Namun kita perlu sedar bau sungai bukan setakat petunjuk bahawa kesihatannya tidak begitu baik, tetapi ia seperti bom jangka yang mengancam makhluk lain di sekitarnya.

Paling mudah hendak memahami, bencana pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang Johor akibat toksik yang dibuang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab sehinggakan ratusan penduduk berhampiran menjadi mangsa.

Bencana alam sekitar ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia. Ruangan ini beberapa kali mengutarakan isu pentingnya memelihara sungai sebagai habitat dan penyumbang kepada keindahan alam.

Pendek kata, sekiranya sungai berbau,ia memberi petunjuk kejadian malang telah berlaku kepada aset alam sekitar itu dan impaknya kepada penduduk sekitar.

Justeru, program cintakan sungai tidak sahaja terhad kepada slogan dan upacara semata-mata. Program mestilah disertai oleh masyarakat setempat dengan perancangan yang sistematik agar dapat memberikan pengetahuan tentang sungai dan menimbulkan kesedaran untuk diamalkan kearah sungai yang bersih dan cantik.

Komitmen masyarakat sangat penting kerana merekalah yang boleh membantu menjadikan sungai bersih secara langsung atau tidak langsung. Penglibatan seluruh masyarakat secara sistematik dan berterusan amat diperlukan bagi memastikan matlamat kerajaan tercapai menjadikan sungai yang bersih dan indah.

Masyarakat mestilah diberikan pengetahuan dan kesedaran yang cukup tentang kepentingan sungai dan menjaga kebersihannya.

Sikap lama dengan menjadikan sungai tempat membuang sampah dan kumbahan perlu diubah.

Pertambahan penduduk yang pesat, aktiviti industri, pertanian, perbandaran dan pengangkutan yang meningkat, pengurusan sisa pepejal yang tidak cekap, dan sikap penduduk terhadap sampah membuatkan keadaan air sungai menjadi kotor dan dipenuhi sampah. Akibat daripada sungai yang kotor dan tersumbat oleh sampah, ia akan menjejaskan kesihatan masyarakat dan boleh mendatangkan masalah seperti banjir kilat.

Bagi memastikan penduduk sihat dan tidak ditimpa bencana, kerajaan terpaksa berbelanja berjuta ringgit bagi menyelenggara sungai.

Adalah lebih baik sekiranya peruntukan penyelenggaraan sungai yang berlebihan dapat disalurkan untuk kemudahan lain yang memberi faedah kepada masyarakat. Bagi mengurangkan kos tersebut kerajaan menjalankan pelbagai program pendidikan, kempen kebersihan sungai, mengadakan undang-undang dan menguatkuasakannya.

Penganjuran Projek River of Life (ROL) atau dikenali juga sebagai Sungai Nadi Kehidupan bertujuan untuk menghidupkan semula Sungai Gombak dan Sungai Kelang. Kedua-dua sungai berkenaan mempunyai kepentingan dalam kemajuan dan pembangunan ekonomi negara. Hulu Sungai Gombak dan Sungai Kelang perlu dibersihkan bagi meningkat kualiti air sungai daripada kelas III hingga V kepada kelas IIb iaitu air sungai sesuai untuk aktiviti rekreasi air menjelang 2020.

Semua jenis buangan industri, bengkel, restoran dan domestik perlu dikenal pasti agar memenuhi peraturan yang ada sebelum dilepaskan ke dalam sungai. Penglibatan orang ramai dan sekolah dalam program ROL boleh membantu memantau kes-kes yang berpotensi mencemar sungai.

Berdasarkan sejarah, Kuala Lumpur diasaskan pada tahun 1857 di kuala Sungai Gombak dan Kelang. Pembangunan Kuala Lumpur bermula dengan aktiviti pelombongan bijih timah dan berterusan hingga selepas merdeka pada tahun 1957. Pada masa itu, pengetahuan tentang kebersihan sungai dan keperluan mungkin belum ada. Perancangan bandar juga tidak mengambil kira kesan pencemaran bahan kimia berbahaya daripada kilang-kilang dan pembuangan sisa toksik juga tidak diuruskan dengan baik. Sekarang ini apabila pengetahuan, kesedaran dan keperluan Sungai Kelang dan Sungai Gombak dari segi ekonomi dan kesihatan masyarakat sudah ada, maka sungai sepanjang 110 kilometer (km) itu memerlukan program pembersihan segera.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merupakan badan utama bagi menyelaraskan program pembersihan Sungai Kelang dan Sungai Gombak di samping jabatan dan agensi lain yang diberikan tanggung jawab. Semua agensi boleh menggunakan kuasa yang ada pada mereka bagi mengawal input pencemaran ke sungai-sungai, memulihkan kualiti air sungai daripada hulu sungai dan memberikan pengetahuan serta kesedaran kepada masyarakat.

