Malangnya, hayat haiwan-haiwan liar ini kecuali paus pembunuh dan tapir berakhir dengan tragis apabila semuanya mati disebabkan diserang wabak penyakit dan kemalangan jalan raya.

Kemunculan secara misteri haiwan-haiwan ini menarik minat banyak pihak untuk mengetahui puncanya, bagi merungkai dari sudut saintifik dan ilmiah di sebalik kejadian ini, wartawan Mingguan Malaysia, SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH bersama jurugambar FAISOL MUSTAFA dan juruvideo, AZMAN AHMAD menemu bual Pensyarah Kanan Pengurusan Hidupan Liar Universiti Putra Malaysia (UPM), DR. TENGKU RINALFI PUTRA di Hospital Veterinar UPM, kelmarin.

 

Tiada tempat di dunia ini seperti di Malaysia secara khusus dan Asia Tenggara secara amnya untuk menampung sebegitu banyak hidupan liar yang kadang kala kawasan hutan itu kecil sahaja jika dibandingkan dengan populasi manusia tetapi mereka masih boleh hidup.

MINGGUAN: Secara umumnya mengapa secara tiba-tiba hidupan liar ini muncul di kawasan bukan habitat asal mereka?

DR. TENGKU RINALFI: Sekali imbas kita memang tidak boleh memberikan punca spesifik kerana kadang-kadang perkara ini jadi secara misteri alam namun begitu saya berpendapat ia ada kaitan dengan perubahan semula jadi alam sekitar atau hasil daripada aktiviti manusia seperti paus yang dijumpai di perairan Terengganu baru-baru ini.

Sebenarnya ada persoalan besar daripada penemuan ini antaranya corak migrasi dan perubahan-perubahan terhadap alam sekitar yang kemungkinan besar manusia belum menyedarinya. Antaranya perubahan dari segi topografi dalam dasar laut atau perubahan suhu laut di setengah-setengah tempat yang mengakibatkan mereka masuk ke kawasan yang sebelum ini tidak pernah mereka masuk. Situasi ini juga sama seperti haiwan-haiwan lain apabila kawasan mereka dicerobohi.

Selain itu, dari sudut lain bagi haiwan darat, sebenarnya kita masih membina penempatan di kawasan-kawasan hidupan liar seperti tapir, harimau dan haiwan liar lain. Kebanyakkan haiwan liar yang terdapat di Malaysia haiwan yang hidup bersendirian (solitary). Kalau di benua Afrika khususnya binatang ini hidup secara berkelompok, contohya singa, jadi pergerakan mereka akan dapat dikesan manusia tetapi di kawasan Asia Tenggara kebanyakan haiwan penting seperti harimau, beruang dan tapir, mereka hidup secara bersendirian. Apabila mereka masuk atau berada di sekitar perkampungan manusia, ada kebarangkalian orang tidak akan menyedarinya berbanding kalau ada sekawan rusa yang masuk ke kampung, sudah pasti kita akan menyedarinya.

Mengapa haiwan-haiwan liar ini bergerak secara bersendirian?

DR. TENGKU RINALFI: Sebab haiwan ini bersifat sedemikian kerana berdasarkan sejarah hutan kita yang mempunyai banyak sumber dan secara evolusinya apabila hutan banyak sumber, haiwan-haiwan ini tidak perlu hidup secara berkelompok. Mereka boleh hidup secara terasing seperti harimau, badak sumbu, tapir dan haiwan-haiwan unik lain. Dengan kekayaan sumber biodiversiti hutan di Malaysia, mereka masih mampu mencari sumber makanan.

Cuma masalahnya, mereka terdedah kepada ancaman aktiviti manusia dan kita kena ingat apabila berlaku situasi sebegini kita tidak dapat tahu reaksi haiwan-haiwan liar ini. Sebab itu kita nampak kadang-kadang mereka masuk ke dalam kawasan kampung.

Bagaimana pula isu penebangan hutan dan pembangunan di kawasan hidupan liar?

DR. TENGKU RINALFI: Kita sepatutnya menghentikan aktiviti penerokaan hutan serta-merta kerana kita sendiri hanya tahu data kasar mengenai sesetengah spesies haiwan dan yang paling penting kita sendiri tidak tahu sama ada jumlah haiwan yang ada ini cukup untuk menampung kelangsungan hidupnya.

Contohnya, badak sumbu yang sekarang sudah pupus di Semenanjung, secara retrospektif kita perlu ada satu penanda aras di mana katakanlah ada 50 ekor badak sumbu mungkin kelangsungan hidupnya boleh bertahan kerana cukup jumlah populasi tetapi sekiranya di bawah paras 50 ekor kelangsungan hidupnya secara lahiriah akan menurun kerana yang pertama, mereka hidup secara bersendirian dan kebarangkalian jantan bertemu betina untuk reproduksi di hutan berkurangan. Kedua pula, apabila hidup secara bersendirian dan hutan semakin mengecil, sumber makanan mereka semakin hilang dan tidak cukup untuk menampung keperluan mereka. Sebab ketiga pula, sekiranya secara tiba-tiba muncul satu penyakit terhadap kumpulan itu, ia akan menyebabkan pengurangan haiwan secara drastik seperti yang berlaku terhadap badak sumbu di dalam kurungan di Sungai Dusun dahulu. Kita ada pelbagai faktor yang menyebabkan haiwan liar ini tertekan tetapi kita tiada maklumat yang spesifik mengenai faktor dan kesannya terhadap haiwan liar. Malaysia sangat bertuah kerana menjadi syurga haiwan liar. Tiada tempat di dunia ini seperti di Malaysia secara khusus dan Asia Tenggara secara amnya untuk menampung sebegitu banyak hidupan liar yang kadang kala kawasan hutan itu kecil sahaja jika dibandingkan dengan populasi manusia tetapi mereka masih boleh hidup.

Kalau penerokaan hutan tidak dihentikan untuk penempatan manusia atau perladangan dan sebagainya maka habislah syurga ini nanti dan tiada apa yang tinggal selepas ini sebab kita rasa apabila kita meneroka hutan, kesedaran orang awam dan korporat masih lagi belum mencapai tahap memuaskan. Walaupun ada entiti korporat sanggup memperuntukkan sejumlah wang untuk aktiviti konservasi ini tetapi itu hanya sedikit berbanding dengan beribu jumlah entiti korporat lain.

Ini kita cakap mengenai dana daripada pihak korporat belum lagi mengenai kesedaran orang awam. Di Malaysia hanya peratus kecil sahaja menyedari mengenai kepentingan hidupan liar manakala yang lain hanya bersikap pseudo kesedaran atau bermaksud kita rasakan sudah cukup untuk melindungi hidupan liar tetapi apa yang kita lakukan tidak membantu malah adakalanya membuatkan keadaan menjadi lebih teruk.

Misalnya, sikap sesetengah pihak yang menyimpan haiwan eksotik seperti ular, tenggiling dan beruang madu di rumah, ini semua merupakan contoh pseudo kesedaran. Mereka merasakan membantu dari segi konservasi hidupan liar tetapi ia tidak membantu langsung. Ini kerana sekiranya kita menyokong perkara ini ia secara tidak langsung mengurangkan jumlah haiwan liar yang sememangnya liar dan yang paling membimbangkan apabila mereka memelihara haiwan liar dari tempat lain atau negara lain, kemudian melepaskannya ke dalam hutan ia akan menyebabkan ketidakseimbangan populasi hidupan liar yang ada secara semula jadi sudah stabil.

Contohnya, secara tiba-tiba muncul ular berbisa dari Australia di Malaysia yang sebelum ini tidak pernah ada. Selain itu, ada sesetengah ular berbisa yang hanya ada di utara tanah air tetapi sekarang boleh jumpa di kawasan selatan seperti ular kapak Malaya, sebelum ini tidak pernah dijumpai di selatan Semenanjung tetapi sekarang sudah ada sebab ada orang bela, pindahkan sesuka hati dan kemudian apabila tidak mampu membela mereka lepaskannya.

Jika sentuh mengenai dana, berapakah jumlah yang diperlukan?

DR. TENGKU RINALFI: secara kasar untuk membuat kajian berkenaan kelangsungan hidupan liar ia tidak memerlukan dana yang banyak, secara umum jika kita ada RM200,000 hingga RM300,000 kita boleh melakukan satu kajian yang sekurang-kurangnya boleh berlangsung selama tiga tahun untuk mengkaji hidupan liar ini. Isu paling penting mengenai dana konservasi ini, kebanyakan dana awam dan dana korporat yang diberikan adalah untuk tempoh singkat yang bermaksud walaupun dana ini untuk tiga tahun sebenarnya ia melibatkan satu jangka masa pendek kerana kita bercakap mengenai hidupan liar yang kita jarang jumpa macam harimau, kita jarang jumpa harimau tetapi kita tetap kena buat kajian. Tempoh masa tiga tahun sangat singkat dan tidak akan berikan gambaran jelas hanya gambaran separuh-separuh.

Apabila bercakap mengenai hidupan liar, hidupan ini tidak tertakluk kepada undang-undang manusia tetapi undang-undang alam bermaksud apabila kita buat kajian kemudian kita tidak temui langsung hidupan liar ini, kita tidak boleh panggil mereka datang. Itulah kekangan dihadapi sekarang.

Bagaimana pula dengan pemasangan alat remote sensing method (RSM),adakah membantu?

DR. TENGKU RINALFI: Kebanyakan kajian hidupan liar menggunakan peralatan RSM, orang awam selalu beranggapan ia perlu menggunakan satelit dan teknologi canggih lain, sebenarnya tidak, RSM bermaksud melakukan pengesanan secara jarak jauh. Kalau kita pasang kamera pengesan atau menggunakan dron sahaja untuk memerhatikan populasi gajah, ini satu teknologi mudah tanpa perlu menggunakan satelit atau peralatan canggih lain. Tetapi kajian sedemikian tidak akan memperoleh keputusan dalam masa singkat, sekurang-kurangnya mengambil masa empat hingga ke lima tahun untuk mendapat satu kesimpulan.

Jumlah harimau misalnya, sekarang kalau kita dengar apa yang diuar-uarkan kita ada 200 ekor harimau di hutan Semenanjung. Sesetengah pihak akan beranggapan ia mencukupi tetapi bagi pihak yang berfikiran jauh, daripada 200 ekor ini berapa banyak jantan dan betina? Adakah semua sihat atau adakah ada yang berpenyakit contohnya macam Awang Besul. Kalau ada yang berpenyakit pula berapa banyak yang masih sakit dan berapa banyak sudah sihat? Soalan lain, dalam 200 ekor harimau ini cukup tak makanan untuk mereka semua? Selain itu, menjadi persoalan juga daripada jumlah ini berapa banyak yang sudah dewasa dan boleh membiak. Dan adakah 200 ekor ini mencukupi untuk kelangsungan hidup mereka? Adakah juga 200 ekor ini sudah capai had minimum yang mana kalau dalam tempoh lima atau 10 tahun lagi mungkin mereka sudah tiada.

Jadi ada banyak persoalan di sini yang masih belum ada jawapan. Kalau kita betul-betul serius semua soalan ini perlu dijawab. Bagi saya pihak bertanggungjawap seperti Perhilitan memang serius terutamanya melibatkan Op Belang yang sedang mereka lakukan sekarang.

Sebenarnya spesies harimau bukan sukar untuk dibiakkan, sampai di zoo terpaksa mengehadkan pembiakan harimau, cuma ia susah dibiakkan di hutan-hutan. Yang sebenarnya kita tiada data dan tidak tahu macam mana sifat harimau, bila dan kondisi harimau untuk mengawan di kawasan sekitaran semula jadi di Malaysia.

Semua data-data ini penting kalau kita betul hendak memulihara harimau belang. Kalau ikutkan jumlah harimau belang yang ada di Semenanjung sudah menghampiri paras bahaya, dahulu harimau belang ada sampai di Pulau Bali dan Pulau Jawa di Indonesia tetapi sekarang harimau ini sudah pupus. Sekarang harimau belang ada di Sumatera dan kebetulan di seberang Sumatera ada harimau Malaya iaitu spesies harimau kedua paling kecil selepas harimau Sumatera.

Namun begitu, kalau kita betul-betul serius kita boleh mengekalkan habitat harimau ini, syaratnya kita perlu ada pelan drastik terperinci seperti pelepasan semula yang dibiakkan dalam kurungan.

Baru-baru ini Awang Besul yang ditemui di Terengganu mati akibat virus Canine Distemper, adakah penyakit ini biasa berlaku terhadap hidupan liar terutamanya harimau?

DR. TENGKU RINALFI: Virus ini bukan penyakit biasa untuk harimau tapi dalam beberapa tahun lalu saya ada seorang rakan yang juga pensyarah bimedik dan saintis di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Mohd. Arifin Kaderi dan dia kenal seorang pengkaji yang merupakan orang pertama menjumpai virus ini pada harimau iaitu melibatkan harimau Siberia dan virus ini juga telah menghapuskan satu populasi harimau Siberia di Russia. Nasib baik populasi harimau Siberia ini terasing dan bila terhapus satu populasi harimau ini masih ada populasi yang lain.

Tetapi isu sekarang bila pertama kali penyakit ini ditemui, pengkaji tersebut telah membuat kajian di seluruh dunia terutamanya melibatkan harimau dalam kurungan, di Malaysia saya tidak pasti sama ada kita ada atau tiada data atau pun kita tidak nampak dengan jelas kepentingan mengkaji, seperti yang saya sebut dari awal kita tidak tahu apa sebenarnya berlaku di kawasan hidupan liar. Jadi virus ini diketahui boleh menjangkiti harimau, persoalannya bagaimana ia boleh menjangkiti harimau?

Virus ini biasanya didapati dalam anjing dan perbincangan saya bersama Dr. Arifin, kami berasakan virus ini tersebar daripada anjing-anjing yang berada di dusun. Sesetengah dusun pemiliknya membela anjing pengawal dan ada kemungkinan dalam banyak-banyak anjing ini ada yang sudah dijangkiti virus ini dan anjing tersebut kemungkinan bersentuhan dengan harimau berkenaan sama ada harimau memakan anjing atau pun terkena cecair badan anjing tersebut.

Seperti yang kita sedia maklum, virus ini tiada ubat, maksudnya bila kena ada kemungkinan menyebabkan kematian. Sekarang ini kita sendiri tidak tahu sama ada Awang Besul ini ada bersentuhan dengan harimau lain dan daripada 200 ekor harimau yang ada sekarang berapa banyak yang ada penyakit.

Apakah harapan Dr. supaya konservasi hidupan liar di Malaysia diberi perhatian sewajarnya.

DR. TENGKU RINALFI: Sebenarnya di Malaysia kita tidak perlukan kos dan wang ringgit yang banyak, ia lebih kepada intangible cost atau kos tidak nampak seperti apabila kita buka satu kawasan yang memang kita tahu ada haiwan dan kalau kita buka kawasan itu, haiwan-haiwan ini akan dialihkan atau berpindah, sekarang kita tanya semula pada orang awam, kerajaan dan korporat berapakah kos jika kita tidak bangunkan kawasan tersebut atau intangible cost tadi, kos ini bukan hanya dalam bentuk wang ringgit tetapi boleh datang daripada pelbagai bentuk seperti nilai ilmu yang diperoleh, tahap apresiasi, kos insaniah yang bermaksud kalau kita musnahkan kawasan itu ia secara tidak langsung akan menghilangkan jati diri kita.

Jadi cadangan saya kalau kita melihat konservasi ini dari sudut wang ringgit sahaja kita memang tidak akan mendapat kepuasan dan capai objektif.

Memang tidak dapat dinafikan wang ringgit itu penting tetapi kita lebih harus melihat konservasi ini dari ilmu yang kekal, ilmu yang dapat daripada mengekalkan haiwan liar yang mana pada saya nilai intangible yang bakal diperoleh lebih banyak berbanding wang ringgit.