Permintaan yang terlalu tinggi terhadap sumber protein ini menyebabkan ramai penternak mula melaksanakan projek ternak ayam bagi memenuhi permintaan orang ramai.

Malah, harga ayam yang konsisten dalam pasaran mendorong penternak untuk terlibat secara langsung dan industri tersebut.

Mohamad Aliff Abdul Rahim
MOHAMAD ALIFF ABDUL RAHIM

Pun begitu, seperti yang diketahui umum tidak semua ayam yang dijual dipasarkan secara bersih dan mematuhi syariat Islam. Ini kerana orang ramai tidak mengetahui dan tidak menyaksikan dengan mata sendiri berkaitan kebersihan kawasan ternakan, rumah dan cara penyembelihan mengikut hukum syarak.

Oleh kerana rasa syak wasangka tersebut, Ladangku Maju Sdn. Bhd. (Ladangku) menjadi antara syarikat milik bumiputera yang membekalkan ayam halal untuk rakyat Malaysia.

Sejak beroperasi pada 2013, Ladangku bertanggungjawab membekalkan ayam yang diproses mengikut syarak.

Pengurus Rangkaian Jualannya, Mohamad Aliff Abdul Rahim berkata, objektif penubuhan syarikat tersebut bagi membekal dan menghasilkan ayam segar halal dalam pasaran tempatan.

Ini kerana umat Islam amat menitikberatkan aspek bukan sahaja jenis makanan halal, tetapi juga proses penyembelihan dengan memastikan urat halkum dan urat marih diputuskan menggunakan alat tajam dengan niat kerana Allah.

Ladangku mengamalkan Skim Amalan Ladang Ternak menerima bekalan ayam dari penternak di seluruh negara dan sepanjang enam tahun dalam industri, syarikat itu kini mengorak langkah dengan memperkenalkan program stokis bagi membantu menambah pendapatan orang ramai.

“Melalui program tersebut, kami memberi galakan kepada suri rumah khususnya yang ingin terlibat dalam perniagaan ayam tanpa mengeluarkan modal yang besar dan tidak perlu memiliki tanah untuk membina reban,” katanya.

Tambah Mohamad Alif, sejak program tersebut diperkenalkan ia berjaya menambah pendapatan stokis sekali gus meringankan bebanan kewangan mereka.

“Tujuan stokis dilantik bagi membolehkan orang ramai membeli ayam halal selain memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kebersihan dan cara penyembelihan yang sempurna mengikut syariat Islam.

“Dalam masa sama sudah pastinya bagi mereka memperoleh pendapatan,” ujarnya.

Katanya lagi, stokis akan menjual ayam tersebut di kawasan setempat dan kejiranan yang berdekatan kediaman mereka.

“Bagi mereka yang berminat untuk menjadi stokis hanya memerlukan modal permulaan sebanyak RM700 bagi memesan 48 ekor ayam. Selain itu mereka akan dilatih mengenai teknik menjual, asas perniagaan dan cara mencari pelanggan.

“Mereka yang berminat boleh melayari laman utama ladangku di www.ladangku.my.

“Selain itu, bagi orang ramai yang ingin mendapatkan bekalan ayam juga boleh melawat laman sesawang tersebut bagi memperoleh lokasi stokis berdekatan,” katanya lagi.

Sebanyak 5,000 ekor ayam akan disembelih dan diproses dalam sehari sekali gus membuktikan bekalan yang ada sentiasa mencukupi walupun pada musim perayaan.

Selain ayam segar, Ladangku turut membekalkan ayam sejuk beku yang bebas hormon dan suntikan antibiotik.

Apa yang isitmewa mengenai Ladangku Maju Sdn. Bhd. adalah syarikat berkenaan bertanggungjawab membekalkan ayam yang diproses mengikut syariah memandangkan makanan halal merupakan satu aspek yang amat dititikberatkan dalam Islam.

Seperkara lagi, bekalan ayam juga diperoleh daripada pembekal yang dikenali dan disahkan halal tentang proses penyembelihannya.

Kilang memproses ayam pertamanya terletak di Jalan Kapar, Klang, Selangor pada 2013 sebelum membuka sebuah lagi kilang baharu tiga tahun kemudian.

Antara cabaran yang dihadapinya ketika mula-mula membuka kilang memproses ayam adalah untuk mendapatkan sijil halal.

Sijil halal penting bagi meyakinkan pengguna bahawa ayam yang diproses menepati syarak.

Ini kerana isu ayam halal sering mendapat perhatian media massa menerusi laporan yang didedahkan berhubung penjualan ayam yang diragui status halalnya.

Status halal untuk haiwan ternakan bermula dari proses penyembelihan. Jika proses penyembelihan menepati syarak maka haiwan itu halal dimakan.

Bagi memastikan status tersebut terpelihara, petugas syarikat adalah terlatih dan bertauliah untuk menjalankan kerja-kerja penyembelihan.

Kesemua pekerja yang diambil untuk bahagian penyembelihan adalah mereka yang mengutamakan solat dan berpakaian menutup aurat.

Ini penting kerana jika mereka mementingkan agama mereka akan melakukan kerja dengan sebaiknya.

Setiap ladang ayam yang dipilih pula mestilah diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta mendapat pengiktirafan persijilan Amalan Pertanian Baik (myGAP), iaitu persijilan yang memberi pengiktirafan kepada ladang untuk mengeluarkan hasil yang berkualiti dan selamat dimakan.