Pharmaniaga rancang tambah baik logistik bagi penghantaran pantas - Utusan Malaysia

Pharmaniaga rancang tambah baik logistik bagi penghantaran pantas

PENJAGA stor bilik sejuk Pharmaniaga membungkus ubat-ubatan untuk dihantar ke hospital dan klinik kesihatan ketika lawatan media ke pusat logistik dan edaran Pharmaniaga, di Kuching baru-baru ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) melalui anak syarikat milik penuhnya, Pharmaniaga Logistics Sdn. Bhd. (PLSB) merancang menambah baik rangkaian serta kemudahan logistiknya dalam memastikan penghantaran bekalan ubat ke fasiliti perubatan seluruh negara lebih cekap dan pantas.

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Datuk Zuhri Iskandar Kamarzaman berkata, buat masa ini Pharmaniaga mempunyai 15 pusat logistik dan edaran yang terletak secara strategik di seluruh negara termasuk di Selangor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau kesemua pusat yang disokong lebih daripada 300 kenderaan dengan 450,000 penghantaran melalui udara, air dan darat setiap tahun disokong 500 kakitangan logistik dan pengedaran yang merupakan 100 peratus pekerja tempatan.

“Sebahagian daripada program kami adalah untuk menambah baik infrastruktur dan kemudahan yang mana dalam perancangan dan kita akan umumkan dari masa ke semasa supaya penghantaran lebih pantas daripada sekarang.

“Cuma berapa jumlah saya tidak boleh umumkan, tapi memang ada dalam perancangan melibatkan pelaburan menambah baik infrastruktur dan kemudahan logistik kami,” katanya kepada pemberita pada lawatan media ke pusat logistik dan edaran Pharmaniaga, di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

Tambah beliau, Pharmaniaga melalui PLSB turut memperkukuhkan budaya Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta kelestarian dengan menggunakan kenderaan elektrik bagi menghantar bekalan ubat sekitar Lembah Klang selaras dengan Aspirasi Rendah Karbon 2040 oleh Kerajaan Malaysia.

“Kita mempunyai dua buah kenderaan elektrik untuk menghantar ubat-ubatan dan ia masih dalam peringkat percubaan dan kita akan lihat bagaimana hasilnya nanti,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pusat logistik dan edaran Pharmaniaga di Kuching, beliau berkata, meskipun penghantaran bekalan ubat ke hospital dan klinik kesihatan di negeri berkenaan terutamanya kawasan pedalaman berhadapan dengan pelbagai cabaran, Pharmaniaga masih dapat dihantar tepat pada masanya.

Jelas beliau, penghantaran bekalan ubat di Sarawak menggunakan kenderaan seperti van, lori, pacuan empat roda serta bot setiap hari ke semua hospital dan klinik kesihatan milik kerajaan di 12 bahagian negeri berkenaan.

“Pelbagai cabaran dan halangan yang mereka hadapi dalam memastikan bekalan ubat sampai kepada rakyat terutamanya di kawasan pedalaman antaranya, melalui laluan balak yang mencabar, tanah runtuh, kerosakan kenderaan dan air sungai surut.

“Namun atas rasa tanggungjawab dalam memastikan semua penduduk Sarawak mendapat akses perubatan kami tetap berusaha menghantarnya dalam tempoh 10 hari bekerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya