Tips membeli rumah teres - Utusan Malaysia

Tips membeli rumah teres

RUMAH teres pasti menjadi idaman semua. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMEMANGNYA kalau bertanya kepada sesiapa, pasti memiliki rumah teres menjadi satu matlamat terbesar dalam hidup.

Ini kerana, rumah di atas tanah tetap mendapat permintaan yang tinggi terutama oleh individu dengan keluarga yang besar walaupun lebih banyak rumah bertingkat yang dibina oleh pemaju di ibu negara.

Namun, masih ramai yang tidak tahu tips membeli rumah teres terbaik supaya tidak menyesal di kemudian hari.

Jadi, dalam keluaran Ringgit kali ini kami bawakan tips membeli rumah teres.

PILIH UNIT YANG JAUH DARI JALAN UTAMA
Kalau boleh, pilih unit rumah yang berjauhan daripada jalan utama yang sibuk dengan kenderaan. Ini kerana anak-anak akan lebih bebas dan selamat bermain di depan rumah selain kita dapat menjaga privasi.

HANYA ADA SATU JALAN KELUAR MASUK
Perkara ini sebenarnya penting kerana ia menjamin keselamatan rumah teres yang anda beli. Taman perumahan yang mempunyai banyak jalan keluar masuk memudahkan akses penjenayah dan menyukarkan usaha sekuriti menjaga keselamatan. Lebih baik, jika taman perumahan anda mempunyai pondok pengawal di laluan keluar masuk utamanya.

ELAK PILIH UNIT YANG MENGHADAP ARAH BARAT
Rumah yang menhadap barat akan menjadi lebih panas akibat pancaran matahari pada sebelah pagi dan tengah hari. Apabila rumah anda panas, sudah tentu bil elektrik akan melambung tinggi dan anda perlu melengkapkan setiap bahagian rumah dengan pendingin hawa untuk keselesaan keluarga. Sebaiknya pilih rumah yang menghadap arah utara atau selatan.

ELAK PILIH UNIT BERDEPAN DENGAN SIMPANG
Biasanya, rumah yang berdepan dengan simpang akan lebih terdedah dengan kesibukan trafik dari pagi sampailah ke malam. Kesibukan trafik ini juga akan menyebabkan rumah anda lebih terdedah kepada pencemaran bunyi, asap dan debu.

PILIH UNIT CORNER LOT
Apabila membeli rumah teres, pastinya unit paling hujung atau corner lot menjadi rebutan kerana pemilik dapat mengguna pakai tanah tambahan untuk pelbagai perkara. Ia sesuai digunakan untuk menanam pokok, beraktiviti riadah bersama keluarga dan juga lebih mudah sekiranya terdapat majlis keraian di rumah kerana ruang yang lebih luas.

MEMPUNYAI KEMUDAHAN CLUBHOUSE
Kebelakangan ini semakin banyak pemaju membina kemudahan sampingan seperti rumah kelab atau clubhouse, kolam renang dan lain-lain di taman perumahan. Kemudahan ini mungkin membuatkan rumah jadi mahal, tapi ia menjamin nilai rumah kekal tinggi jika anda berhasrat untuk menjualnya pada masa akan datang.

PILIH UNIT TANPA RUMAH LAIN DI DEPAN
Jika boleh dan berkemampuan, anda digalakkan untuk memilih unit rumah teres yang tiada rumah lain di depan. Contohnya, rumah teres yang hadapannya ada tanah lapang, taman atau sempadan. Biasanya unit rumah sebegini memang sedikit mahal, namun ruang yang luas di depan rumah anda akan memudahkan tetamu anda untuk meletakkan kenderaan.

ELAK UNIT DENGAN KEDUDUKAN DAPUR DI DEPAN
Kebanyakan dapur di rumah moden ketika ini terletak di kedudukan depan rumah. Apabila anda buka sahaja pintu masuk rumah, sudah nampak dapur. Sebenarnya konsep rumah sebegini agak kurang sesuai bagi keluarga Melayu Islam memandangkan dapur boleh dianggap kawasan privasi bagi wanita. Tapi semuanya terpulang kepada cita rasa anda. Kalau anda suka, boleh sahaja beli.

PERIKSA KEWUJUDAN SERANGGA PEROSAK
Memandangkan rumah teres adalah di atas tanah, adalah penting untuk anda periksa jika terdapat kewujudan serangga perosak terutamanya anai-anai, semut, tikus dan nyamuk. Ini bagi mengelakkan anda berdepan pelbagai masalah di kemudian hari. Bukan sahaja merisikokan keselamatan dan keselesaan anda, malah anda terpaksa pula melaburkan kos yang tinggi bagi menghalau makhluk perosak ini nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya