Projek fertigasi merupakan sebahagian daripada subjek semester dua iaitu Kursus YL202 iaitu Nursery Operation yang membolehkan pelajar mempelajari konsep fertigasi dan keperluannya. Antaranya adalah pendedahan mengenai kaedah membuat media semaian yang biasanya menggunakan antara 185 hingga 200 polibeg.

Program tersebut memberi peluang kepada pelajar menanam sayur dan buah-buahan menerusi sistem fertigasi.

Pelajar juga dapat didedahkan dalam bidang keusahawanan secara kreatif dan inovatif menerusi kaedah tersebut yang lebih cekap dan berkesan serta kos efektif.

Projek tanaman fertigasi diusahakan oleh pelajar JAB di bawah program Diploma Landskap Hortikultur (DLH).

Tanaman juga dijalankan secara penggiliran mengikut semester pengajian.

Projek tanaman diusahakan oleh pelajar-pelajar semester satu di bawah bimbingan Nurul Shafiqah Sulaiman sebagai pensyarah Kursus DYL1023 Nursery Operation dan Muhammad Fadhli Tariq sebagai penyelaras Inkubator DHL.

Projek ini bermula pada setiap awal semester dan merangkumi beberapa prosedur kerja.

Prosedur pertama adalah pelajar perlu melakukan persediaan tapak untuk projek yang akan dijalankan.

Kerja –kerja lain termasuk merumpai, menyelenggara sistem paip dan meracun rumah fertigasi bagi persediaan untuk tanaman yang akan datang.

Seterusnya pelajar akan dibimbing cara- cara menyemai benih pokok. Benih pokok perlu disemai pada bekas semaian dengan menggunakan media hampas sisa sawit (peat moss). Peatmoss adalah media semaian yang terbaik bagi benih pokok kerana mengandungi sumber nutrien yang tinggi membolehkan baja diambil oleh tanaman dengan lebih efisien serta keupayaan menyokong sistem akar anak pokok yang baik.

Anak pokok yang telah bercambah akan dijaga dengan siraman sekurang-kurangnya dua kali sehari. Tempoh untuk pemindahan anak pokok adalah bergantung pada jenis yang ditanam iaitu dari tujuh hingga 30 hari.

Bagi sistem fertigasi, cara siraman adalah menggunakan penitis dan ditetapkan pada peranti pengawalan masa yang dipasang. Ini dapat mengurangkan penggunaan tenaga dan masa pelajar.

Baja pula adalah daripada larutan yang disukat menggunakan EC meter.

Sementara itu Muhammad Fadhli berkata, pelajar bertugas untuk menjaga pokok masing-masing dan ini dapat memupuk sikap tanggungjawab mereka dari semester satu.

“Pelajar juga akan berasa teruja apabila mengikuti perkembangan sayur yang ditanam sekali gus dapat meningkatkan motivasi mereka. “Kami menjalankan sistem tanaman giliran. Ini merupakan kaedah kawalan penyakit secara kultura yang diaplikasikan di Politeknik Nilai.

“Tanaman yang pernah diusahakan adalah sawi, bayam, kailan, brokoli, kubis, kubis bunga, tomato, rock melon dan cili Kulai 461,” ujarnya.

Jangka hayat tempoh matang sayur yang dipilih kebiasaannya adalah singkat. Ini membolehkan pelajar mempelajari semua operasi pengendalian fertigasi dari mula hingga akhir.

Hasil tuaian pelajar akan dijual pada komuniti dan dapat memupuk semangat keusahawanan pelajar.

Pelajar DLH semester satu, Muhammad Farhan Zulkefly berkata, kursus tersebut sangat memberi manafaat kerana dapat memupuk minat pelajar untuk bercucuk tanam dan pendedahan terbaik kepada operasi pengendalian dan semangat keusahawanan yang boleh menjana ekonomi sejajar dengan visi pertanian satu perniagaan.

Dengan tanaman cili melalui sistem fertigasi ini pelajar telah menghasilkan jeruk cili dengan jenama ‘Kak Long’ bagi dipasarkan di kedai-kedai”.