Perkembangan sektor perladangan, pengilangan dan sector hiliran menjana pertumbuhan ekonomi negara, meningkat taraf sosioekonomi penduduk luar bandar dan menyedia peluang pekerjaan kepada empat juta rakyat termasuk 650,000 pekebun kecil.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Kushairi Din berkata, pertumbuhan luar biasa industri sawit mengharumkan nama negara di persada dunia.

Katanya, dengan ditunjangi penglibatan syarikat perladangan serta agensi kerajaan dalam pembangunan tanah pertanian dan pekebun kecil, keluasan tanaman sawit yang menjangkau 5.74 juta hektar merupakan tonggak sektor komoditi perladangan negara.

“Dibandingkan keluasan kawasan tanaman minyak sayuran utama dunia sebanyak 191 juta hektar, tanaman kacang soya adalah yang terbesar iaitu 58 peratus, manakala kelapa sawit hanya 10 peratus.

Walau pun keluasan yang kecil, minyak sawit merupakan penyumbang utama pasaran minyak sayuran global dengan pengeluaran sebanyak 41 peratus berbanding pengeluaran minyak kacang soya hanya 31 peratus,’’ ujarnya.

Beliau menyatakan demikian semasa membentangkan pencapaian dan visi transformasi industry sawit semasa Sesi Pleno Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2017 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya, bagi menghasilkan pengeluaran 3.69 tan minyak sawit, ia memerlukan satu hektar kawasan tanaman.

Dengan jumlah pengeluaran yang sama, tanaman biji sesawi memerlukan tiga kali ganda keluasan tanah pertanian, minyak bunga matahari sebanyak empat kali ganda, kelapa hampir lima kali ganda dan kacang soya paling tinggi iaitu tujuh kali ganda keluasan tanah.

Dr. Ahmad Kushairi berkata, kajian membuktikan tanaman sawit berpotensi menghasilkan pengeluaran sehingga 18.2 tan minyak sehektar setahun membuktikan bahawa tanaman sawit adalah lebih produktif.

Berdasarkan unjuran Pertubuhan Bangsa Bersatu, jumlah penduduk dunia dijangka meningkat 2.3 billion orang kepada 9.1 billion menjelang tahun 2050. Bagi menampung keperluan bekalan bahan makanan dunia, pengeluaran minyak sayuran perlu ditingkatkan hampir tiga kali ganda.

Pada masa ini, dua negara pengeluar utama minyak sawit dunia, Indonesia dan Malaysia menghasilkan 80 peratus pengeluaran minyak sawit dunia.

Minyak sawit Malaysia dieksport ke lebih 200 buah negara yang membekalkan sumber makanan kepada penduduk dunia.

Di sebalik sumbangan penting kepada kesejahteraan ekonomi negara dan bekalan minyak sayuran global, industry sawit terus menjadi sasaran pihak berkepentingan di luar negara yang memburukkan imej industri sawit yang dikaitkan dengan alam sekitar, ancaman kepada habitat hidupan liar dan kesihatan manusia.

Malaysia telah menegaskan pembangunan industri sawit dilaksanakan secara mampan berlandaskan prinsip 3P iaitu Rakyat (People), Alam Sekitar (Planet) dan Keuntungan (Profit) yang dipraktikkan dalam rantaian pengeluaran industri sawit meliputi sektor perladangan.

Usaha kerajaan melalui pembangunan tanah pertanian dengan penanaman sawit menjana ekonomi, membasmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan penduduk di luar bandar dengan kualiti hidup yang lebih baik.

Sejajar Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk membawa lonjakan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, transformasi industri sawit sebagai sektor ekonomi utama negara bagi menjana produktiviti, pendapatan tinggi dan pertumbuhan mampan.

Dr. Ahmad Kushairi turut menghuraikan bahawa transformasi industri sawit ala sektor pembuatan yang menentukan peningkatan produktiviti dan kecekapan daya saing. Dalam konteks ini, keupayaan penggiat industri memanfaatkan teknologi dan inovasi meliputi sektor perladangan dan pemprosesan serta aplikasi teknologi komunikasi akan mencetus evolusi industri sawit.

Penggiat industri sawit boleh memanfaatkan kemajuan penyelidikan dalam bidang bioteknologi yang menghasilkan bahan tanaman sawit berkualiti untuk peningkatan produktiviti dan kualiti minyak sawit serta produk tambah nilai. Penggunaan benih berkualiti, amalan pertanian baik, teknik kawalan penyakit dan perosak sawit melalui teknik moden akan menjamin peningkatan produktiviti setiap hektar tanaman sawit tanpa melibatkan peningkatan kawasan baharu.

Kejayaan teknologi pemetaan genom MPOB yang telah menghasilkan 34,802 gen meliputi baka sawit berkualiti dan gen Shell yang diterbitkan dalam jurnal Nature. Ini termasuk kejayaan kajian gen penghasil minyak dan pelbagai gen pengatur dalam buah sawit Elaeisguinensis, baka sawit yang ditanam secara komersial berasal dari benua Afrika.

n Penulis adalah Ketua Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan MPOB