MUKADIMAH
SHAHRIL SUFIAN HAMDAN dengan UMNO ibarat air yang dicincang tidak akan putus. Namun, adakalanya, kalau airnya dibuang, mengalir entah ke mana.
Selepas UMNO menggantung keahliannya selama enam tahun kerana didakwa melanggar disiplin parti pada Januari 2023, tiada lagi tempat untuk bekas Ketua Penerangan UMNO itu berpaut.
Selepas itu, bermulalah perjalanannya dalam satu ‘dunia baharu’ penuh hikmah, termasuk berjaya menghimpunkan pengikutnya sendiri menerusi siniar politik dihoskan bersama Khairy Jamaluddin, Keluar Sekejap (KS).
Ikuti wawancaranya bersama wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN dan jurugambar, SYAKIR RADIN di ibu negara baru-baru ini.
MINGGUAN MALAYSIA: Apa perkembangan selepas penggantungan keahlian enam tahun anda oleh UMNO?
SHAHRIL HAMDAN: Saya tidak lagi terlibat secara langsung dalam dunia politik dan tidak bercadang bergiat secara aktif dalam politik buat masa ini. Peranan kini lebih kepada pemerhati. Namun, saya melihat peranan sebagai penganalisis yang memiliki sedikit sebanyak pengalaman dalam arena politik membolehkan saya memberi pandangan berasas.
Daripada politik ke bidang apa?
Saya kini terlibat aktif dalam industri modal teroka yang mana kami melabur dalam syarikat-syarikat teknologi di seluruh dunia. Saya mewakili pejabat pelaburan tersebut di rantau Asia Tenggara dan fokus kami menyokong pembangunan dan pertumbuhan syarikat teknologi berpotensi tinggi.
Hidup lebih baik dan tenang bila menjadi ‘orang luar’?
Saya melihatnya sebagai satu titik perubahan besar dalam hidup membawa seribu satu hikmah. Ia membuka lembaran baharu kehidupan menyaksikan saya berpeluang kembali semula ke dunia korporat dan swasta. Kembali ke arena ini amat saya syukuri, pada masa sama, masih diberi ruang dan platform untuk terus mengikuti dan mengulas perkembangan politik melalui saluran berbeza.
Ini satu kelebihan yang saya syukuri kerana ia tidak datang automatik. Lazimnya, seseorang perlu pilih antara ketenangan hidup di luar politik tanpa platform atau kekal relevan dengan platform, namun perlu menempuh pelbagai cabaran datang bersama dunia politik. Saya pula dikurniakan keseimbangan dengan tidak lagi berdepan tekanan yang lazimnya dihadapi ahli politik.
KELUAR POLITIK BUKAN GAGAL
Adakah pernah terdetik sepatutnya turut bersama barisan kepimpinan yang sedang membahas isu-isu dasar penting demi meneruskan perjuangan dalam parti politik?
Tidak pernah rasa saya sepatutnya berada di mana-mana kerana ini semua ketentuan Allah SWT. Selepas berundur daripada jawatan politik, saya melalui proses kesedaran cukup mendalam.
Keluarnya saya daripada dunia politik bukan kegagalan, tetapi ketentuan dan perancangan Allah SWT. Ia mungkin satu ujian. Adakah saya akan terus mengejar kedudukan walau apa pun terjadi atau saya perlu berhenti sejenak, bermuhasabah dan menilai apakah benar ini jalan perlu saya lalui?
Kalau satu hari nanti terbuka peluang kembali menyumbang, saya tidak akan menolak kemungkinan. Tetapi, saya tidak cari atau kejar. Perasaan rindu lebih kepada hubungan persahabatan dengan rakan seperjuangan dahulu, bukan dunia politik.
Saya reda dan terima takdir ini. Namun yang pasti, saya tidak tergesa-gesa, terdesak dan berasa perlu memaksa diri kembali ke jalur yang kini saya percaya Allah SWT palingkan saya daripadanya (politik).
Bagaimana jika peluang dan ruang itu terbuka kembali selepas tamat hukuman penggantungan anda?
Biarlah kemunculan semula ini datang daripada versi diri saya yang lebih lengkap dan menyeluruh. Jika suatu hari nanti kembali ke arena politik, saya tidak mahu kembali sebagai individu sama seperti dahulu, tetapi, sebagai seseorang yang jauh lebih bersedia, berwibawa dan mampu beri sumbangan bermakna.
Saya percaya, bagi mana-mana ahli politik yang benar-benar mahu kembali, peluang memang ada. Namun, hakikatnya, saya sendiri tidak memilih mengambil peluang ini yang menunjukkan buat masa ini, jiwa saya belum cenderung ke arah itu.
Apa jangkaan berlaku selepas tempoh penggantungan tamat?
Saya tidak tahu dan tidak fikirkannya. UMNO ada hak dan saya juga perlu tanya diri sendiri sama ada mahu terus aktif atau tidak. Tanpa hilang rasa hormat kepada rakan-rakan masih di sana, penggantungan keahlian tidak seharusnya bersifat satu hala seolah-olah saya digantung tanpa kebebasan, pada masa sama tidak diterima semula.
Jika keahlian digantung, saya juga anggap tanggungjawab atau kebergantungan saya terhadap parti ini pun terhenti. Tiada langsung perasaan memusuhi tetapi tidak juga meratapi. Tamat tempoh nanti terpulanglah kepada situasi dan senario masing-masing pada ketika itu. Soal keahlian, UMNO dan saya masing-masing punya hak dan saya perlu mempertimbang sama ada mahu kembali ke dalam wadah sama, wadah lain atau kekal di luar seperti sekarang.
PEMIMPIN PELAPIS
Ramai cakap, ‘sayang’ sebenarnya kerana Malaysia memerlukan pemimpin pelapis seperti anda.
Kerjaya politik bukan satu-satunya jalan. Ramai lagi menyumbang dalam diam. Negara juga memerlukan lebih ramai bakat pelapis dan tenaga kerja dalam pelbagai sektor lain. Tetapi mengapa kita sering ‘meromantikkan’ dunia politik seolah-olah bidang lain tidak sama pentingnya?
Dominasi politik dalam naratif umum sangat kuat, hinggakan apabila seseorang mempunyai sedikit bakat meninggalkan dunia politik – bukan hanya saya, tetapi sesiapa pun – reaksi biasa adalah: “Sayangnya, dia tidak lagi dalam politik.”
Tetapi apabila seseorang yang cemerlang dalam dunia korporat, perniagaan, atau keusahawanan masuk ke politik, jarang pula kita dengar orang cakap: “Sayangnya, dunia keusahawanan kehilangan tokoh ini.”
Ramai individu tidak dikenali media arus perdana atau tidak popular di media sosial, tetapi sumbangan kepada negara jauh lebih besar daripada seorang ahli politik biasa.
Namun kerana politik sering berkait dengan kuasa dan perhatian ramai, kerjaya ini diangkat seolah-olah paling mulia, padahal ramai yang menyumbang besar di luar dunia politik.
KERAJAAN TEKNOKRAT
Apa kesan suasana politik sekarang kepada rakyat dari aspek kepercayaan dan kewibawaan?
Landskap politik dan masyarakat hari ini berada dalam pelbagai gelembung dan naratif. Tiada satu pun naratif benar-benar dominan atau mewakili keseluruhan pemikiran rakyat. Timbul persoalan, “adakah kerajaan ini dilihat berwibawa?”. Jawapan diterima akan sangat bergantung kepada gelembung sosial mana yang kita rujuk atau berada di dalamnya.
Kerajaan hari ini merupakan pentadbiran yang membawa pelbagai agenda progresif di atas kertas. Contoh ketara termasuk isu penyasaran subsidi, pemerkasaan industri semikonduktor, pelaksanaan sistem percukaian lebih adil, usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi serta peralihan kepada tenaga boleh baharu.
Kesemua ini membentuk penjenamaan saya tafsir sebagai “kemampuan teknokratik”, walaupun ini bukan istilah rasmi diguna kerajaan. Namun, naratif tersebut jelas wujud yang kerajaan mahu dikenali sebagai pentadbiran mampu melaksana dasar-dasar kompleks secara berkesan, berasaskan kebolehan teknikal dan kapasiti pengurusan.
Berbeza dengan pentadbiran yang membina jenamanya atas semangat reformasi yang lazimnya dikaitkan perubahan budaya, identiti nasional dan sistem demokrasi. Kerajaan sekarang lebih menekankan keupayaan menyampai, melaksana dan menghasilkan keputusan berdasarkan pendekatan teknokratik.
Saya pernah jangka kerajaan ini, khususnya dipimpin oleh Pakatan Harapan (PH), lebih cenderung ke arah penjenamaan reformasi menyeluruh. Namun, kini saya melihat mereka lebih dikenali melalui jenama kebolehlaksanaan dan kemampuan teknikal.
