di Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta.

Pegawai Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, dakwaan kerajaan negeri bahawa kawasan berkenaan telah menjadi hutan miskin bagi ‘menghalalkan’ projek berkenaan tidak boleh diterima kerana ia masih

berstatus hutan simpan walaupun ditukar penggunaan tanahnya.

Beliau berkata, apa yang lebih penting, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah memasyhurkan Lembah Kinta sebagai tapak geologi Geopark Kebangsaan, justeru sama ada hutan mahupun bukit batu kapur di kawasan berkenaan harus dipelihara dan bukannya dimusnahkan.

“Saya persoalkan balik pada pihak berkuasa untuk takrifkan apa makna hutan miskin, adakah ia disebabkan faktor semulajadi atau faktor lain. Setahu saya, tiada takrifan hutan miskin pada hakikat yang sebenarnya kerana kita mengalami iklim panas dan lembap sepanjang tahun.

“Kita bukannya mengalami iklim ekstrem seperti di negara lain yang ada ketikanya boleh terbakar dengan sendirinya. Dalam konteks Malaysia, hutan miskin itu adalah disebabkan faktor kelemahan manusia itu sendiri dengan meneroka kawasan hutan tanpa terkawal sehingga berlaku kemusnahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada himpunan aman berkenaan yang diadakan di luar pekarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan bagi menyerahkan memorandum bantahan tersebut di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE