Berdasarkan bacaan yang dipaparkan dalam laman web Jabatan Alam Sekitar, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat pukul 12.00 tengah hari ini mendapati, IPU kawasan itu meningkat naik berbanding bacaan (203) pada pukul 8 malam semalam.

Sementara itu, 16 stesen mencatatkan bacaan tidak sihat seperti di Sri Aman, Sarawak (156); Seri Manjung, Perak (146); Balik Pulau (137); Batu Muda, Kuala Lumpur (141); Putrajaya (124) dan Cheras (123).

Lima kawasan di Selangor yang terjejas dengan fenomena jerebu dengan IPU tidak sihat adalah Kuala Selangor (139); Klang (134); Shah Alam (131); Petaling Jaya (123) dan Banting (120).

Hanya satu kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat di tiga negeri iaitu di Nilai, Negeri Sembilan (123); Jerantut,Pahang (118) dan Tangkak, Johor (109).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Sementara itu tiga sekolah di Johan Setia diarah tutup serta merta hari ini.

Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPS) dalam satu kenyataan memaklumkan sekolah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia, SK Jalan Kebun dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun.

Menurut JPS, mana-mana sekolah di negeri ini yang mendapati bacaan IPU di kawasan mereka melebihi 200, pihak pentadbiran perlu mengambil tindakan seperti mana dalam Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bilangan 1/2019 dengan menutup institusi itu serta merta sehingga keadaan kembali pulih.

Orang ramai boleh merujuk http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui tahap IPU terkini.-UTUSAN ONLINE