Berbeza pendapat, terus kena keluar Perikatan Nasional?

Berbeza pendapat, terus kena keluar Perikatan Nasional?

DOMINIC LAU HOE CHAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERAKAN PARTI CINA?
Banyak persepsi orang mengatakan Gerakan dipertanggungjawab untuk menarik pengundi daripada orang bukan Melayu atau bukan Islam tapi saya nak menegaskan sekali lagi, Gerakan adalah satu parti yang beretnik. Maksud dia, kita membela hak-hak semua kaum. Tidak kisah kalau orang Melayu ke, Cina ke, Orang Asli ke, ini pendirian dan ideologi parti Gerakan walaupun dalam PN, kita dianggap sebagai satu komponen parti yang kita perlu menarik sokongan daripada orang Cina dan India kerana mereka memang sudah tahu, Bersatu adalah untuk orang Melayu dan Pas untuk orang Islam dan selebihnya Gerakan perlu bertanggungjawab. Tetapi saya nak menegaskan, ideologi kita memang untuk semua.

Jadi, ada sebab kenapa bagi parti Gerakan, kita mahu ke arah kesederhanaan. Kesederhanaan adalah satu pendekatan yang kita mesti kekalkan dan mesti kita guna. Tapi masalah sekarang, kita menghadapi situasi yang orang kata Gerakan itu parti politik Cina. Itu salah, tapi ini persepsi. Jadi, kita akan berusaha untuk memperbetulkan persepsi itu kerana kesederhanaan ialah satu pendekatan yang kita guna tetapi kesederhanaan juga persepsi. Cuba kita kata PN ini untuk orang bukan Melayu dan Islam, walaupun PN ini (majoriti) Melayu. Kita kata kesederhanaan tetapi orang bukan Melayu akan tengok Gerakan itu bukan kesederhanaan.

Orang bukan Melayu akan nampak kita lebih daripada Melayu, membela hak-hak orang Melayu tetapi orang Melayu pula tengok kita bukan kesederhanaan, dia akan tengok kita melebihi kepada orang bukan Melayu dan Islam. Inilah cabaran besar yang Gerakan sedang hadapi kerana kita parti politik yang tidak beretnik yang terdiri daripada berbilang kaum, berbilang agama dan budaya serta ada kesederhanaan. Kesederhanaan adalah pendekatan terbaik untuk mentadbir negara kita. Jadi, kita akan terus pegang pendirian ini.
Tapi kadang-kadang, ada orang salah faham, kata kita pro bukan Melayu, sebelah sana pula orang kata kita pro Melayu. Yang ini kita kena selesaikan, kita kena usahakan untuk bagi orang tahu kesederhanaan adalah polisi terbaik untuk negara kita yang terdiri daripada berbilang kaum dan saya nak katakan PN berpegang kepada perkara ini.

Bagi parti Gerakan, kita membela hak semua lapisan rakyat. Semua rakyat, bukan untuk orang Cina sahaja, bukan untuk orang India sahaja, tidak. Kita juga berjuang untuk orang Melayu, tapi kita nampak kuranglah kerana peranan Bersatu dan Pas membela hak Melayu dan Islam. Walaupun kita kata kita juga membela hak orang Melayu dan Islam, tetapi kita nampak kurang jika berbanding dengan mereka.

HUBUNGAN DENGAN PAS
Hubungan parti Gerakan dengan Pas itu perlu lihat dari perspektif PN itu parti komponen. Saya nak menegaskan bahawa pendirian Pas tidak semestinya pendirian PN. Pendirian Gerakan pun tidak semestinya pendirian PN kerana dalam PN ada komponen parti. Ada Bersatu, ada Pas, ada Gerakan, ada SAPP (Parti Progresif Sabah) dan ada MIPP (Parti Rakyat India Malaysia) yang baru bersama dengan kita.

Jadi, Bersatu membela hak orang Melayu, Pas membela hak orang Islam. Gerakan membela hak semua lapisan bangsa Malaysia, SAPP membela hak dekat Sabah dan MIPP untuk orang India.
Memang jika kita tengok ideologi kita atau dari perspektif perjuangan itu memang berbeza. Bukan percanggahan tapi perbezaan daripada ideologi itu. Jadi, di peringkat nasional, ada perbezaan pendapat itu biasalah tetapi sepanjang tiga tahun dalam PN juga kita memang ada beberapa perkara berbeza pendapat yang kita selesaikan dan kita boleh selesai. Kita boleh setuju untuk tidak bersetuju, yang ini kita boleh buat. Kita boleh sampai tahap ini.

