Sebahagian kecil penggemar mungkin hanya tahu mengenai teh diperbuat daripada daunnya yang dipetik, dikeringkan dan dikisar sebelum diletak dalam uncang dan diminum selepas direndamkan dalam air panas. Tidak lebih dariapada itu.

Sebenarnya kerja-kerja menghasilkan teh perlu melalui beberapa proses bermula daripada daun dipetik dari ladang.

Daun teh yang dituai bagi tujuan pemprosesan adalah pada bahagian pucuk (leaves and leaf-buds), iaitu dua helai daun dari pucuk.

Terdapat beberapa jenis teh yang dihasilkan daripada tumbuhan yang sama iaitu Camellia sinensis.

Teh tersebut adalah seperti black tea, white tea, green tea, yellow tea, oolong tea dan pu-erh tea.

Berdasarkan sejarah, teh mula dikenali di (Yunan) Cina, ribuan tahun yang lalu.

Dicatatkan penggunaan teh sebagai minuman seawal kurun ke-3 di negara tersebut. Teh diperkenalkan ke Portugal dan Lebanon pada kurun ke-16.

Di Malaysia, ladang teh boleh ditemukan di Cameron Highlands, Pahang dan kawasan penanaman terawal ialah di Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands (TATMCH).

Teh yang dihasilkan adalah serbuk teh hitam atau black tea dust.

Menurut pengurus ladang teh taman agroteknologi tersebut, Yazed Mahiyuddin pada masa ini dua jenis teh yang dikomersialkan iaitu teh Cina (Camellia sinensis var sinensis dan teh India (Camelia sinensis var. assamicca). Teh India mempunyai saiz daun yang lebih besar berbanding teh Cina.

“Teh yang diproses untuk minuman mengandungi bahan-bahan yang berkhasiat untuk manusia. Selain vitamin dan mineral, daun teh mengandungi bahan-bahan antioksidan yang sangat baik untuk kesihatan.

“Ekstrak daripada daun teh contohnya mengandungi catechin, khususnya Epigallocatechin gallate (EGCG) iaitu sebatian unik dalam tumbuhan yang mempunyai nilai-nilai perubatan (pharmacological),’’ ujarnya.

Beliau berkata, di Cameron Highlands tanaman teh sangat penting sebagai aset agropelancongan tanah tinggi kerana ia menjadi tarikan utama pengunjung selain tanaman strawberi, sayur dan bunga-bungaan.

Menurut beliau, teh Cameron Highlands terkenal sebagai minuman warisan yang biasa dinikmati bersama skon iaitu makanan seperti roti yang dimakan pada waktu petang oleh orang British pada waktu dahulu. Ia dikenali sebagai afternoon tea atau hi-tea.

Bagi pengunjung dari luar negara, mereka kerap disajikan dengan set makanan yang mengandungi skon, teh Cameron Highlands, strawberi dan coklat. Selain terdapat kepelbagaian dalam produk hiliran teh serta pembungkusannya, pengunjung juga pastinya tertarik melihat panorama indah landskap teh di lereng bukit.

Mengenai aspek penanaman Yazed berkata, teh dibiakkan melalui penyemaian biji benih atau keratan batang.

Penggunaan biji benih teh mengambil masa sehingga dua tahun sebelum boleh ditanam di kawasan lapangan.

Beliau berkata, teh tumbuh subur di kawasan tanah berasid. Pembajaan seimbang yang mengandungi unsur nitrogen (N), fosforus (P) dan kalium (K) perlu dilakukan seperti tumbuhan yang lain.

Penyemburan racun kulat bagi mengawal penyakit kulat brown blight, grey blight (yang disebabkan oleh Colletrotrichum sp. dan Pestalotipsis sp.) dan blister blight yang disebabkan oleh exobasidium vexans perlu dilakukan bagi mengawal penyakit-penyakit tersebut.

Penyakit kulat pada bahagian-bahagian lain pokok seperti batang juga perlu kepada penyemburan fungicide.

Baja foliar yang tinggi kandungan N pula perlu disembur bagi memastikan daun yang subur dapat dihasilkan.

Kerja-kerja memangkas perlu dilakukan dua tahun sekali (setinggi paras pinggang) bagi memastikan pokoknya tidak tinggi dan daunnya mudah dituai.

Pemprosesan

Daun teh yang sesuai diproses biasanya mengeluarkan pucuk setinggi antara 10 hingga 15 sentimeter.

Penggunaan mesin pemotong yang dikendalikan oleh tiga orang boleh menuai daun dengan lebih cepat berbanding penuaian secara manual seperti penggunaan gunting atau shear.

