Beberapa bahan kimia dikenal pasti menerusi analisis oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan disahkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi , Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) iaitu hidrogen klorida, gas metana, benzena, toluene, akrilonitril (acrylonitrile), akrolin (acrolein), xylena dan limonena (limonene).

Benzena merupakan bahan kimia organik dalam bentuk cecair yang tidak larut dalam air, namun larut di dalam pelarut organik.

Ia mempunyai bau yang kuat dan boleh menyebabkan pening dan loya apabila terhidu dalam kuantiti yang banyak. Bahan kimia ini juga didapati dalam minyak petrol atau gasolin.

Bahan kimia ini banyak digunakan dalam sektor perindustrian di negara ini . Ia adalah molekul yang stabil dan agak sukar untuk mengadakan tindak balas dengan molekul ini.

Namun, tindak balas juga boleh berlaku jika keadaan dan bahan tindak balas adalah sangat reaktif.

Benzena

Benzena merupakan bahan yang mudah meruap dan mudah dibawa oleh angin dan hujan. Oleh itu tidak hairanlah banyak kawasan yang terkena tempiasnya di sepanjang jajaran Sungai Kim Kim.

Menurut kajian yang dijalankan oleh saintis, pendedahan kepada benzena boleh menyebabkan penyakit aplastic anaemia, kanser, kerosakan genetik dan lain-lain.

Ini kerana dalam persekitaran biasa, benzena boleh dioksidakan kepada terbitan-terbitan bahan kimia lain yang lebih reaktif dengan kehadiran oksigen. Ia seterusnya menjadi radikal- radikal bebas terbitan benzena (bahan kimia yang hanya mempunyai satu elektron) yang toksik dan berbahaya kepada manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam semula jadi.

Penghasilan radikal bebas ini boleh bertambah jika suhu di tempat pencemaran itu adalah tinggi kerana mempunyai sumber foton daripada cahaya matahari untuk menghasilkan radikal-radikal bebas bahan kimia. Apabila radikal bebas bahan kimia yang terhasil dari benzena memasuki sistem badan manusia, ia akan menyerang sel-sel dalam badan dan seterusnya menyebabkan kesan buruk terhadap kesihatan.

Badan piawaian antarabangsa iaitu Occupational Safety and Health Standard (OSHA) menetapkan had limit pendedahan kepada benzena adalah 1 bahagian perjuta (ppm). Pendedahan kepada benzena yang melebihi 1 ppm/ lapan jam sehari boleh menyebabkan penyakit-penyakit yang disebutkan tadi.

Toluena

Seperti benzena, toluena juga merupakan bahan kimia organik yang tidak larut air. Ia adalah pelarut organik yang mudah meruap. Ia merupakan komponen utama dalam minyak petrol, cat, dakwat, tinner, getah, bahan pencuci dan lain-lain. Ia juga digunakan untuk menghasilkan plastik, tayar, nilon dan poliuretana.

Sama seperti benzena, toluena juga boleh menghasilkan radikal-radikal bebas bahan kimia terbitan toluena setelah bertindak balas langsung dengan oksigen dan foton.

Pendedahan toluena yang rendah akan menyebabkan pening kepala dan loya. Jika terdedah kepada toluene yang agak tinggi akan menyebabkan keletihan, kesan kepada otot, kesan kepada bayi dalam kandungan, kesan terhadap sistem saraf, pendarahan dan lain-lain.

AkrilonitrilE boleh hasilkan Hidrogen sianida

Akrilonitrile merupakan cecair sebatian organik yang mempunyai bau yang sengit. Ia digunakan dalam pembuatan fiber, plastik, polimer dan lain-lain. Akrilonitrile juga adalah sebatian yang reaktif dan mudah mengalami tindak balas kimia seperti pengoksidaan, penurunan dan lain-lain lagi.

Dengan terdedah kepada cahaya matahari, sebatian organik ini dengan mudah bertindak balas dengan foton bagi menghasilkan radikal-radikal bebas yang lebih reaktif.

Antara salah satu terbitan akrilonitril hasil daripada tindak balas dengan foton adalah hidrogen sianida yang sangat bahaya kepada manusia, tumbuhan dan kehidupan akuatik.

Sistem respirasi manusia akan terjejas apabila bahan ini menyerap dalam sistem tubuh manusia. Sebab itu gas tersebut digunakan sebagai senjata kimia oleh tentera yang tidak bertanggungjawab semasa peperangan.

Jika terdedah dalam kuantiti yang sedikit, kulit manusia akan mengalami kegatalan dan ruam. Simptom seperti kesukaran bernafas, pening kepala, hidung berdarah, muntah dan konvulsi juga dapat diperhatikan manakala pendedahan terhadap bahan kimia ini dengan kepekatan yang tinggi akan menyebabkan kerosakan dalam sistem pernafasan, kecacatan pada bayi dalam kandungan dan kanser.

Gas Metana

Gas metana banyak dihasilkan dalam industri petroleum negara. Ia merupakan gas yang berbau, mudah meruap dan mudah terbakar. Dalam keadaan cuaca panas iaitu kuantiti foton adalah tinggi, metana akan terurai kepada radikal bebas terbitan metana yang sangat reaktif dan boleh mendatangkan bahaya kepada manusia dan semua organisma.

Apa yang perlu dilakukan?

Di kawasan yang tercemar, petugas atau orang awam perlu memakai pakaian yang sesuai yang boleh menghindarkan kulit daripada terkena bahan kimia tersebut. Begitu juga dengan alat–alat bantuan pernafasan perlu sesuai dan tidak terlalu nipis.

Oleh kerana benzena, toulena, xylena juga terdapat dalam minyak petrol, maka pengguna kenderaan perlu berada pada jarak yang agak jauh dari tangki minyak kereta atau motosikal semasa mengisi minyak.

Apa yang penulis bimbangkan, jika inilah mentaliti yag ada pada si pembuang sisa toksik sama ada pekerja atau majikan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kilang-kilang haram atau perusahaan kecil (yang tiada pemantauan), di manakah letaknya sifat integriti dan kemanusiaan? Bukankah sudah ada pihak yang akan melupuskan sisa toksik tersebut.

Kualiti Alam?

Maka ini adalah isu besar dan perlu tatacara pelupusan dan penguatkuasaan yang baik daripada semua pihak supaya setanding dengan negara-negara maju.

Bukan sahaja isu berkenaan pelupusan sisa toksik, tetapi isu kesihatan dan keselamatan pekerja termasuk pemantauan serta penguatkuasaan yang berkait dengan bahan-bahan kimia berbahaya di dalam kilang-kilang perlu di beri perhatian oleh majikan, kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Betul kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Malaysia belum bersedia untuk membina rektor nuklear bagi menghasilkan tenaga elektrik kerana isu-isu berkenaan berdepan kesukaran pelupusan sisa nuklear.

PROF. MADYA DR. MOHD. TAJUDIN MOHD. ALI ialah penyelidik dalam bidang Sintesis Kimia Organik di UiTM di Shah Alam.