memberikan hasil sekitar tiga hingga empat kilogram tetapi kami hanya mampu mengutip hasil 1.5 kilogram sahaja bagi satu pokok.

“Disebabkan itu saya mengambil inisiatif melawat kebun-kebun cili yang lain di serata negeri untuk melihat cara kerja dan pengurusan kebun mereka yang menghasilkan tuaian maksimum,” ujar ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Hasil lawatan yang dijalankan di kebun cili sekitar Terengganu dan Negeri Sembilan memberi ilmu pengetahuan yang baharu kepada Nazira dari segi penggunaan dan pemilihan baja serta teknik pengurusan yang lebih efisien.

Bukan itu sahaja katanya, serangan penyakit pokok juga memerlukan pemantauan yang secukupnya serta pengurusan racun yang cekap dan berjadual untuk mengelak serangan serangga atau virus.

Berkat tidak putus asa dan sentiasa mengatasi cabaran yang datang, dia bakal mengembangkan lagi skala penanamannya dengan menambahkan 2,000 polibeg cili menjadikan kebunnya kini berkeluasan 0.4 hektar.

“Tanam cili memang nampak mudah, tapi perlu kerah tenaga terutama ketika proses menuai. Kena biasakan diri dengan panas mentari dan bila tiba musim hujan pula buah akan senang rosak dan pecah.

“Tetapi itu hanya sebahagian daripada proses penanaman, bila tengok hasilnya nanti pasti akan berpuas hati,” katanya yang mahu terus mengembangkan penanaman cili di kampungnya itu.

Dia juga menasihatkan petani-petani yang mahu memulakan pertanian untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan menghadiri kursus-kursus berkaitan sebagai langkah persediaan.