Teh yang dituai diletakkan di atas para dan penggunaan angin daripada kipas akan melayukan daun di kilang yang mengambil masa antara sembilan hingga 18 jam. Proses ini dinamakan pelayuan atau withering.

Teh kemudian dijatuhkan melalui sebuah lubang ke kawasan bawah iaitu mesin penggelek atau roller bersaiz 36 inci diameter.

Daun-daun teh ini kemudian dimasukkan ke dalam penggelek oleh pekerja yang boleh memuatkan 200 hingga 250 kilogram daun. Proses menggiling daun ini mengambil masa kira-kira 45 minit.

Daun yang separa hancur dipindahkan ke mesin kedua iaitu rotorvane secara manual.

Mesin rotorvane berfungsi menghancurkan daun kepada saiz yang lebih kecil lagi.

Daun yang hancur kemudian akan pergi ke mesin ketiga secara automatik bagi memisahkannya dengan yang kasar menggunakan pengayak.

Beberapa tray atau dulang logam diletakkan di bawah pengayak tersebut supaya teh yang halus akan diperoleh.

Bekas dulang tersebut kemudian disusun di atas satu struktur bagi proses fermentasi antara dua hingga lapan jam pada suhu bilik.

Serbuk teh yang telah melalui proses fermentasi dipindahkan ke dalam ketuhar bagi tujuan pengeringan.

Serbuk teh dikeringkan dengan suhu sehingga 90 darjah Celsius selama 20 minit.

Teh kemudian digredkan dengan mesin penggredan yang menggunakan static eletricity bagi mengasingkan teh yang halus dan kasar.

Beberapa jenis teh seperti dust atau super fine, BOPF (Broken orange pekoe fannings) dan BOP( Broken orange pekoe) serta fiber akan terhasil.

Dust dan BOPF biasanya dicampurkan supaya adunan masing masing mengandungi 25 peratus dan 75 peratus kedua -duanya menjadi teh premium yang dimuatkan dalam uncang seberat tiga gram.

Mesin khas digunakan untuk memasukkan teh dalam uncang dengan kadar yang cepat. Uncang teh kemudian dimasukkan ke dalam plastik khas untuk lima uncang setiap satu.

Lima plastik berisi lima uncang. Setiap satu dimasukkan ke dalam kotak berbentuk piramid atau setiap kotak mengandungi 25 uncang.

Teh Nutrima by MARDI dijual di pusat jualan MARDI Cameron Highlands dengan harga RM6.50 sekotak.


Sejarah teh Cameron Highlands

Sejarah teh di Cameron Highlands dikaitkan dengan kisah pendudukan dan penempatan British di pusat peranginan tersebut.

Cameron Highlands ditemukan oleh William Cameron pada 1885.

 

Namun, pembangunan Cameron Highlands bermula pada 1925 apabila British mula membangunkan Federal Experimental Station atau Stesen Penyelidikan Persekutuan di Tanah Rata iaitu lokasi penyelidikan teh dijalankan.

Kawasan tersebut diletakkan di bawah penga­wasan Kementerian Pertanian dan ditadbir oleh Jabatan Pertanian apabila negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Yazed Mahiyuddin berkata, pada 1971 MARDI mengambil alih kawasan tersebut bagi memulakan program penyelidikan pertanian tanah tinggi.

Menurut beliau, apabila British membangunkan kawasan tersebut, seorang pegawai British bernama John Archibald Russel telah pergi ke India dan Sri Lanka serta membawa balik 200 biji benih teh terutama dari beberapa kawasan di Assam, India.

Katanya lagi, teh yang dimaksudkan adalah Camellia sinensis var assamicca. Antara teh-teh tersebut adalah seperti Betjan, Charali, Dangri, Dhonjan dan Rajghur yang namanya diambil dari kawasan ia diperoleh atau ditanam di Assam.

“Walaupun terdapat maklumat mengatakan pokok teh sudah ada ditanam di kawasan tersebut pada 1925, namun antara teh yang terawal ditanam mengikut rekod adalah Charali dan Betjan iaitu pada 1927,” ujarnya.

Terdapat kira-kira 60 ekar (15 hektar) kawasan yang ditanam dengan teh pada masa dahulu berbanding hanya lima ekar (1.25 hektar) yang masih mengeluarkan hasil pada waktu ini.

Kilang teh pertama dibina pada 1935 oleh Kerajaan British.

Sejak itu kilang teh mengeluarkan serbuk teh hitam atau black tea dust.

Pada masa ini serbuk teh hitam dihasilkan dalam bentuk uncang dan dibungkus dalam kotak berbentuk piramid (penjenamaan semula produk Nutrima) bagi jualan di pusat jualan TATMCH dengan jenama Nutrima by MARDI.