Pada masa itu ramai bercakap tentang sains bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera atau doktor. Memang pada masa itu negara kekurangan doktor dan tahap kesihatan masyarakat masih kurang memuaskan. Tambahan pula seorang jurutera atau doktor mempunyai pendapatan yang baik berbanding kerjaya lain. Sebenarnya untuk sebuah negara maju memerlukan seluruh masyarakatnya mampu berfikir secara saintifik.

Kerajaan telah cuba mempelbagai pendekatan seperti meningkatkan bilangan pelajar dalam aliran sains, menambah sekolah teknik dan vokasional, menyediakan asrama dan kemudahan makmal, menjalankan Program Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan lain-lain.

Latihan dalam bidang sains bermula sejak 1970-an dan 1980-an manakala penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) sains dan teknologi pada 1987 hingga 1997 dengan 0.24 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Mengikut tradingeconomics.com KDNK Malaysia bertambah kepada RM347.20 bilion pada suku kedua 2019 daripada RM335 juta dalam suku pertama tahun ini. Sewajarnyalah peruntukan tambahan diberikan bagi pembangunan sains, teknologi dan inovasi (STI).

Kerajaan juga memperkenalkan Dasar Pandang ke Timur bagi mengikuti budaya kerja Jepun dan Korea terutama dalam hal teknikal dan usahawaan. Dasar Pandang ke Timur dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 8 Februari 1982. Wawasan 2020 juga menekankan tentang sains dan teknologi.

Banyak peruntukan kewangan dalam pembangunan sains negara dan infrastruktur telah dilaksanakan. Antaranya ialah penambah baik makmal sekolah. Namun sampai sekarang nisbah 60:40 aliran sains dan sastera masih belum tercapai. Mungkin kajian semula perlu dilaksanakan segera secara serius.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 menekankan kepada pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di peringkat sekolah.

Pelaksanaan STEM adalah melalui aktiviti kurikulum dan kokurikulum dengan sokongan pelbagai pihak berkepentingan. Pelan ini mesti diperhalusi lagi agar semua pelaksanaannya berfokus dalam semua aspek pembelajaran dan pengajaran.

Perkara-perkara yang perlu ada dalam kurikulum dan kokurikulum serta bagaimana menterjemahkan kepada pelaksanaannya supaya matlamat PPPM (2013-2025) tercapai perlu lebih jelas.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) adalah antara agensi yang berkepentingan.

Kerjasama Jabatan Pendidikan dan MNS selama ini boleh membantu menarik minat pelajar kepada sains, berasakan sains itu mudah dan menarik, menjalankan aktitiviti bersama guru dan memenuhi falsafah pendidikan negara.

Program pendidikan alam sekitar MNS selalunya dijalankan selama tiga hari dua malam. Aktiviti ini bukan sahaja dapat memahami tentang sains tetapi juga membentuk nilai-nilai murni dalam kalangan peserta terhadap alam sekitar dan manusia. Pelajar diberikan pendedahan tentang flora dan fauna serta keseimbangan sesuatu ekosistem yang mana semua komponennya saling memerlukan dan berfungsi.

Selain kefahaman tentang asas sains, nilai murni dapat diterapkan dan meningkatkan minat peserta terhadap sains.

Pelaksanaan aktiviti lapangan yang dijalankan oleh MNS selari dengan konsep STEM yang menekankan kepada 4K iaitu komunikasi, kerjasama, kreativiti dan pemikiran kritikal.

Konsep 4K ini menjadi pendekatan penting dalam pembelajaran abad ke-21 yang menekankan kepada kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

Strategi pembelajaran bergantung kepada latar belakang, pengalaman pembelajaran lepas dan matlamat pembelajaran yang jelas. Dalam pada itu, menerusi aktiviti lapangan yang dijalankan oleh MNS menggabungkan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman membolehkan pelajar menghayati apa yang sedang dipelajari bagi mencapai objektifnya. Dengan melihat, merasa, menyentuh, berfikir dan berkomunikasi, pelajar akan belajar dengan lebih baik dan berkesan. Bagi menyokong pendidikan sains berkesan dan meningkatkan minat pelajar, pengetahuan asas dan kemahiran guru serta modul yang efektif sangat penting.

Pendidikan sains masa hadapan mungkin akan memberikan penekanan kepada kefahaman tentang isu alam sekitar yang kompleks, mampu menilai pelan atau cadangan pembangunan dan mampu membuat keputusan dalam hal berkaitan alam sekitar pada skala tempatan dan global.