Ringgit dijangka susut sedikit, ketidaktentuan sentimen pasaran minggu hadapan

Ringgit dijangka susut sedikit, ketidaktentuan sentimen pasaran minggu hadapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit Malaysia dijangka mengalami sedikit penyusutan dalam masa terdekat dan berlegar sekitar paras RM4.25 berbanding dolar AS minggu depan, selepas hampir sebulan mencatatkan trend pengukuhan yang berterusan.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil pula berkata, tekanan jualan dijangka mula dirasai, sejajar dengan jangkaan pelabur terhadap ketidaktentuan sentimen pasaran global serta perkembangan dasar luar.

“Tarif Amerika Syarikat (AS) masih lagi dianggap relevan dan memberi kesan kepada sentimen pasaran walaupun perkara ini telah lama dijangka. 

“Dalam situasi semasa, saya menjangkakan ringgit akan berada di sekitar paras RM4.25 berbanding dolar AS pada minggu hadapan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini. 

Mohd. Rizal turut menyentuh prestasi Bursa Malaysia yang masih belum menunjukkan tanda pemulihan kukuh. Beliau menyifatkan tiada langkah jelas diambil oleh pihak kerajaan untuk menggalakkan pelaburan atau menyokong pasaran ekuiti domestik setakat ini.

“Buat masa ini, hanya kerajaan yang dilihat berupaya menyuntik sentimen positif ke dalam pasaran. Sentimen luaran tidak cukup kuat untuk memacu pemulihan pasaran ekuiti tempatan,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan bahawa prestasi pasaran di rantau ASEAN secara umumnya masih lemah, dengan pengecualian kepada Singapura yang kekal menjadi destinasi pilihan pelabur asing.

“Singapura menarik perhatian pelabur luar kerana kestabilan politik dan struktur ekonominya yang kukuh,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Umi Hamidaton Mohd. Soffian Lee berkata, ringgit kini berada pada paras RM4.22 hingga RM4.24, yang jelas mencerminkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa dan sentimen pasaran terhadap dasar monetari negara.

“Ketidaktentuan global yang berterusan dijangka mendorong pelabur untuk lebih berhati-hati dalam membuat keputusan, sekali gus memberi tekanan tambahan kepada prestasi ringgit dalam jangka pendek,” katanya. 

Selain itu jelasnya, penurunan OPR yang dilaksanakan baru-baru ini juga dilihat sebagai langkah proaktif untuk menyokong pertumbuhan ekonomi domestik dalam menghadapi cabaran luaran, termasuk ketidaktentuan global dan tekanan geopolitik.

“Penurunan OPR ini bertujuan menyokong pertumbuhan ekonomi negara di tengah-tengah cabaran global dan sentimen pasaran yang berhati-hati,” katanya. 

Dari segi pasaran ekuiti, Bursa Malaysia dijangka bergerak mendatar dalam julat 1,525 hingga 1,528 mata dalam tempoh terdekat. 

“Sekalipun terdapat potensi kenaikan kecil, ia masih bergantung kepada sentimen global dan aliran masuk dana asing, yang menunjukkan peningkatan secara berperingkat sejak awal bulan ini,” katanya. 

Tambah Umi Hamidaton, pemotongan OPR yang lebih rendah turut memberi kesan tidak langsung kepada pasaran saham, khususnya sektor hartanah dan pembinaan, yang berpotensi mendapat manfaat daripada kos pinjaman yang lebih rendah.

“Selain itu, peningkatan aliran masuk dana asing sejak awal bulan turut menjadi pemangkin positif yang menyokong pergerakan pasaran secara berperingkat,” katanya. -UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN