PRISM+ ialah jenama teknologi dari Singapura yang terkenal dengan produk paparan seperti monitor komputer, televisyen pintar (smart TV) dan panel digital.
Jenama itu menawarkan produk dengan spesifikasi tinggi pada harga mampu milik, menjadikannya popular dalam kalangan pengguna yang mencari nilai terbaik.
PRISM+ dijangka merangsang pertumbuhan sektor teknologi pengguna di Malaysia, selari dengan peningkatan permintaan terhadap peranti rumah pintar dan peralatan kerja jarak jauh pasca-pandemik.
Oleh itu, langkah PRISM+ membuka kedai fizikal di Malaysia dilihat sebagai usaha strategik untuk meningkatkan kepercayaan pengguna tempatan serta memperkukuh jenama di pasaran serantau.
Berkongsi lebih lanjut, Wartawan Utusan Malaysia, Zakkina Wati Ahmad Tarmizi berpeluang menemubual Pengarah Negara PRISM+ Malaysia, Eric Kam secara zoom baru-baru ini.
UTUSAN:Sejak PRISM+ memasuki pasaran Malaysia, bagaimana reaksi pengguna dan apakah trend yang anda perhatikan dalam tingkah laku pembelian?
ERIC: Kami telah melihat perubahan ketara dalam tingkah laku pengguna: jenama yang menggunakan model jualan langsung kepada pengguna (D2C) dan konsep ‘premium mampu milik’ semakin mendapat tempat, sekaligus menjejaskan bahagian pasaran pemain tradisional.
Perkara ini selari dengan trend pasaran secara umum laporan 6W Research menunjukkan bahawa sektor D2C di Malaysia berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 21.5 peratus, didorong oleh pengguna muda yang celik teknologi, penembusan mudah alih yang tinggi, serta peningkatan dalam sistem pembayaran digital dan infrastruktur logistik.
Pengguna di Malaysia kini menuntut kemudahan, nilai yang berpatutan dan keaslian jenama.
Mereka semakin menjauhkan diri daripada peruncitan konvensional dan lebih cenderung kepada jenama yang menawarkan kualiti dan pengalaman yang menyeluruh secara langsung terutamanya dalam kategori barangan elektronik pengguna, di mana model D2C bukan sahaja bersaing dari segi harga, tetapi juga dari segi pengalaman menyeluruh.
Secara ringkasnya, pengguna Malaysia bukan sahaja menerima saluran D2C, malah mereka memberi ganjaran kepada jenama yang menggabungkan kualiti, kemampuan dan pengalaman dalam talian ke luar talian (O2O) yang lancar. Inilah ruang yang sedang PRISM+ terajui dengan jayanya.
Apakah fokus perniagaan PRISM+ Malaysia untuk 2025?
Pada 2025, fokus utama PRISM+ Malaysia adalah untuk mengembangkan kehadiran kami dalam kategori peralatan rumah.
Visi kami adalah untuk menjadi jenama pilihan utama rakyat Malaysia yang mencari rangkaian lengkap peralatan rumah yang menggabungkan kualiti premium, harga berpatutan dan perkhidmatan pelanggan yang terbaik.
Kami tidak hanya menumpukan kepada sasaran hasil semata-mata, keutamaan kami adalah untuk membina kepercayaan jenama jangka panjang dan memberikan nilai luar biasa di setiap titik sentuhan pelanggan.
Dengan memperluaskan ekosistem produk kami, kami berhasrat untuk meletakkan PRISM+ sebagai pilihan utama bagi kediaman moden di Malaysia.
Apakah pembelajaran terbesar anda hasil daripada beroperasi dalam pasaran elektronik yang kompetitif di Malaysia setakat ini?
Salah satu pembelajaran terbesar kami ialah pengguna Malaysia amat mementingkan nilai tetapi nilai itu bukan sekadar pada harga.
Untuk berjaya di sini, jenama perlu konsisten dalam menawarkan kualiti, kebolehpercayaan dan perkhidmatan.
Kami juga belajar bahawa kepercayaan hanya dapat dibina melalui tindakan: sokongan tempatan yang pantas, komunikasi yang jelas, dan kepekaan terhadap maklum balas pelanggan malah pengurus kami sendiri turun padang untuk menyelesaikan isu dengan cepat dan berkesan.
Satu lagi pengajaran penting ialah gaya hidup memainkan peranan besar dalam keputusan pembelian.
Sama ada rekaan yang menjimatkan ruang, operasi yang senyap, atau estetika yang selari dengan trend hiasan dalaman rakyat Malaysia mengharapkan teknologi yang menyatu dengan kehidupan harian mereka, bukan sekadar menonjol di atas helaian spesifikasi semata-mata.
Kami menyedari bahawa pengguna hari ini semakin mengutamakan kesesuaian produk dengan gaya hidup mereka.
Oleh itu, PRISM+ berusaha untuk mereka produk yang bukan sahaja berprestasi tinggi, tetapi juga bergaya, praktikal dan mesra pengguna.
Bagaimanakah PRISM+ memposisikan syarikat dari segi nilai, terutamanya dalam usaha menjadikan teknologi rumah pintar lebih mampu milik untuk rakyat Malaysia?
Kami sentiasa percaya bahawa teknologi rumah pintar tidak seharusnya datang dengan harga premium. PRISM+ diposisikan sebagai jenama yang menggabungkan reka bentuk dan fungsi premium dengan harga yang berpatutan, agar lebih ramai isi rumah dapat menikmati manfaat kehidupan pintar.
Melalui model jualan langsung kepada pengguna (D2C), kami dapat menghapuskan kos orang tengah yang tidak perlu, membolehkan kami menawarkan produk berkualiti tinggi seperti peti sejuk berkapasiti besar dan kipas siling pintar pada harga yang jauh lebih mampu milik berbanding jenama tradisional.
