Pulau yang pernah menjadi penempatan anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) pada tahun 1983 ketika awal pembukaannya menyimpan pelbagai kisah menarik dan misteri. Itu kata salah seorang anggota yang pernah menjadi perintis di situ.

Kini, selepas lebih 30 tahun, Terumbu Layang-Layang mempunyai kemudahan seperti lapangan terbang dan sebuah resort, iaitu Layang Layang Island Resort selain kawasan penempatan anggota tentera.

Kedudukannya yang jauh dan agak terasing membuatkan pulau ini sebagai destinasi yang kurang menjadi tumpuan pengunjung tempatan tetapi terkenal dalam kalangan pelancong asing.

Bagi penyelam, Terumbu Layang-Layang pasti menjadi salah satu destinasi impian selain Pulau Sipadan, Mabul atau Selakan lebih-lebih lagi keunikan dan kepelbagaian spesies ikan daripada sekecil-kecil hingga seberat lebih 50 kilogram (kg) seperti humhead wrasee, Hummerhead, tuna, giant travelley (GT) serta pelbagai jenis ikanlain.

Tambahan pula, nama-nama seperti navigator lane, the tunnel, the runaway dan d’wall sudah pasti menjadi ‘igauan’ dan syurga kepada penyelam dari seluruh dunia.

Selain itu, pulau yang hanya dibuka pada bulan Februari sehingga Ogos ini turut menjadi kediaman bagi pelbagai spesies burung lain seperti brown foot boobies dan crested tern membuatkan pengunjung seakan-akan berada di luar negara.

Boleh dikatakan tempat ini juga sesuai sebagai lokasi berbulan madu dan destinasi mencari ketenangan kerana rata-rata jumlah pelancong boleh dibilang dengan jari.

Bagi pengunjung yang mahu ke sini, tempahan perlu di buat di www.layanglayang.com untuk segala urusan penginapan dan pengangkutan dengan menggunakan pesawat MASwings.

Dalam pada itu peluang mengikuti lawatan ke sana bagi percubaan mencipta rekod dunia bersama pelbagai agensi kerajaan anjuran Kelab Legasi Selam Skuba Malaysia baru-baru ini membolehkan penulis dapat melihat dengan lebih dekat kecantikan kawasan ini.

Penulis turut berpeluang mengikuti ‘misi’ memus­nahkan Mahkota Duri atau dikenali sebagai Crown of Thorns (COT) meng­gunakan kaedah suntikan ubat khas bersama Jabatan Perikanan, kakitangan serta Pengurus Layang-Layang Island Resort, Mark Peter.

Kedatangan penulis bersama penyelam daripada pelbagai agensi turut ‘disambut’ dengan angin kencang berkelajuan hampir mencecah 40 knot dan hujan lebat.

Itu antara cabaran terpaksa ditempuhi dalam percubaan peringkat pertama mencipta rekod dunia menanam terumbu karang di Terumbu Layang-Layang bagi tempoh lima tahun akan datang sebelum mendapat pengiktirafan jika berjaya.