Husqvarna Norden 901 - Jentera asing atau 'musang berbulu ayam?' - Utusan Malaysia

Husqvarna Norden 901 – Jentera asing atau ‘musang berbulu ayam?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASARAN motosikal tempatan nampaknya sudah mula mendapat perhatian jenama-jenama dari luar negara. Kalau 15 tahun dulu, para peminat dua roda sering disajikan dengan jenama dari negara matahari terbit (Jepun), namun sejak akhir-akhir ini lambakan jenama-jenama dari Eropah sudah mula memasuki pasaran secara serius dan pada skala yang besar.

Antara jenama tersebut ialah HUSQVARNA. Bagi peminat motosikal lasak, jenama ini tidak asing bagi mereka kerana mengetahui ianya adalah sebuah jenama yang berkait rapat dengan jenama KTM dan agak lebih menumpukan varian-varian ‘motorcross’ atau seumpamanya. Begitu pun, Husqvarna seolah-olah mendapat ‘mandat’ baru untuk menghasilkan motosikal model jalanan bermula daripada Vitpilen dan Svartpilen. Jenama motosikal ini benar-benar menggunakan nama (samada nama khas atau nama am) dari bahasa Sweden (Husqvarna bermaksud nama tempat asal jenama ini mula diniagakan, dan Vitpilen bermaksud panah putih dan Svartpilen bermaksud panah hitam).

Kini model Norden (yang bermaksud Utara),telah diperkenalkan pula pada pasaran tempatan sekitar bulan Ogos 2022. Seperti Vitpilen dan Svartpilen yang lebih dikhususkan sebagai motosikal jalanan, Norden juga menggunakan jentera KTM. Norden menggunakan enjin yang sama seperti KTM Adventure 890 dan juga berkongsi sistem suspensi iaitu jenama WP.

KOSMETIK
Melihat rupa bentuk fizikalnya, ia tidak ada penyelesaian ‘tengah’ untuk diungkapkan. Ia samada anda suka akan rekabentuknya atau anda terus-terusan membencinya. Ternyata rekaannya agak unik dan samada ia mencuba untuk mengarah ke reka bentuk klasik atau retro, latar belakangnya daripada spesifikasi KTM seolah-olah menyebabkan orang ramai membandingkannya dengan rupa bentuk model asalnya.

KTM ADVENTURE atau KTM DUKE 890 ternyata lebih ‘kurus’, lebih ‘ringan’, lebih tampak agresif dan juga tampak lebih mengujakan. Norden ini pula jelas menunjukkan ia lebih ‘gemuk’, tampak lebih ‘berat’ dan lebih ‘jinak’. Pilihan warna Norden 901 juga seperti model-model Vitpilen dan Svartpilen, iaitu pemilihan warna hitam, perak dan putih. Norden seolah-olah seperti seorang pemalu dan konservatif, tidak mahu menonjol pada mata orang awam.

Dari segi rekaan lampu hadapannya yang bulat seperti jentera-jentera retro serta ditambah pula dengan lampu sisi sebagai tambahan pencerahan jalan raya ketika menunggang di waktu malam, jelas menunjukkan arah tuju reka bentuknya. Ianya seperti sebuah potret yang meningatkan zaman kegemilangan jentera-jentera Husqvarna ketika di awal penubuhannya.

PENUNGGANGAN
Daripada rupa bentuknya yang tampak terlalu ‘lembut’, pasif dan mungkin tampak seperti sebuah motosikal yang mungkin hanya berdasarkan nostalgia semata-mata, namun sifat Norden 901 ternyata mengkhususkan kepada para penunggang motosikal yang inginkan adventure dan bukan lagi tunggangan yang menjadi kebiasaan.

Norden ini ternyata sebuah motosikal touring tetapi tidak akan menolak sekiranya anda tiba-tiba datang `kemaruk’ untuk menunggang di laluan-laluan dalam, laluan ‘offroad’, laluan tikus, laluan kebun-kebun atau pun laluan yang tidak mempunyai turapan tar seperti ke kawasan-kawasan perkhemahan, tepi sungai atau air terjun.

Dari sudut tunggangan jarak jauh atau “touring”, pelindung anginnya tampak seperti tidak cukup tinggi untuk melindungi dada dan kepala anda dari tujahan angin. Namun, akibat angin yang berjaya menghentam dada anda itu, mendatangkan satu kesan yang saya dapati tidak terjadi ketika menunggang motosikal dengan skrin pelindung angin yang tinggi. Oleh kerana angin tujahan terus ke bahagian dada dan kepala, tidak berarus ke atas kepala serta bergulung di belakang topi keledar anda. Ini tidak menyebabkan kepala anda seperti berbuai-buai dan tengkuk anda juga tidak lagi melawan gulungan angin tersebut sepanjang perjalanan.

Sistem suspensi hadapan berjenama WP yang digunakan pada Norden 901 tidak seperti KTM DUKE 890 yang lebih keras serta memberikan kebolehan menunggang dalam selekoh dengan lebih jitu walaupun secara agresif, malah, juga lebih lembut dibandingkan KTM ADVENTURE 890 walaupun kedua-dua model ini sepatutnya ‘bertugas’ atas fungsi yang sama iaitu kebolehan menunggang atas laluan lasak.

Walaupun suspensi Norden lembut, menyebabkan penggunaan atas laluan lasak, berbatu-batuan tanpa turapan tar, serta mengharungi lopak-lopak air juga, tidak membebankan bahu, lengan atau tapak tangan penunggang, tetapi ia tidak pula menjejaskan pengambilan selekoh ketika dalam kelajuan yang tinggi. Ini mungkin disebabkan penggunaan roda hadapan bersaiz 21 inci membantu pengendalian motosikal. Penggunaan penyerap hentakan handle (steering damper) turut menyokong kebolehan pengendalian Norden samada di jalan tar atau pun laluan berbatuan.

Seperti saudaranya KTM 890, bantuan penunggangan elektronik turut membantu Norden beroperasi dengan cemerlang dalam apa jua situasi, seperti mode penunggangan jalan raya, hujan, Offroad dan mode Explorer. Kepelbagaian mode untuk memudahkan penunggang memilih sendiri tahap tujahan kuasa atau cengkaman roda pada keadaan dan cuaca laluan yang diambil. Malah, sekiranya anda seorang yang berpengalaman dalam pengendalian jentera-jentera “Adventure”, anda boleh memilih sendiri tahap bantuan elektronik terhadap jentera ini. Sistem brek ABSnya juga boleh dihentikan sepenuhnya atau pun mode “cruise control” iaitu memudahkan pengendalian ketika atas lebuh raya.

Kebolehan kotak gear NORDEN 901 juga membolehkan gear turun dan naik tanpa perlu menarik tuas klac, banyak membantu dalam penunggangan secara ekstrim ketika melalui jalan berlopak dan berbukit-bukau.

KESIMPULAN
Ternyata HUSQVARNA NORDEN 901 bukan direka hanya untuk rupa paras modern. Ia sebenarnya membawa sejarah dan kegemilangan jenama yang disulami dengan teknologi enjin dan bantuan elektronik yang serba terkini. Maka tidak hairanlah harga pasarannya di Malaysia adalah sekitar RM98,800 malah melebihi harga KTM 890 iaitu sekitar RM93,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya