Bermula daripada kaedah penanaman, pembajaan dan pemantauan menggunakan sistem teknologi, semuanya turut berkembang dan diinovasi untuk memaksimumkan hasil serta meningkatkan pendapatan petani.

Meneruskan lagi usaha itu Universiti Putra Malaysia (UPM) menghasilkan satu lagi inovasi yang bakal memanfaatkan bidang pertanian sekali gus membantu pembangunan negara.

MOHAMMAD EFFENDY YAACOB
MOHAMMAD EFFENDY YAACOB 

Sekumpulan penyelidiknya dari Fakulti Kejuruteraan telah membangunkan inovasi A Retractable Drying and Planting Rack for AgroPhotovoltaics Farm yang bertujuan meminimumkan risiko keselamatan semasa aktiviti pertanian terutama apabila bekerja di bawah struktur photovoltaic (PV).

Inovasi itu boleh diguna pakai di semua ladang solar PV untuk tujuan pertanian di samping dapat menjimatkan masa, tenaga, risiko kesihatan dan kos buruh.

Menurut ketua penyelidiknya, Ir. Dr. Mohammad Effendy Yaacob, Konsep AgroPhotovoltaic (AgroPV) yang dibangunkan adalah kaedah pertanian dengan menggunakan ruang yang tidak digunakan di ladang solar PV bagi mengoptimumkan penggunaan tanah.

Oleh itu, kos pembinaan struktur boleh diabaikan atau pada nilai yang sangat minimum disebabkan alat ini hanya menggunakan infrastruktur ladang PV sedia ada.

Bagi memastikan tiada gangguan terhadap penghasilan tenaga elektrik arus terus (DC) oleh penjana PV, hanya tanaman yang sesuai akan digunakan untuk tujuan pertanian.

“Secara relatifnya struktur PV tersebut akan menjadi penghadang cahaya yang dapat melindungi tanaman daripada kesan buruk perubahan iklim seperti kekeringan, ribut dan hujan lebat.

Walaubagaimanapun ia bergantung kepada ketahanan tanaman serta toleransi cahaya matahari yang diterima,” katanya.

Inovasi itu yang dibangunkan sejak 2015 dirasmikan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (MESTECC), Isnaraissah Munirah Majilis.

Yang turut hadir Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dr. Aini Ideris.

Projek yang mendapat suntikan dana sebanyak RM60,000 daripada syarikat kerjasama, Pekat Solar Sdn. Bhd. turut melibatkan penyelidik dari Fakulti Pertanian UPM, Dr. Ahmad Suhaizi Mat Su dan Noor Fadzlinda Othman.

Tambah Mohammad Effendy, dengan menggunakan konsep pemanasan setempat di bawah PV, haba yang hilang boleh dituai dan digunakan semula untuk mempercepatkan proses pelayuan dan pengeringan.

Struktur ini juga boleh diperluas di bawah Modul PV Solar yang dapat memudahkan proses penanaman, pemangkasan, pemantauan dan penanaman semula.

Proses serapan haba oleh tumbuhan hijau secara alami dapat mengurangkan suhu sel PV seterusnya meningkatkan kecekapan penjanaan tenaga elektrik.

“Inovasi ini juga dibangunkan bagi memudahkan urusan penanaman, menyediakan kawasan penanaman yang luas serta menjamin penjimatan tenaga dan kos efektif dalam penyediaan rak penanaman dan pengeringan di ladang AgroPV.

“Kelebihan pemasangan rak penanaman dan pengeringan di ladang AgroPV adalah tiada kos tambahan untuk struktur PV, lebihan kewangan untuk tanah yang tidak digunakan,kos yang rendah dengan bahan gred tinggi, pemasangan dan operasi yang mudah serta inovasi hijau dengan Integrasi Nexus,” ujarnya lagi.

Selain itu, inovasi ini turut berfungsi mengurangkan jurang dari segi operasi praktikal terutama semasa proses penanaman, penuaian dan pasca penuaian.

Ia menyediakan cara untuk mengurangkan penggunaan tenaga buruh semasa proses penanaman, pemangkasan, pemantauan dan penanaman semula di bawah ladang AgroPV.

Paling penting, inovasi ini mampu menyelesaikan masalah sumber tanah terutama di kawasan bandar yang terhad serta memudahkan kerja-kerja pertanian bawah panel solar PV tanpa gangguan kepada sistem sedia ada.

Tidak terkecuali, konsep ladang AgroPV juga akan mempromosi inisiatif tenaga hijau dalam membantu pengurangan pelepasan karbon.

Teknologi ini disasarkan kepada operator ladang solar PV, pengusaha ladang herba dan teh misai kucing serta pengilang OEM.

Sementara itu, Isnaraissah Munirah berkata, kementerian telah melancarkan Inisiatif MESTECC 2019 yang menggariskan 73 Inisiatif dan lebih 150 Pelan Tindakan sebagai satu garis panduan kerajaan.

Dengan tema ‘Kuasai, Laksana, Ungguli, Inisiatif 2019’, MESTECC akan merangkumi teras berikut seperti Sektor Tenaga, Sektor Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), Sektor Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Kecemerlangan Organisasi dan Isu Strategik.

“Inisiatif dan gerak kerja ini amat memerlukan kerjasama bersepadu dan sokongan semua pihak terutama institusi pengajian tinggi (IPT) dalam mempromosi dan membudayakan aplikasi teknologi hijau di peringkat masyarakat umum.

“Konsep Hybrid Agrivoltaic Systems (HAVs) yang merupakan suatu projek Integrasi Nexus dalam merangkumkan penjana tenaga elektrik PV dan plot penanaman herba serta tadahan hujan adalah suatu inovasi yang sangat bermakna,” katanya.

Tambahnya, inisiatif berkenaan dapat dijadikan sumber rujukan berkaitan tenaga hijau diperbaharui bukan sahaja kepada warga kampus, malah masyarakat setempat serta industri yang menjurus kepada revolusi Industri 4.0.

Selain itu, usaha yang ditunjukkan oleh UPM dan syarikat Pekat Solar Sdn. Bhd. diharapkan dapat dipergiatkan secara lebih komprehensif dan berkesan merentasi global.

Dalam pada itu, projek HAVs yang merupakan salah satu hasil penyelidikan UPM bakal mempamerkan teknologi hijau ditambah dengan integrasi kepada bidang pertanian.

“Saya juga percaya inisiatif penyelidik UPM ini dapat membantu MESTECC dalam mempromosi dan membudayakan aplikasi tenaga hijau ke arah mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau

“UPM telah membuat penambahbaikan yang ketara terutama dalam sektor pengangkutan dan infrastruktur seperti saiz ruang hijau yang ada selain penggunaan kemudahan penjimatan tenaga dan basikal yang cekap di kawasan kampus,” jelasnya.