Salah satu contoh terbaik ialah pelancaran TV QLED kami di pasaran Malaysia pada harga yang jauh lebih rendah, yang kemudiannya turut mendorong penurunan harga pasaran bagi produk serupa.
Inilah teras kepada nilai yang kami tawarkan menjadikan teknologi canggih dan mereka bentuk menarik sesuatu yang boleh dicapai oleh ramai, bukan sekadar satu kemewahan.
Semua ini hanya mungkin dicapai hasil daripada usaha berterusan pasukan PRISM+ untuk mentakrifkan semula piawaian industri dari segi nilai, pengalaman, dan kepuasan pelanggan.
Boleh anda kongsikan bagaimana PRISM+ mengimbangi strategi dalam talian dan luar talian, terutamanya dengan peningkatan permintaan terhadap runcit omnisaluran di Malaysia?
Kedai fizikal merupakan titik sentuhan yang penting, terutamanya apabila kami mengembangkan penawaran ke dalam kategori peralatan rumah.
Ramai pelanggan mahu melihat, menyentuh dan merasai sendiri produk sebelum membuat pembelian, lebih-lebih lagi untuk barangan besar.
Di Malaysia, masih terdapat sebahagian besar pengguna yang bukan ‘digital native’ dan kurang selesa membuat pembelian bernilai tinggi secara dalam talian. Maka, kedai fizikal kekal relevan dan penting sebagai saluran utama dalam perjalanan pembelian mereka.
Pada masa yang sama, kehadiran dalam talian amat penting untuk penonton yang celik digital.
Ia bukan sahaja berperanan dalam meningkatkan kesedaran jenama dan produk, malah menjadi saluran komunikasi dua hala yang membolehkan kami kekal berhubung dengan pelanggan 24/7.
Dari sudut strategi, usaha luar talian kami kini tertumpu kepada pengembangan rangkaian kedai fizikal di seluruh negara, manakala pemasaran dalam talian kami memberi tumpuan kepada kandungan sosial, organik dan berbayar untuk membina kesedaran dan menarik minat pengguna digital.
Apakah peranan maklum balas pelanggan dalam pembangunan produk dan keputusan perniagaan PRISM+ di Malaysia?
Maklum balas pelanggan bukan sekadar penting, ia merupakan asas kepada cara kami beroperasi.
Setiap produk yang kami lancarkan di Malaysia, daripada kipas pintar sehingga peti sejuk, telah dibentuk berdasarkan input langsung daripada pelanggan.
Sebagai contoh, kami memperkenalkan pilihan kemasan kipas yang boleh disesuaikan serta sistem pemasangan yang lebih stabil selepas menerima maklum balas khusus daripada pemilik rumah.
Ramai pengguna di Malaysia kini cenderung ke arah penyesuaian dalaman daripada almari pakaian hingga kabinet dan mereka mahukan kipas siling yang boleh disesuaikan dengan citarasa dan gaya kediaman mereka. Ini mendorong kami untuk menawarkan pelbagai pilihan kemasan dan bilah bagi memenuhi lebih banyak citarasa estetik.
Kami juga membangunkan aplikasi PRISM+ Connect sebagai tindak balas langsung terhadap kekecewaan pengguna mengenai ekosistem pintar yang terpecah-pecah membolehkan kawalan pelbagai peranti dari satu platform sahaja.
Sama ada melalui perubahan pada produk, kemas kini ciri, mahupun cara kami berkomunikasi, kami menganggap maklum balas pelanggan sebagai pelan hala tuju kami. Pendekatan inilah yang menjadi kunci dalam membina kepercayaan jangka panjang dengan pelanggan kami.”
Dengan peningkatan kos iklan digital, bagaimana PRISM+ mendekati keberkesanan pemasaran dan pulangan pelaburan (ROI) dalam landskap Malaysia?
“Di PRISM+, kami amat sedar akan peningkatan kos iklan digital dan telah secara proaktif mengubah pendekatan kami untuk menumpukan kepada kecekapan pemasaran serta pulangan pelaburan jangka panjang. Di Malaysia, kami semakin mengutamakan strategi berasaskan data untuk membuat keputusan pemasaran yang lebih tepat dan berimpak.
Kami juga mempelbagaikan saluran pemasaran menerusi strategi omnisaluran, mengimbangi pelaburan dalam media digital berbayar dengan kehadiran fizikal kami di kedai untuk menarik trafik dari kedua-dua saluran.
Adakah PRISM+ merancang untuk membuka lebih banyak kedai fizikal di Malaysia?
Ya. Kami sentiasa meneroka peluang untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dan kebolehcapaian, termasuk melalui pengembangan runcit secara fizikal.
Sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan kami, kami secara berterusan menilai apa yang paling masuk akal untuk jenama dan pelanggan kami.
Kami merancang untuk membuka lebih banyak kedai fizikal di Malaysia, melebihi sembilan lokasi sedia ada kami, dengan tumpuan strategik kepada kawasan di luar Lembah Klang untuk meningkatkan pengalaman dan kebolehcapaian pelanggan.
Menjelang akhir tahun ini, tiga kedai tambahan dijangka dibuka, dua di Lembah Klang dan satu lagi di Kota Kinabalu, Sabah.
Pengembangan seterusnya akan memberi tumpuan kepada negeri-negeri di luar Lembah Klang seperti Kedah, Kelantan, dan beberapa lokasi tambahan di Johor. Ini bertujuan untuk mengurangkan masa perjalanan pelanggan serta memastikan pengalaman pelanggan yang konsisten di semua titik sentuhan runcit kami.-UTUSAN