Panduan beli rumah lelong - Utusan Malaysia

Panduan beli rumah lelong

TREND membeli rumah lelong semakin meningkat sejak pandemik. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARTANAH lelong merupakan antara satu sumber bagi para pelabur memiliki rumah selain melalui undercon atau subsale. Memiliki hartanah lelong bukanlah hartanah kelas rendah atau rumah busuk seperti yang dianggap oleh sesetengah pihak.

Ini kerana, masih banyak hartanah lelong yang berkategori unit kelas tinggi malah berada di lokasi elit dan premium.

Lebih menguntungkan ialah apabila unit berkenaan dijual di bawah harga pasaran dan adakalanya unit tersebut masih ‘dara’ kerana belum pernah berpenghuni.

Pelabur hartanah lelong, Muhammad Ihsan Zainal Abidin berkongsi panduan untuk membeli hartanah lelong bagi memudahkan anda memulakan bidaan seterusnya memiliki rumah idaman.

Muhammad Ihsan Zainal Abidin

SEDIAKAN DEPOSIT 10 PERATUS
Hartanah lelong ini kebiasaannya memerlukan deposit sebanyak 10 peratus untuk melayakkan kita membida. Namun, bakal pembeli perlu lebih peka apabila unit tersebut dijual menerusi Laca Case (Loan Agreement Cum Assignment) iaitu unit-unit yang dilelong di pejabat-pejabat pelelong kerana deposit yang harus dikeluarkan ialah 10 peratus mengikut harga kemenangan kita pada hari tersebut dan baki perlu diselesai dalam tempoh 90 hari.

Selain itu, lelongan Non-Laca yang dilelongkan di mahkamah tinggi biasanya telah mempunyai geran individu atau geran strata dan memadai menyediakan deposit 10 peratus mengikut harga rizab yang diiklankan. Baki pembelian sebanyak 90 peratus boleh dibayar melalui pembiayaan bank atau belian secara tunai dalam tempoh 120 hari.

SEMAK HAD PEMBIAYAAN
Bakal pembeli juga perlu menyemak had pembiayaan perumahan di mana-mana cawangan bank untuk mengetahui kelayakan kita untuk mendapatkan pembiayaan, selain penyediaan deposit 10 peratus tadi.

Rumah-rumah lelong ini biasanya diiklankan melalui laman-laman web pelelong seperti ngchanmau, ehsanauctioneer, eszamauctioneer, JTRAJ dan banyak lagi.

DAPATKAN NOTIS JUALAN DAN BUAT LAWATAN
Dengan mengetahui unit-unit rumah yang bakal dilelong, dapatkan notis jualan dari pelelong tersebut secara percuma untuk mengetahui maklumat-maklumat dengan lebih jelas seperti alamat, tempoh baki pajakan, keluasan hartanah yang bakal dilelongkan.

Kemudian, bolehlah bakal pembeli tersebut melakukan lawatan untuk mengetahui keadaan hartanah tersebut serta kawasan-kawasan sekeliling bagi mendapatkan gambaran lebih jelas unit yang dibeli. Lawatan tapak ini penting kerana wang yang kita bakal keluarkan bukan sedikit, lebih-lebih lagi kita mengikat kontrak pembiayaan dengan bank 30 hingga 35 tahun lamanya.

Para bakal pembeli juga perlu tahu adakala pihak bank tidak mahu menilai sekiranya rumah tersebut terlalu rosak sehingga tidak boleh didiami jadi ini antara faktor mengapa pembiayaan gagal diperoleh. ini termasuklah kawasan banjir, kerap berlaku jenayah atau kualiti rumah yang tidak mencapai tahap selamat oleh pihak jurunilai.

SEMAK TUNGGAKAN CUKAI
Pihak bakal pembeli juga perlu menyemak tunggakkan cukai-cukai seperti cukai tanah atau cukai taksiran atau tunggakan utiliti seperti elektrik, air dan kumbahan yang ditinggalkan kerana pemilik baharu perlu menanggung tunggakan tersebut.

Selain itu, bakal pembeli perlu mengetahui bebanan dan sekatan yang didaftarkan atas hartanah tersebut sekiranya ada.

DAFTAR UNTUK MEMBIDA
Setelah lawatan tapak dibuat dan kita berpuas hati dengan unit yang bakal dibeli, para pembeli dinasihatkan untuk mendaftar lebih awal bagi mengelakkan kesukaran membida disaat akhir lebih-lebih lagi semuanya dilakukan secara dalam talian.

Sambil minum teh di rumah pun kita boleh membida dengan tenang. Kebiasaannya harga rizab akan dinaikkan sekitanya terdapat pembida lain turut serta, jadi membidalah mengikut bajet yang kita tetapkan tanpa mengikut nafsu sehingga membida melebihi harga pasaran. Ini kerana, pembiayaan kita nanti tidak dapat dipenuhi kerana bank hanya membenarkan jumlah pembiayaan sehingga harga pasaran sahaja.

Sekiranya kita tewas dalam bidaan, deposit akan dipulangkan sepenuhnya tanpa sebarang potongan caj. Namun, sekiranya hartanah lelong tersebut telah berjaya dibida namun pembiayaan bank anda gagal dan tidak dapat diselesaikan walau secara tunai dalam tempoh diberikan, deposit anda akan hangus dan unit hartanah tersebut akan dilelongkan kembali.

Justeru, hartanah lelongan perlu mengikut prosedur yang telah ditetapkan agar tidak merugikan mana-mana pihak sebelum kita membida. Walau hartanah lelong bukanlah sesuai untuk semua para pelabur, tapi ia masih menjadi pilihan ramai pembeli kerana harganya jauh lebih rendah dari harga pasaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN