Namun setelah 10 tahun, pemuda berjiwa kental ini kian dikenali, malah dianggap sebagai 'taikun cili centil' di nege­ri ini. Ini kerana beliau bukan sahaja menjadi penanam dan pengeluar cili berskala besar, malah berjaya melaksanakan Projek Mentor Menti Cili Centil dengan melahirkan 150 usahawan setakat ini.

Berasal dari Kampung Kota Dalam, Ayer Hitam, Sheikh Mohd. Noh kini mempu­nyai hampir 200,000 pokok dan mampu menghasilkan satu tan metrik cili centil seminggu.

Bapa kepada tiga anak yang lebih disenangi dipanggil Noh memberitahu, penghasilan cili centil dari ladangnya masih tidak men­cukupi bagi meme­nuhi permintaan di kawasan Ayer Hitam hingga ke Bandar Penggaram.

“Permintaan cili di daerah ini meningkat mendadak sejak kebelakangan ini, bukan sahaja disebabkan permintaan oleh masyarakat setempat, malah keadaan itu ditambah dengan kehadiran ramai warga Bangladesh yang bekerja dalam sektor pembuatan di daerah ini yang menjadikan cili sebagai ‘ulam’ mereka.

“Kalau tengok mereka (warga Bangladesh) beli cili tidak kurang satu kilogram untuk empat orang dan keadaan itu me­­n­yum­bang terhadap permintaan cili yang tinggi.

“Kira-kira tiga tahun lalu, saya hanya ada 100 menti dan kini jumlah itu meningkat kepada 150 orang. Oleh itu, saya mengharapkan mereka meningkatkan tanaman masing-masing dengan menyasarkan mampu menghasilkan dua tan metrik se­minggu,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mengenai projek fertigasi, pihaknya mengenakan bayaran sebanyak RM2,700 untuk 100 pokok cili yang merangkumi pakej benih, baja, racun, besi pancang, sistem paip, tong racun, tangki dan pam air bagi tempoh semusim, iaitu selama enam bulan.

“Dalam tempoh tersebut saya akan memberikan khidmat kaunseling kepada 200 usahawan terlibat dan hasil tuaian cili akan dibeli daripada mereka dengan harga borong RM14 berbanding hanya RM12 sekilogram (kg), empat tahun lalu.

“Jadi tempat saya dijadikan pusat pengumpulan cili yang kemudian diedarkan ke Pasar Borong Batu Pahat, Pasar Parit Raja, sekitar kawasan Ayer Hitam dan Kluang,” katanya sambil mengakui tanaman berkenaan mampu memberi hasil lumayan kerana harga runcit cili di pasaran kini mencecah RM23 kilogram.

Ditanya bagaimana bermulanya idea untuk menanam cili, suami kepada Noorhazleen Rahmat, 35, ini mengakui ‘jatuh cinta’ untuk menceburi bidang tersebut apabila menyedari cili mendapat permintaan tinggi, sedangkan bekalannya tidak pernah mencukupi.

Bermula dengan 600 pokok pada September 2006, jumlah cili centil yang diusahakan Noh semakin bertambah menjadi 9,000 pokok ketika ini.

“Pada 2010 saya mendaftar sebagai peserta Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Parit Raja dan menerima peruntukan sebanyak RM100,000 bagi mengembangkan tanaman cili tersebut secara besar-besaran berikutan permintaan yang tinggi.

“Tanpa disedari kejayaan saya telah dilihat oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan pada 2010 saya dianugerahkan Peladang Jaya Kebangsaan ke­rana berjaya mengusahakan cili centil berskala besar.

Bagi menguruskan 9,000 pokok cili, saya dibantu oleh tiga pekerja yang menjalankan kerja-kerja kebun dan 13 pemetik cili yang terdiri daripada jiran-jiran yang sedikit sebanyak menambah sumber pendapatan ke­luarga mereka,” katanya yang sebelum ini merupakan seorang pekerja kilang.

Mengenai perancangan ma­sa depan, Noh berharap dapat berkongsi pengalaman dan memberi khidmat nasihat untuk melahirkan antara 200 hingga 250 usahawan cili.