Kajian oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga mendapati secara puratanya, rakyat negara ini hanya makan buah-buahan lima kilogram sebulan, sekilogram seminggu dan 120 gram sehari iaitu lapan kali ganda lebih rendah berbanding saranan WHO.

Menyedari cabaran tersebut, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang dipertanggungjawabkan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan pertanian tidak pernah berhenti dalam usaha menambah baik termasuk penghasilan klon baharu tanaman.

Penggemar buah- buahan pastinya tidak sabar menantikan klon baharu selepas diperkenalkan dengan Ciku Mega, Mutiara Wangi dan Mutiara Merah (rambutan) serta Superhot (tembikai ) dan Bintang Mas (belimbing).

Penggemar mangga mungkin biasa mendengar Harumanis, Raja dan Siam Panjang, tapi pernahkah mendengar klon Nangklangwarn dan satu lagi klon bakal muncul yang ciri cirinya lebih red blush.

Penggemar durian mungkin biasa mendengar mengenai MDUR, Musang King, 101 atau D168 dan D24 tetapi tiga lagi hibrid bakal muncul iaitu yang diberi nama atau kod 15-3, 14-3 dan 11-11. Satu lagi jenis buah yang bakal menerima sentuhan inovasi dalam pembaik baka adalah manggis dan sedang dalam proses untuk dilancarkan iaitu manggis tanpa biji.

Untuk tujuan itu, MARDI mewujudkan Pusat Kecemerlangan dan Penyelidikan dan Inovasi Buah-buahan.

Ia merupakan sebuah pusat setempat bagi penyelidikan dan inovasi MARDI bagi sektor buah-buahan. Pusat tersebut menyasarkan kepada penyelidikan tanaman buah-buahan tropika melibatkan beberapa buah terpilih antaranya mangga, manggis, durian, nangka, pisang, betik, nanas dan melon.

Menurut Ketua Stesen Pusat Kecemerlangan (COE) dan Inovasi Buah-Buahan Tropika MARDI Sintok, Hartinee Abbas, pihaknya memfokuskan kepada penyelidikan buah-buahan dari tujuh pusat kecemerlangan COE yang MARDI ada.

Selain di Sintok untuk buah-buahan, COE lain adalah Bagan Datuk (kelapa), Cameron Highlands (tanaman tanah tinggi) Bachok (ubi) dan Kluang (ternakan).

Penyelidikan buah-buahan pula disokong oleh stesen-stesen penyelidikan di Stesen MARDI Serdang, Jerangau, Jelebu, Kluang, Pontian, dan Jeram Pasu.

Pusat kecemerlangan tersebut mula menampakkan kejayaannya dengan pelancaran Ciku Mega ada 1994. Banyak lagi kejayaan hasil penyelidikan bukan sahaja berkaitan penghasilan klon, tetapi juga untuk kajian penyakit buah-buahan dan pakej tanaman lain.

Menurut Hartinee, sebarang penyelidikan pembiak baka buah-buahan yang dijalankan di Sintok adalah berdasarkan permintaan petani selepas mendapat arahan kerajaan.

“(Sebagai contoh) fokus kami dalam pengeluaran buah-buahan adalah mangga, durian, betik, nanas, manggis, pisang , melon dan belimbing (berdasarkan permintaan),” ujarnya.

Selain itu, pihaknya juga meneroka potensi buah- buahan pada masa akan datang seperti buah tin, gac (buah kelihatan seperti koko) dan lemon.

Berkongsi lebih lanjut, beliau berkata, kajian juga bertujuan pembiakbakaan, pembangunan varieti baharu selain meningkatkan amalan agronomi dan fisiologi tumbuhan

Mengenai hal ini beliau memberi contoh, dalam aspek penambahbaikan tanaman nanas, pihaknya menghasilkan baja tanaman tersebut untuk ditanam di tanah mineral. Baja tersebut boleh diguna sekali sahaja dalam tempoh penanaman nanas selama 15 bulan khususnya varieti morris dan josaphine.

COE MARDI Sintok juga katanya berperanan menyimpan janaplasma buah-buahan terbesar di Malaysia dan menyediakan jualan anak pokok dan benih berkualiti serta menjadi tempat pembelajaran kepada pelajar.

Pusat berkenaan juga menjadi rujukan bagi agensi setempat dan dari seluruh negara berkaitan teknologi buah-buahan.

“Diperkuatkan dengan 11 orang pegawai penyelidik sebagai pakar rujuk dari pelbagai bidang, pusat ini juga menyediakan ceramah dan kertas kerja serta seminar berkaitan buah-buahan tropika dan menyumbang anak pokok kepada aktiviti berkaitan pemulihan alam sekitar,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkongsi pandangan kepada petani supaya menambah ilmu sebelum menceburi bidang tanaman buah-buahan.

“Mereka perlu bijak memilih jenis buah-buahan yang hendak ditanam dan mempunyai ilmu teknikal tentang jenis tanaman tersebut,” ujarnya.

Hartinee juga berharap COE penyelidikan buah-buahan yang MARDI miliki akan menjadi rujukan dan tarikan agropelancongan di peringkat glokal dan global dengan konsep zero waste dan menggunakan pendekatan organik bagi tadbir urus ladang yang lestari serta mampu menghasilkan varieti baharu buah-buahan dan pengeluaran bahan tanaman berkualiti,

Pengurusan perosak dan penyakit yang mapan, pengendalian lepas tuai yang efisien serta mampu menghasilkan produk hiliran yang berkualiti dan bermutu tinggi bersesuaian dengan piawaian nasional dan antarabangsa.

