Sektor pembuatan dijangka optimis

Sektor pembuatan dijangka optimis

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: BIMB Securities optimis terhadap pertumbuhan sektor pembuatan Malaysia dirangsang oleh perkembangan sektor itu pada 2024, tetapi lebih berhati-hati terhadap tarif timbal balik yang dikuatkuasakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Firma penyelidikan itu berkata, Indeks pengeluaran perindustrian (IPI) dan jualan pembuatan Malaysia diramal berkembang pada kadar yang stabil tetapi sederhana dipacu oleh kestabilan domestik. 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), firma penyelidikan itu berkata, jualan sektor pembuatan mencecah RM1.9 trilion pada 2024, mewakili kenaikan 4.6 peratus tahun ke tahun, sektor itu menunjukkan kestabilan disebalik tekanan luar dengan mencatat jualan RM158.4 bilion pada Disember 2024.

“Kami meramalkan sektor pembuatan Malaysia menghadapi ketidaktentuan semakin meningkat didorong oleh risiko geopolitik, dasar perdagangan berkembang dan potensi gangguan rantaian bekalan pada 2025.

“Walaupun sektor eksport Malaysia mungkin tidak terjejas secara langsung oleh langkah tarif AS, kesan limpahan tidak langsung melalui rakan perdagangan utama, khususnya China dan potensi kelembapan permintaan serantau boleh menjejaskan sektor pembuatan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

BIMB Securities berkata, sektor elektrik dan elektronik (E&E) bakal dikesan oleh ketegangan perdagangan AS-China yang boleh menjejaskan kedudukan strategik Malaysia dalam rangkaian bekalan tertumpu China.

“Trajektori perkembangan ekonomi Malaysia kekal berkait rapat dengan hubungan perdagangan dengan China, manakala tarif ke atas Kanada dan Mexico baru-baru ini akan menambah ketidakpastian dasar, mewujudkan persekitaran luaran yang tidak menentu bagi industri eksport Malaysia,” katanya.

Walaubagaimanapun, firma tersebut berkata, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peralihan dinamik perdagangan global, terutamanya apabila syarikat multinasional mempelbagaikan pengeluaran dari China untuk mengurangkan risiko geopolitik.

“Kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) bakal mengukuhkan asas pembuatannya dan meningkatkan daya saing perdagangan.

“Sektor E&E, pemacu utama pertumbuhan perindustrian Malaysia , bersedia untuk mendapat manfaat daripada penyelarasan semula ini,” katanya. 

Selain itu, firma penyelidikan berkata, dalam jangka sederhana, strategi perdagangan dan perindustrian China yang sedang berkembang memberikan peluang tambahan untuk Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN