Justeru, jenama pembesar suara komputer global, Edifier baru-baru ini melancarkan model W200BT SE, fon telinga yang direka untuk kegunaan sukan dan kasual dengan ciri-ciri menarik pada harga RM99.

Keselesaan memakai peranti seberat 16.2 gram ini disokong dengan kabel lembut yang bukan sahaja memberi lebih kestabilan, bahkan langsung tidak membebankan telinga semasa aktif bersukan.

Kekemasan berada di telinga disokong dengan klip bersirip (penyangkut) yang memberi keyakinan kepada pemakai untuk pelbagai aktiviti sama ada berlari, berbasikal, mendaki atau bersenam di lapangan.

Malah, dengan radius transmisi tanpa wayar sejauh kira-kira 10 meter, pengguna bebas menikmati muzik kegemaran dalam keselesaan rumah atau gimnasium tanpa perlu ‘mengusung’ telefon pintar ke mana-mana.

Ketika tidak digunakan, fon telinga dengan badan bermagnetik ini boleh dilekatkan di leher seperti rantai atau disimpan kemas.

Kawalannya diringkaskan dengan dua butang utama pada panel sebelah kanan yang memberi capaian ‘pintas’ manakala penetapan secara terperinci pula boleh diakses melalui aplikasi Edifier Connect untuk equalizer, timer dan pemantauan bateri.

W200BT SE dijana oleh bateri lithium 500mAh yang mampu beroperasi sehingga tujuh jam dengan tempoh pengecasan selama sejam setengah.

Bagaimanapun, kadar volume gajet ini boleh dikatakan sedikit perlahan berbanding produk lain. Edifier Malaysia menjelaskan perkara itu sebagai fungsi keselamatan bagi memastikan pemakai kekal peka dalam persekitaran luar kediaman.

Fon telinga stereo yang menggunakan Bluetooth 5.0 ini didatangkan dalam empat warna iaitu hitam, merah, perak dan putih.

SPESIFIKASI

Kuasa bateri : Lithium 500mAh
Ketahanan bateri : 7 jam
Radius tanpa wayar : 10 meter
Keselesaan fungsi: Kepala bermagnetik
Harga : RM99