Sebagai contoh, penyakit mati rosot betik (MRB) menghapuskan hamper keseluruhan industri betik eksotika . Beberapa penyakit buah-buahan yang serius yang dikenal pasti adalah reput teras bakteria (BHR) dan reput hitam (BHD) nanas, layu fusarium dan leaf blood disease pisang dan layu bakteria dan karat nangka.

Masalah tersebut sebenarnya telah mendapat perhatian kerajaan.

Lima cabaran utama

RAKYAT Malaysia memang suka makan buah-buahan segar, namun industri buah-buahan negara menghadapi lima cabaran utama dari segi pengeluaran.

Cabaran pertama adalah kos pengeluaran buah-buahan yang semakin meningkat. Ini kerana peningkatan pelbagai kos yang tidak dapat dielakkan seperti kos pembangunan, kos bahan input seperti baja dan kos tenaga kerja.

Cabaran kedua pula adalah amalan pertanian yang tidak efektif. Amalan pertanian yang tidak mengikut piawaian atau cara-cara yang terbukti berkesan seperti kadar pembajaan dan kekerapan yang sepatutnya diamalkan boleh menjadi salah satu faktor kepada pengeluaran hasil yang tidak sekata dan akan merugikan petani dan negara.

Cabaran ketiga pula adalah pengurangan keluasan bertanam dan luas berhasil. Pengeluaran buah-buahan negara telah merosot daripada 1.64 juta tan metrik pada 2010 kepada 1.59 tan metrik lima tahun kemudian.

Keluasan tanah berhasil buah-buahan juga merosot daripada 159,000 hektar kepada 148,000 hektar dalam masa lima tahun.

Mungkin ini disebabkan oleh pengurangan keluasan bertanam buah-buahan daripada 239,000 hektar pada 2010 berbanding 200,000 hektar pada 2015.

Cabaran keempat pula yang ketara adalah nilai import buah-buahan melebihi nilai eksport. Nilai import buah-buahan ke Malaysia meningkat 4.2 peratus setahun dengan peningkatan daripada 190,000 tan metrik pada 2010 kepada 234,000 tan metrik pada 2015.

Nilai ini dijangka terus meningkat kepada 241,000 tan metrik pada 2020.

Nilai eksport buah-buahan juga menunjukkan aliran semasa yang meningkat tetapi pada nilai yang lebih rendah iaitu satu peratus setahun. Terdapat peningkatan daripada 244,000 tan metrik pada 2010, sebanyak 253,000 tan metrik pada 2015 dan diunjurkan sebanyak 366,000 tan metrik pada 2020. imbangan dagangan (BOT) yang negatif ini merugikan negara dan perlu dikurangkan.

Cabaran kelima adalah masalah penyakit buah-buahan yang masih dihadapi oleh negara. Pokok buah-buahan sentiasa terdedah dengan pelbagai penyakit dan ini boleh mengurangkan hasil.

Fungsi penubuhan COE buah-buahan

I. Pengeluaran bahan tanaman

Pengeluaran tanaman buah-buahan yang berkualiti daripada varieti yang diisytiharkan oleh MARDI.

II. Agronomi dan Fisiologi Tumbuhan

Penambahbaikan kaedah agronomi dan amalan kultura yang digunakan untuk meningkatkan hasil tanaman buah-buahan dan memperbaiki fungsi tanah.

III. Pengurusan lepas tuai

Amalan pengendalian lepas tuai bermula daripada peringkat penuaian sehingga hasil sampai ke tangan pengguna. Penyelidikan lepas tuai yang baik dapat memanjangkan jangka hayat buah dan mengurangkan kehilangan lepas tuai.

IV. Pembangunan varieti

Penghasilan varieti yang mempunyai nilai ekonomi yang tinggi bersesuaian dengan sistem penanaman moden. Ia juga fokus kepada penghasilan varieti yang mempunyai ciri yang lebih baik daripada varieti sedia ada di pasaran seperti berhasil tinggi, rintang penyakit, kualiti buah yang lebih baik dan memberi manfaat kesihatan.

V. Pengurusan perosak dan penyakit

Membangunkan teknologi secara menyeluruh bagi menangani masalah utama serangan perosak dan penyakit. Ia bertujuan membangunkan pakej kawalan perosak dan penyakit yang lestari dan mesra alam melalui penggunaana gen biologi dan sumber organik.

VI. Inovasi mekanikasi dan automasi

Penggunaan teknologi kejuruteraan canggih bagi meningkatkan produktiviti penyelidikan di samping mengurangkan tenaga kerja. Penyelidikan merangkumi aktiviti pengeluaran buah-buahan daripada penyediaan tanah, pengairan, penanaman, penjagaan tanaman, penuaian dan pemprosesan lepas tuai.

VII. Pemindahan dan pengkomersialan teknologi

Ia dilakukan menerusi khidmat sokongan teknikal, bimbingan usahawan, kursus dan latihan.

Ia bertujuan membangun dan memindahkan teknologi MARDI kepada golongan sasar berasaskan teknologi terkini dalam bidang berkaitan.