Presidennya, Prof Dr Ahmad Ismail melahirkan kebimbingan sekiranya perancangan pembangunan fizikal di sekitar Tanjung Tuan dan kawasan berdekatannya, iaitu sekitar Port Dickson, tidak mengambil kira faktor ini, ia akan menjejaskan laluan burung yang singgah di sini setiap akhir bulan Februari dan Mac.

"Sebarang kewujudan bangunan baharu dan perubahan persekitaran boleh mengganggu laluan setiap tahun burung yang berhijrah ke hemisfera utara merentasi Selat Melaka melalui Pulau Rupat di Indonesia dan Tanjung Tuan di Melaka," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata kewujudan bangunan tinggi di sekitar Tanjung Tuan dikhuatiri bukan hanya menjejaskan laluan burung berhijrah tetapi boleh mengundang kecelakaan terhadap burung tersebut apabila berlaku pelanggaran antara burung dan bangunan.

"Walaupun masih belum ada bangunan tinggi yang mengganggu laluan burung berhijrah buat masa ini, sebarang projek pembangunan akan datang di sekitar Tanjung Tuan dan Port Dickson perlu mengambil kira faktor ini bagi mengekalkan Tanjung Tuan sebagai tempat persinggahan burung berhijrah," katanya.

Beliau berkata walaupun kerajaan telah mewujudkan kawasan Hutan Simpan Tanjung Tuan bagi menjaga khazanah alam ini, ia tidak cukup tanpa kerjasama daripada semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan dan juga orang ramai.

"Ibarat kalau ingin menjaga keris biarlah bermula dari hulu hingga ke hujungnya," katanya.

Katanya pihaknya bersedia untuk memberi pandangan kepada pihak berkuasa tempatan dalam menyusun projek pembangunan di Tanjung Tuan agar ia tidak menjejaskan laluan burung pemangsa singgah di negara ini.

Ahmad mencadangkan agar satu menara pegawasan burung dibina berdekatan dengan tapak memerhati burung di hutan simpan Tanjung Tuan bagi memudahkan pencinta burung dunia datang ke sini dan seterusnya menggalakan lagi aktiviti ekopelancongan di sini.

Beliau mengucapkan terima kasih terhadap Kerajaan Melaka kerana telah memasukkan aktiviti 'Raptor Watch' pada minggu kedua bulan Mac dalam kalendar Tahun Melawat Melaka 2019 baru-baru ini.

Katanya aktiviti itu dianjurkan oleh MNS sejak 20 tahun lepas bagi memberi pengetahuan dan kesedaran kepada orang awam tentang pemuliharaan burung pemangsa berhijrah serta menggalakkan pelancong antarabangsa dan tempatan berkunjung ke sini.

Bernama sebelum ini melaporkan kira-kira Kira-kira 40,000 burung bermigrasi ke utara direkodkan tahun lepas menerusi aktiviti melihat burung pemangsa atau 'Raptor Watch' di pekarangan Rumah Api Tanjung Tuan, di sini.

Daripada jumlah tersebut, 95 peratus daripada spesies burung pemangsa itu ialah Helang Lebah (Oriental Honey Buzzard), manakala lain-lain spesies yang dapat dilihat ialah Helang Baza Berjambul (Black Baza), Helang Sewah (Japanese Sparowhawk), Alap-Alap Cina (Chinese Goshawk), Helang Merah (Brahminy Kite) dan Lang Baza Hitam (Grey-faced buzzard). - BERNAMA