Pun begitu, terlalu awal menilainya. Ukuran sebenar keberkesanan kerajaan ini hanya boleh dinilai menjelang hujung penggal apabila kita dapat melihat sama ada kos sara hidup berjaya ditangani, pelaburan yang masuk benar-benar mencipta peluang pekerjaan dan sektor baharu seperti tenaga boleh baharu atau teknologi tinggi melahirkan syarikat tempatan berjaya dan mampan.
Perancangannya di atas kertas tampak tersusun dan menjurus kepada pembinaan keupayaan teknokratik. Namun, dari segi reformasi sosial dan reformasi demokrasi, penekanan dan penjenamaan ini kurang ketara.
Saya tidak mengatakan kerajaan langsung tidak membawa agenda reformasi, tetapi secara keseluruhan, naratif utama yang menonjol ialah keupayaan teknokratik iaitu kerajaan yang boleh deliver dan bukannya naratif kerajaan reform.
Maksudnya, kerajaan masih cuba sehabis baik untuk deliver?
Kerajaan hari ini masih berada dalam fasa membuktikan kemampuan sebenar. Mereka seolah-olah meminta untuk dinilai bukan berdasarkan idealisme reformasi, tetapi berdasarkan kemampuan pelaksanaan dan hasil yang boleh diukur secara objektif terutama melalui metrik ekonomi dan prestasi teknokratik.
Namun, pendekatan ini bukanlah baharu. Pentadbiran sebelum ini juga sering diminta dinilai menggunakan kayu ukur sama. Jika kerajaan hari ini mahu menonjolkan perbezaannya, hasil akhirnya perlu jelas dan berbeza.
Kita perlu melihat apakah keputusan sebenar dalam aspek-aspek penting seperti pelaburan langsung asing (FDI), penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan sektor-sektor strategik. Inilah ukurannya untuk kerajaan diuji berdasarkan kemampuan dan keputusan konkrit bukan semata-mata janji atau penjenamaan.
BUDAYA FEUDAL
Komen tentang cadangan kerajaan menaikkan had umur persaraan penjawat awam di usia 65 tahun. Bolehkah kenakan had tersebut kepada wakil-wakil rakyat?
Perubahan perlu dilakukan contohnya had umur persaraan dalam politik mestilah bersifat lebih substantif dan bermula daripada budaya ini sendiri khususnya budaya dalam parti politik. Kita perlu benar-benar beri ruang dan peluang kepada bakat baharu. Namun, budaya feudal dalam parti politik Malaysia masih terlalu kuat.
Kadang-kadang, kita gemar mencari jalan pintas menyelesaikan masalah tanpa berani atau sanggup melakukan perubahan mendalam terutamanya berkaitan isu ahli politik yang enggan beralah. Ini sebenarnya isu budaya menyaksikan jawatan sangat berkait rapat dengan identiti seolah-olah tanpa dunia politik mereka tiada kawan, tiada status, atau kekuatan ekonomi.
Apa yang perlu kita tangani bukan sekadar mewujudkan peraturan seperti undang-undang lompat parti atau peraturan mengehadkan tempoh khidmat, tetapi mendidik diri dan mengubah budaya supaya secara semula jadi individu sedar “masa saya sudah sampai” dan sanggup beri ruang kepada generasi muda.
Jika kita terus kekal dengan budaya feudal ini, walaupun ada undang-undang, orang tetap mencari jalan kekal berkuasa, malah, orang muda sendiri pun mungkin akan sokong yang lama kerana kebergantungan dan faktor lain. Oleh itu, perubahan sebenar mestilah bermula dari budaya dan kesedaran diri supaya peralihan kuasa berlaku dengan lancar dan berkesan.
MELAYU SUKAR BERTAUT
Terlalu banyak parti politik Melayu dalam negara, namun masih sukar bersatu dan berjuang bersama. Mengapa?
Saya kurang pasti sama ada gagasan penyatuan parti Melayu pernah benar-benar berlaku atau sekadar impian romantis kerap diguna untuk menaikkan semangat pendengar ceramah. Hakikatnya, sejak penubuhan Malaysia, tidak pernah wujud satu parti mendominasi 100 peratus undi Melayu.
Pas wujud sejak 1951, malah sebelum kemerdekaan sudah ada lebih daripada satu parti bertanding. Penyatuan dalam kalangan parti Melayu bukan mudah dan saya sendiri tidak pernah melihat ia berlaku secara menyeluruh. Dalam konteks politik Malaysia, semakin sukar membezakan ideologi antara parti. Banyak perbezaan lebih berkisar kepada personaliti pemimpin.
