Mahsuri Food sedia produk halal berkualiti tinggi

Mahsuri Food sedia produk halal berkualiti tinggi

AMINUDDIN Harun (lapan dari kiri) dan Mohd. Roslan (tujuh dari kiri) pada Majlis Pecah Tanah Tapak Kilang Syarikat Mahsuri Food Sdn. Bhd. di Halal Park, Bandar Enstek, Nilai, Seremban semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYARIKAT pengeluar produk kicap dan sos makanan, Mahsuri Food Sdn. Bhd. (Mahsuri Food) memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai pengeluar makanan halal menerusi pembukaan kilang baharu bernilai RM250 juta di Halal Park, Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.

Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri Food, Datuk Mohd. Roslan Mahayuddin berkata, kilang yang dibina itu bakal dilengkapi dengan teknologi moden mesin Rotary-type Koji Making yang akan menjadikan Mahsuri Food sebagai syarikat pertama menggunakan teknologi canggih tersebut di rantau Asia Tenggara.

Ujar beliau, apabila siap dibina kelak, kilang itu juga akan mempunyai tempat pembuatan, gudang, makmal jaminan kualiti, pusat penyelidikan dan pemba­ngunan (R&D), pejabat serta kemudahan sosial.

“Majlis pecah tanah bagi tapak kilang baharu ini adalah satu langkah ke hadapan untuk Mahsuri Food merancakkan lagi pasaran tempatan dan luar negara terutamanya dalam industri halal di samping membuka peluang pekerjaan berkemahiran kepada penduduk setempat.

“Dengan keluasan 24,000 meter persegi, tapak baharu ini akan membolehkan Mahsuri Food me­ningkatkan kapasiti pengeluaran serta menyediakan produk halal berkualiti tinggi untuk pelanggan-pelanggan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Pe­cah Tanah Tapak Kilang Syarikat Mahsuri Food Sdn. Bhd. di Halal Park, Bandar Enstek, Nilai di sini, baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sementara itu, Mohd. Roslan berkata, Mahsuri Food telah ditubuhkan pada lewat 1990-an ketika Malaysia pada waktu itu sedang melalui pertumbuhan ekonomi yang pesat.

“Perjalanan kami bermula apabila seorang pelabur antarabangsa tertarik dengan makanan Malaysia semasa lawatan ke Langkawi bersama kumpulan usahawan Malaysia yang inovatif dan berpengalaman dalam industri makanan.

“Bermula daripada detik itu, dengan kolaborasi kepakaran dan bantuan teknologi moden, mereka berganding bahu dalam mencipta resepi kicap yang halal untuk dipasarkan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Ujar beliau, sejak daripada itu, Mahsuri Food telah terus berusaha untuk memperkasakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang penghasilan makanan.

Sehingga kini katanya, Mahsuri Food telah berjaya mempelbagaikan produk-produk yang sedia ada untuk dijadikan bahan asas masakan rakyat Malaysia.

“Daripada hanya sebuah syarikat kecil, Mahsuri Food kini telah berjaya meluaskan empayarnya dan menghasilkan pelbagai variasi produk halal di bawah rangkaian jenama Mahsuri.

“Kami telah menembusi pasaran di Indonesia, Filipina, Singapura, Vietnam, Thailand, Myanmar, Kemboja, India dan Asia Barat,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, Mahsuri Food yang menawarkan teknologi baharu berteraskan automasi bagi setiap peringkat pengilangan dan operasinya pasti akan mewujudkan peluang pekerjaan terutamanya kumpulan profesional dan pekerja berkemahiran tinggi kepada masyarakat tempatan.

Menurutnya, kemasukan ki­lang Mahsuri Food juga akan dapat merancakkan industri berasaskan makanan di negeri itu dan seluruh negara.

“Pembukaan kilang baharu ini pastinya akan menyumbangkan ke arah pembangunan prasarana pengeluaran produk halal, rangkaian pemasaran dalam dan luar negara serta pembangunan sosioekonomi yang akan berpusat di negeri ini.

“Diharap roduk jenama Mahsuri akan terus berkembang dan tersenarai antara 1o jenama halal teratas kelak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya