KUALA LUMPUR: Cadangan penubuhan agensi khusus bagi meningkatkan keterjaminan makanan sebagai agenda nasional masih di peringkat perbincangan dengan diketuai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Chan Foong Hin berkata, beberapa siri perbincangan telah dilaksanakan namun belum ada sebarang keputusan berkenaan penubuhan agensi khas tersebut.
“Sehingga kini FAMA sedang mengetuai kajian mengenai mekanisme yang diperlukan untuk memastikan agensi khas ini berfungsi dan kita masih dalam perbincangan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia (MIFB) 2023, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Foong Hin berkata, agensi khas yang bakal ditubuhkan itu tidak hanya tertumpu kepada KPKM malah merentasi kementerian lain termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Beliau berkata, setiap kementerian mempunyai peranan masing-masing dalam menjayakan penubuhan agensi khas itu memandangkan ia memerlukan penyelarasan semula fungsi serta peranan antara kementerian.
“Agensi khas ini melibatkan kementerian lain juga, misalnya KPKM lebih kepada memastikan pengeluaran makanan mencukupi manakala KPDN pula perlu memastikan harga yang ditawarkan mampu milik serta terkawal,” katanya.
Jun lalu, media melaporkan KPKM sedang meneliti cadangan penubuhan agensi khusus bagi meningkatkan keterjaminan makanan sebagai agenda nasional selepas idea penubuhan agensi itu dicetuskan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) awal tahun ini.
Foong Hin yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu ketika sesi soal jawab di Dewan Negara berkata, penubuhan agensi sekuriti makanan negara memerlukan penilaian lanjut berkaitan implikasi perundangan, kewangan, sumber manusia dan penyelarasan semula fungsi serta peranan antara kementerian.
Beliau berkata, dalam usaha meningkatkan keterjaminan makanan, kerajaan turut mengamalkan pendekatan rentas kementerian bagi memastikan sistem makanan negara mantap dan berfungsi dengan cekap dan produktif. – UTUSAN










