Paling menyedihkan kematian Tam menjadikan Malaysia kini hanya memiliki seekor badak sumbu Sumatera betina terakhir yang dikenali sebagai Iman dan mungkin terpaksa menerima hakikat satu lagi spesies haiwan dalam negara ini bakal pupus selama-lamanya tidak lama lagi.

Namun begitu, badak sumbu Sumatera bukan satu-satunya spesies yang bakal lenyap selama-lamanya di Malaysia sebaliknya banyak haiwan yang sebelum ini ditemui mendiami hutan-hutan di seluruh negara bakal tinggal nama jika tiada sebarang langkah pemeliharaan dan pengawalan oleh pihak berkuasa.

HARIMAU MALAYA

Memiliki berat badan antara 90 hingga 130 kilogram (kg), spesies harimau jenis ini yang hanya boleh ditemukan di negara ini merupakan antara paling kecil dalam kalangan sembilan sub spesies harimau yang pernah atau masih hidup di muka bumi ini.

Sekitar tahun 1950-an terdapat kira-kira 3,000 ekor harimau Malaya mendiami kawasan hutan belantara di Semenanjung. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini jumlah harimau Malaya yang juga dikenali sebagai harimau belang hanya tinggal 300 ekor sahaja.

Jika tiada sebarang langkah-langkah segera diambil dibimbangi harimau spesies ini bakal mengalami nasib sama seperti harimau Bali, harimau Caspian dan harimau Jawa yang telah pupus berpuluh-puluh tahun lamanya.

BERUANG MATAHARI

Beruang matahari atau turut dikenali sebagai beruang madu adalah spesies beruang terkecil di dunia yang mendiami di seluruh hutan di kawasan Asia Tenggara termasuk di sebelah timur India dan selatan China.

Terdapat dua jenis beruang madu iaitu helarctos malayanus yang boleh ditemui di tanah besar Asia dan Sumatera serta jenis helarctos malayanus euryspilus yang hanya terdapat di Borneo. Beruang madu yang terdapat di Asia dan Sumatera lebih besar dua kali ganda berbanding di Borneo.

Biarpun sehingga kini tiada statistik tepat mengenai jumlah beruang madu di seluruh negara, haiwan ini yang beratnya boleh mencecah sehingga 100 kg semakin diancam kepupusan akibat perburuan haram dan kemusnahan habitat spesies ini.

TAPIR

Di Malaysia tapir juga dikenali sebagai cipan, tenuk dan badak tampung. Tapir yang nama saintifiknya tapirus indicus mudah dikenali menerusi rupanya yang unik seperti mempunyai belalai yang pendek dan mempunyai dua warna badan iaitu hitam dan putih.

Haiwan ini bukan sahaja hampir pupus di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. Di negara ini tapir Malaya adalah antara empat spesies tapir yang masih ada dan paling besar di dunia. Lebih menarik, tapir Malaya juga adalah satu-satunya tapir yang ada di luar benua Amerika.

Dari setahun ke setahun bilangan haiwan ini semakin berkurangan dan sehingga kini dianggarkan sebanyak 1,000 hingga 1,500 ekor tapir sahaja yang masih mendiami hutan di Semenanjung.

Haiwan ini juga sering terlibat dalam kemalangan berdasarkan data sejak 2010 hingga kini lebih 35 ekor tapir mati akibat dilanggar kenderaan.

ORANG UTAN

Pernah digunakan sebagai maskot untuk Sukan Komanwel yang diadakan di Kuala Lumpur pada 1998, nasib yang menimpa haiwan yang hanya boleh dijumpai di kepulauan Borneo dan Sumatera ini sangat menyedihkan apabila diletakkan dalam senarai merah spesies terancam oleh Kesatuan Konservasi Alam Sekitar Antarabangsa (IUCN).

Dianggarkan sehingga kini terdapat kira-kira 100,000 orang utan yang masih mendiami hutan di Borneo merangkumi Malaysia, Brunei dan Indonesia. Jumlah ini berkurangan daripada 288,500 ekor pada 1973 dan dijangka jatuh ke jumlah 47,000 menjelang 2025.

TENGGILING

Meskipun pada tanggal 18 Februari terdapat sambutan Hari Tenggiling Sedunia, nasib yang menimpa haiwan mamalia unik ini tidak seindah seperti disangka. Ini kerana antara tahun 2000 hingga 2014 sahaja dilaporkan lebih sejuta ekor tenggiling telah diperdagangkan secara haram seluruh dunia. Ini menjadikan tenggiling antara mamalia yang paling tinggi diperdagangkan.

Antara lapan spesies tenggiling yang ada di dunia, dua spesies tenggiling yang terancam serta dilindungi perjanjian antarabangsa adalah tenggiling Sunda atau Malaya dan tenggiling China.

Dua spesies ini banyak diburu dan diseludup dengan harga yang mahal kerana sisiknya sering digunakan dalam perubatan tradisional manakala dagingnya sebagai makanan istimewa.

Mengikut data oleh WWF, tenggiling Sunda atau Malaya yang berada di Asia Tenggara dianggarkan berkurangan sebanyak 50 peratus populasinya sejak 15 tahun lalu disebabkan aktiviti perburuan untuk tujuan makanan dan perubatan.

GAJAH

Di Malaysia terdapat dua subspesies gajah iaitu di Semenanjung dipanggil sebagai gajah Asia elephas maximus indicus manakala di Borneo di kenali sebagai gajah kerdil Borneo atau elephas maximus borneensis.

Di Semenanjung, gajah daripada spesies ini sangat terancam dan dilaporkan hanya terdapat antara 1,200 hingga 1,500 ekor di habitat liar seperti di negeri Pahang, Perak, Kelantan, Kedah, Johor dan Negeri Sembilan.

Sementara itu, di Sabah pula gajah spesies gajah kecil Borneo selalunya terdapat berhampiran Sungai Kinabatangan dan berdasarkan kajian daripada WWF, mereka menganggarkan terdapat kira-kira 1,500 ekor spesies gajah ini di habitat liar negeri tersebut.

BURUNG BOTAK UPEH

Hampir dikategorikan sebagai pupus pada 2014, nasib burung jenis bangau ini sedikit baik apabila berjaya dibiakkan semula hasil daripada projek Zoo Taiping kira-kira 12 tahun lalu.

Sebelum ini, populasi spesies burung bangau ini yang hanya terdapat di kawasan hutan paya Kuala Gula semakin berkurangan dan hampir pupus sehinggalah Zoo Negara dan Taman Burung Jurong Singapura memberikan 40 ekor burung bangau ini kepada Zoo Taiping untuk dibiakkan dalam kurungan.

Hasil daripada kejayaan yang membanggakan ini, burung bangau yang hampir pupus itu kini boleh dilihat berkembang biak dengan bebas di Taman Tasik Taiping, Perak.