Memandangkan suasana hari raya yang masih lagi diraikan keterujaan untuk merakamkan suasana bersama sanak-saudara, sahabat-handai dan rakan-taulan akan meninggalkan kenangan indah jika dirakam dengan betul.

Kebiasaannya ramai antara mereka yang merakamkan gambar tidak memerhatikan elemen latar belakang paling sesuai.

Hal ini akan menyebabkan rakaman foto tersebut kelihatan tidak menarik dan akhirnya menjadi sesuatu yang merugikan.

Sekurang-kurangnya latar belakang akan menceritakan lokasi foto itu dirakamkan. Latar belakang yang tidak sesuai juga merosakkan pemandangan keseluruhan foto.

Oleh itu, apabila hendak dilakukan satu rakaman, jurufoto perlu mengenal pasti latar belakang bagi menceritakan keadaan subjek dan lokasi.

Sebagai contoh, mereka yang mengambil gambar kenangan ketika berkunjung rumah saudara-mara terutama di desa.

Penulis berpandangan jika mahu rumah kampung lama sebagai latar belakang jauhkan sedikit daripada subjek rakaman utama.

Ini bagi memastikan bentuk rumah kampung yang unik itu akan kelihatan bersama rakaman foto berkumpulan. Dengan penggunaan lensa bidang luas (wide angle lens) akan memudahkan rakaman foto terutamnya foto berkumpulan.

Perlu juga dielakkan merakamkan latar belakang yang terlalu banyak hiasan. Hal ini boleh mengganggu fokus seseorang apabila melihat keseluruhan rakaman dan akan menghilangkan subjek utama.

Jika latar belakang seperti bangunan, rumah atau tempat-tempat bersejarah pastikan anda mencari sudut-sudut yang menarik untuk merakamkan gambar secara keseluruhan .

Begitu juga ketika merakamkan foto berkumpulan, pastikan latar belakang tidak terlalu banyak hiasan yang boleh menghilangkan tumpuan pada subjek utama.

Pada musim perayaan sekarang ini ramai yang akan mengabadikan kenangan ketika berkumpul bersama sanak-saudara, sahabat-handai atau teman-teman ketika alam persekolahan. Pilihlah latar belakang yang sesuai agar gambar yang diambil menjadi kenangan terindah untuk diingati sampai bila-bila.

Jangan pandang remeh terhadap pemilihan latar belakang kerana sebahagian besar peranan dan fungsinya banyak membantu dalam proses rakaman. Tidak kira gambar berseorangan ataupun berkumpulan.

Latar belakang juga banyak membantu menceriakan satu-satu rakaman. Ingatlah sekeping gambar boleh menceritakan pelbagai perkara selain menjadikan bukti seseorang itu pernah sampai di satu-satu tempat terutamanya destinasi popular.