Saiz rumah ideal 900-1,000 meter persegi

Saiz rumah ideal 900-1,000 meter persegi

SAIZ rumah turut memainkan peranan dalam keputusan membeli rumah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAIN lokasi yang strategik, saiz turut memainkan peranan penting dalam misi mencari rumah.

Ini kerana, rumah adalah keperluan asas bagi kehidupan manusia kerana ia memberikan perlindungan selain menyediakan keselesaan dan mewujudkan kemesraan keluarga.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Aliy Group, Datuk Mohd. Ali Majis berpendapat, saiz rumah ideal di Malaysia yang boleh dibawa oleh Skim Perumahan Keluarga Madani adalah sekitar 900 hingga 1,000 meter persegi kerana saiz tersebut bersesuaian untuk jumlah isi rumah yang ramai (berkeluarga).

“Saiz rumah penting kerana ia memastikan keselesaan dan privasi. Keluasan rumah juga menentukan berapa bilik tidur, bilik air dan saiz ruangan lain seperti ruang tamu, dapur dan ruang makan.

“Saiz rumah juga boleh memberi kesan terhadap emosi dan kesihatan mental. Bayangkan tinggal dalam rumah yang sesak, kurang ruang, dan tidak cukup cahaya, ia mampu membuatkan seseorang rasa serabut, tak keruan dan stress.

“Bagi keluarga yang mempunyai anak-anak, mereka memerlukan saiz rumah yang sesuai untuk membesarkan anak-anak mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, katanya, saiz rumah yang tidak bersesuaian atau terlalu kecil akan memberi impak sosial kepada penghuni.

Sebagai contoh, jelasnya, kelakuan pasangan (seperti membuat hubungan) mudah dilihat oleh anak-anak yang seterusnya boleh merosakkan pemikiran anak-anak.

Ujarnya, isu seksual seperti berlakunya sumbang mahram adalah antara punca saiz rumah yang terlalu kecil sehingga penduduk tiada privasi untuk berkemban dan sebagainya.

Mengulas lanjut, Mohd. Alis berkata, tidak dinafikan, saiz rumah akan mempengaruhi harga hartanah lebih-lebih lagi ketika harga jualan hartanah kekal meningkat.

Beliau berpendapat, agak sukar untuk harga hartanah turun pada masa akan datang, dan itu sekali gus akan memberi impak dan kesan kepada pemilikan hartanah.

“Faktor-faktor kenaikan harga tanah yang semakin menaik, kenaikan harga bahan-bahan pembinaan, kenaikkan kos pembinaan yang lain akan juga akan menyukarkan harga hartanah untuk turun.

“Harga hartanah akan terus akan menunjukkan kadar kenaikkan sama ada secara perlahan atau stabil mengikut kerancakkan dan kesan ekonomi dan kuasa beli.

“Di masa depan, saya melihat mungkin akan berlaku berlaku trend hartanah bersaiz lebih kecil kerana semua kos pembinaan dan tanah semakin meningkat dan tiada kawalan.

“Tanah pula semakin berkurangan untuk projek-projek impak sosial terutamanya di negeri dan bandar yang membangun.

“Justeru, lebih banyak pemaju akan meningkatkan perumahan bersaiz kecil bagi mengimbangi kos dan keuntungan mereka disebabkan ketidak seimbangan antara permintaan bekalan serta pendapatan isi rumah yang sangat rendah,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata, keperluan perumahan kini terpaksa bersaing dengan sub-sektor hartanah yang lain seperti komersial dan pelaburan tetap perniagaan.

Katanya, migrasi (penghijrahan) dan peluang pekerjaan menyebabkan beberapa kawasan bandar menjadi tumpuan utama.

“Dengan kepadatan yang tinggi bagi sesebuah kawasan dan persaingan pemajuan perumahan dengan pembangunan hartanah yang memberi pulangan yang lebih tinggi menyebabkan saiz untuk unit kediaman semakin mengecil.

“Saiz perumahan yang sesuai menjadi isu utama beberapa kawasan perbandaran apabila projek perumahan dimajukan.

“Ada beberapa negeri telah bertolak-ansur dengan keperluan tanah yang semakin terhad terutama kawasan atau lokasi tumpuan atau yang memiliki kemudahan utama.

“Bagi negeri-negeri yang tinggi kepadatan, saiz perumahan semakin kecil dan ada yang kurang daripada 1,000 kaki persegi,” katanya.

Muhammad Ridhuan katanya, arah aliran harga hartanah (unit kediaman) di luar negara setakat ini, belum ada yang menunjukkan penurunan harga yang drastik atau ketara.

Jelasnya, selepas kenaikan harga rumah dalam negara yang ketara pada 2012 hingga 2015, harga rumah terutama rumah mampu milik dan rumah kos rendah tidak menunjukkan arah aliran penurunan

Katanya, peluang pekerjaan masih menjadi ‘penarik’ di kawasan bandar utama dan beberapa negeri seperti Lembah Klang, Penang dan Johor Bahru.

Beliau menjelaskan, rangkaian jalan raya dan akses kepada infrastruktur yang bertambah baik menjadikan sesuatu lokasi semakin lestari dan trend hartanah pada lima tahun akan datang juga akan semakin lestari.

“Bagi kawasan yang berkepadatan tinggi, pihak berkuasa tempatan seperti Majlis Perbandaran perlu merancang dengan lebih strategik.

“Saiz perumahan yang madani perlu mengambilkira kemampuan pembeli, keperluan komuniti dan kesejahteraan penghuni (daya huni).

“Pembangunan perumahan berhadapan dengan kos pembinaan yang semakin hari semakin mencabar. Beberapa harga bahan binaan menunjukkan trend yang semakin meningkat.

“Justeru, model perumahan madani atau mampan perlu dilihat secara tuntas atau menyeluruh dan dinamik.

“Stigma kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) perlu diharmonikan kerana komuniti PPR juga melahirkan modal manusia yang penting kepada pembangunan perbandaran dan pertumbuhan ekonomi sesuatu kawasan kejiranan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN