Presidennya, S. M. Mohamed Idris berkata, meskipun sudah dibangkitkan banyak kali oleh pelbagai pihak dan sering dilaporkan kepada pihak berkuasa, namun kegiatan itu masih berlaku sehingga kini.

Sebagai contoh, kata beliau, pembuangan sisa di beberapa jalan ban sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS) bermula dari jeti nelayan Changkat, Nibong Tebal sehingga jalan pintas ke Batu Kawan Industrial Park (BKIP) melalui jalan ban berdekatan kawasan perindustrian Valdor, Sungai Bakap.

2

Tambahnya, selain penduduk setempat serta komuniti nelayan yang terjejas dengan pencemaran itu, kebimbangan turut timbul berkenaan jangka hayat deretan pokok bakau di kawasan berkenaan yang turut terancam.

“Masalah yang berlaku ini adalah disebabkan tiadanya tindakan berkesan yang serius diambil oleh pihak berkuasa terutamanya Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dalam mengatasi masalah yang dibangkitkan oleh orang awam.

“Adakah kerana lokasi-lokasi ini agak tersorok maka dibenarkan untuk melakukan sebarang aktiviti pencemaran?” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut S. M. Mohamed, disebabkan tiadanya tindakan tegas juga, pihak-pihak tertentu mengambil jalan mudah membuang sampah industri itu sebagai alternatif untuk memudahkan kerja dan tenaga.

“Kita khuatir sekiranya masalah ini tidak diatasi dengan tindakan lebih tegas, berani dan drastik, dikhuatiri pelbagai masalah lain yang melibatkan isu alam sekitar akan berlaku pada masa akan datang,” katanya.

Sehubungan itu, tambah beliau, SAM menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang; pihak berkuasa dan agensi berkaitan turun padang, menyiasat dan mengambil perhatian serius bagi mengatasi masalah pembuangan sisa-sisa domestik dan pukal tersebut. – UTUSAN ONLINE