Apabila negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad atau beberapa individu lain menubuhkan parti baharu, persoalan timbul adakah perbezaan ini berpunca daripada perubahan inti perjuangan parti atau sekadar pertembungan personaliti dan pandangan berbeza dalam isu spesifik yang bukan menjadi perbezaan asas perjuangan?
Selagi politik berasaskan personaliti dan bukan kepada prinsip perjuangan kukuh, selagi inilah wujud pelbagai parti. Jadi, cabaran utama adalah bagaimana membina politik berasaskan idea dan prinsip, bukan hanya pemimpin.
‘PAYUNG MELAYU’ MAHATHIR
Tun Mahathir mengumumkan inisiatif baharu menggabung orang Melayu di bawah satu payung besar dinamakan Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu. Komen?
Samalah macam saya cakap awal tadi. Persoalannya, adakah kita masih melihat parti politik medan pertembungan personaliti? Fenomena ini wujud kerana personaliti A tidak dapat bekerjasama dengan personaliti B atau personaliti A tidak sanggup menyertai kelompok kekuasaan diketuai personaliti B. Maka, platform atau parti politik baharu sering wujud.
Adakah kita terlalu obses atau terikat dengan personaliti tertentu sehingga mengabaikan kepentingan bersama dan prinsip perjuangan lebih besar?
Sejarah politik Malaysia dalam 20 hingga 30 tahun kebelakangan ini memang menunjukkan corak ini. Apabila dua atau lebih personaliti besar tidak boleh duduk semeja, mereka akan menubuhkan parti baharu. Saya tidak menafikan ada juga perbezaan dalam inti perjuangan, tetapi, pertembungan personaliti masih menjadi faktor utama.
POLITIK DENDAM
Apa pandangan anda mengenai politik dendam (secara khususnya, hubungan antara Tun Mahathir dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim)?
Saya tidak mahu ulas mengenai kes tertentu kerana melibatkan emosi dan hubungan antara individu lain. Untuk saya, saya tidak berdendam dengan sesiapa. Ada masa kita perlu belajar melupakan perbezaan dan meneruskan kehidupan. Kini, saya berada di luar arena politik.
Namun, saya lebih cenderung melihat sebelum kita fokus kepada dendam atau perbezaan, kita perlu faham politik negara masih banyak berpayung di bawah personaliti.
Sama ada personaliti ini adalah Tun Mahathir, Anwar, Datuk Seri Najib Razak dan Khairy atau sesiapa sahaja. Persoalannya, sampai bila Malaysia akan terus terikat dan tertarik kepada personaliti semata-mata? Kita akan sentiasa cari personaliti baharu, sama ada lama atau baharu, tetapi pada akhirnya tetap terikat kepada individu tersebut.
Apa perbezaan inti perjuangan antara mereka? Mungkin ada, mungkin juga tidak. Tetapi, saya rasa penyokong-penyokong lazimnya berbeza kelompok, bukanlah kerana beza inti perjuangan, sebaliknya sokongan lebih didasari kepada faktor lain seperti kedekatan peribadi, percaturan kerjaya, kesukaan kepada gaya atau cara politik mereka.
Walaupun di atas kertas, semua parti mempunyai perbezaan dalam dasar dan perjuangan, namun, realitinya dalam soal pertempuran penyokong kem-kem tertentu, saya nampak lebih menjurus kepada sokong individu atau personaliti, bukan atas perbezaan visi atau ideologi.
EGO DAN PENGORBANAN
Sempena Aidiladha ini, apa tafsiran ‘pengorbanan’ bagi anda?
Ego sering menjadi punca kepada banyak kesilapan. Apabila kita mempunyai penyokong atau pengikut, kita sering kali, malah hampir selalu terbawa-bawa oleh ego.
Mengorbankan ego adalah satu jihad peribadi yang sunyi dan mendalam. Ia sangat relevan untuk saya yang kini tiada jawatan tetapi masih mempunyai platform.
Pengorbanan ego bermaksud sanggup meletakkan kepentingan diri ke tepi ketika membuat keputusan. Keputusan tepat adalah keputusan dibuat tanpa memikirkan sama ada akan menaikkan populariti atau mengangkat ego diri sendiri.
Sebaliknya, keputusan didorong oleh keinginan untuk populariti biasanya keputusan yang salah. Namun, pengorbanan ego bukan perkara mudah. Ia menuntut kita untuk merendah diri, tidak menganggap diri terlalu penting dan mengingat kita dan hayat kita hanyalah satu titik kecil dalam perjalanan masa yang panjang. – Mingguan Malaysia










