Kehadiran haiwan betina yang diberi nama Elsa itu adalah hasil perjanjian persefahaman (MoU) antara Zoo Melaka dan Taman Hidupan Liar Sunway, Selangor pada Mei lalu bagi menarik pengunjung ke zoo itu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Mohd. Rafee Ibrahim memberitahu, orang ramai boleh bertemu dengan spesies mamalia itu mulai 14 September depan sempena sambutan Hari Malaysia.

"Zoo Melaka memberi tempoh kuarantin kepada harimau Benggala betina putih berasal dari India itu untuk ia menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

"Elsa yang mempunyai berat kira-kira 100 kilogram itu boleh ditemui pengunjung sempena sambutan Hari Malaysia tidak lama lagi," katanya dalam sidang akhbar sempena ketibaan Elsa di Zoo Melaka, di sini malam tadi.

Menurut Mohd. Rafee, dengan kehadiran Elsa ini juga pihaknya menyasarkan jumlah pengunjung Zoo Melaka meningkat 10 peratus selain menjadi destinasi tumpuan pelancong yang datang ke negeri ini.

Beliau berkata, Zoo Melaka juga dijangka akan menerima sembilan spesies baharu haiwan antaranya tapir, singa betina, badak air dan gajah.

"Kita akan mengadakan MoU dengan Zoo Surabaya, Indonesiapada September depan bagi mendapatkan seekor harimau putih jantan untuk tujuan pembiakan.

"Pertukaran haiwan ini dilakukan bagi menjamin kesinambungan bakanya selain Zoo Melaka juga adalah tempat pembiakan, pemuliharaan dan penyelidikan," katanya. - UTUSAN ONLINE