Banyak aktiviti yang boleh dilaksanakan seperti rakan sungai melibatkan korporat, swasta, sekolah, universiti, kolej dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Selain itu aktiviti luar bilik darjah untuk pelajar di kawasan tertentu di hulu sungai atau anak sungai yang mengalir ke Sungai Gombak dan Sungai Kelang perlu ditingkatkan. Misalnya Sungai Bras-Bras bersebelahan Ibu Pejabat Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) menjalankan aktiviti luar bilik darjah tentang sungai. Aktiviti awam di kompleks beli belah bagi memperkenalkan program sungai bersih dan tanggungjawab bersama, penglibatan media dalam mempromosi ROL juga mestilah berkala agar kempen Sungai Gombak dan Sungai Kelang bersih berterusan dan membangunkan sikap sayangkan sungai.

Selain pendidikan dan kempen, teknologi yang mesra alam juga perlu diperkenalkan bagi meningkatkan kualiti air sungai. Misalnya dengan meletakkan tumbuhan akuatik sepertik keladi bunting (Eichhornia crassipes) yang boleh menyerap bahan kimia beracun dalam air dan menjadikan kualiti air meningkat. Kajian tentang keladi bunting mampu mengurangkan bahan toksik dalam air telah diterangkan oleh ramai pengkaji di Malaysia dan luar negara. Misalnya kajian yang dijalankan di United Kingdom dan diterbitkan dalam Scientific Reports menunjukkan kecekapan tumbuhan ini menyerap logam seperti kuprum (Cu), Zink (Zn), Arsenik (As), Plumbum (Pb) dan kadmium (Cd) dan dalam masa tiga minggu.

Penggunaan perangkap minyak yang cekap juga boleh direka bagi memerangkap minyak daripada restoran dan bengkel serta jalan raya. Semua parameter kualiti air Jabatan Alam Sekitar boleh ditentukan melalui teknologi yang boleh mengawal dan mengukur dengan mudah, cepat dan tepat.

Pada suatu ketika China selalu dikaitkan dengan pencemaran air dan udara yang teruk. Sekarang negara China sudah mengambil langkah baharu dengan melihat keseimbangan kawalan kualiti alam sekitar termasuk pencemaran dengan pertumbuhan ekonomi negara. Pada tahun 2015 satu pertiga air permukaan di China tidak sesuai untuk kegunaan manusia.

Pada 2014 kerajaan China memperuntukan sejumlah dana untuk mengawal pencemaran.

Industri tekstil adalah antara yang menyumbang kepada pencemaran seperti di Tasik Tai di Timur China. Kaedah terbaik yang digunakan oleh China adalah pemantauan oleh masyarakat tempatan.

Penglibatan beratus ribu peserta bersama-sama menjayakannya. Aktiviti melibatkan masyarakat dapat menambah baik kualiti air sungai dalam masa enam tahun dengan 35.5 peratus pada tahun 2011 kepada 63.9 peratus pada tahun 2017.

Sekarang masih terdapat banyak lagi sungai-sungai yang kotor di dunia. Kebanyakan sungai kotor disebabkan kumbahan bahan kimia daripada aktiviti pertanian, perindustrian, perbandaran dan perumahan serta tabiat manusia yang membuang segalanya ke sungai daripada najis, sampah hingga bangkai binatang. Sepuluh sungai terkotor di dunia ialah Sungai Ganges di India, Sungai Citarum di Indonesia, Yellow River di China, diikuti Sungai Sarno di Eropah, Sungai Buringanga di Bangladesh, Sungai Marilao di Filipina, Sungai Missisippi di Amerika Utara, Sungai Jordan di Jordan, Sungai Mantaza Riachuelo di Argentina dan Sungai Yamuda di India.

Mudah-mudahan dengan program ROL yang bersepadu untuk membersihkan dan mengindahkan Sungai Gombak dan Sungai Kelang dapat mengubah tanggapan masyarakat sekitar Sungai Kelang tentang sungai.

Sungai bukan sahaja untuk manusia tetapi juga hidupan di dalamnya yang berfungsi menjaga kualiti air sungai secara semula jadi. Sempena International Day of Action for Rivers 2019 yang disambut pada 14 Mac setiap tahun, marilah semua masyarakat sama-sama menjaga sungai, menghargai semua pihak yang memastikan sungai bersih dan mengubah sikap terhadap sungai.