Jadi, saya tidak nampaklah apa yang kita tidak boleh selesai di antara komponen parti PN. Yang saya nak tegaskan bukan di peringkat nasional sahaja, di peringkat negeri juga ada empat negeri yang ditadbir oleh Pas, itu pun ada sedikit pandangan yang berbeza. Oleh itu, kita selesaikan dan kita nak selesai untuk rakyat sahaja. Jadi, tidak ada masalah antara Gerakan dengan Pas.

BERBEZA IDEOLOGI DENGAN PAS
Dalam persidangan perwakilan Gerakan di Pulau Pinang, saya menegaskan bahawa kita mesti tahu apakah pendirian kita, apakah ideologi kita. Ini kita kekalkan dan memang tidak ada sesiapa pun boleh tukar kerana sebuah parti politik itu ditubuhkan bukan kerana tokoh tetapi ideologi, itu yang penting dan mesti kita pegang oleh sebab itu, kadang-kadang memang pihak di sebelah sana memang dia nak hasut kita. Dia keluarkan kenyataan, kata kita ada pendapat yang berlainanlah, jadi kamu mesti keluar daripada PN.

Saya pun mengakui, saya punya akar umbi kadang-kadang pun emosi juga. Tapi kita ada polisi, bukan nak katakan, seorang yang berkata-kata atau dua orang ahli kita yang berkata-kata (isu keluar PN), dia akan menjadi. Tidak ada. Tetapi kita akan buatkan dasar, kita ada sistem yang perlu dilalui, kita mesti melalui proses ini.

MASIH HARAPKAN GELOMBANG HIJAU DALAM PRU16?
Bagi parti Gerakan, ideologi kita ialah tidak berasaskan etnik. Kita tidak tengok ini sebagai gelombang hijau. Yang kita nak ialah gelombang rakyat, yang itu objektif kita dan rakyat sokong PN, berbilang kaum, yang berbilang agama, berbilang budaya seperti Malaysia. Jika kita nak jadi kerajaan PN, jadilah sebuah kerajaan yang sokongan itu ialah daripada rakyat daripada semua lapisan semua kaum, semua agama dan semua budaya.

Ini sasaran utama kita yang perlu kita kecapi. Sebab itu, kita tidak mahu melihatnya sebagai gelombang hijau tetapi kita mahukan gelombang rakyat.

KEKUATAN GERAKAN DALAM PN
Kita mesti mengakui bahawa dalam politik ini mereka nak tahu berapa ahli Parlimen kita ada, berapa Yang Berhormat kita ada, berapa Parlimen dan DUN kita ada. Ini realitinya. Tapi dari segi ini memang kita lemah kerana kita ada satu YB Kulim sahaja, tidak cukup. Kita mesti berusaha untuk mendapatkan lebih banyak mandat daripada rakyat.

Saya nampak ada penambahbaikan semasa PRN dan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, kita boleh nampak sokongan rakyat kepada parti Gerakan semakin bertambah walaupun tidak memuaskan tetapi kita nampak tanda-tanda sudah bertambah.
Kita tidak boleh anggap yang kita masuk PN, kita boleh menang besar, tidak. Kita kena cuba cari apakah kelemahan kita, memperkuatkan diri kita, jika kita nampak kekuatan kita, kita nak kekalkan dan tambah baik. Kita tidak boleh berhenti. Kita mesti perlu terus melakukan penambahbaikan.

MAMPUKAH GERAKAN LAWAN DAP?
Saya yakin sokongan kita akan bertambah baik seperti dalam PRN Melaka, PRN Johor, PRU15 dan PRN 2023, ada pertambahan sokongan daripada pengundi kepada parti Gerakan di bawah PN. Sekarang saya mengakui DAP kuat, sudah mendapat sampai 95 peratus sokongan orang Cina tetapi saya nampak sekarang, sudah jatuh.

Jangan lupa, DAP dulu semasa kita kuat di bawah Barisan Nasional, DAP pun kosong, tidak ada kerusi. Kalau tambah pun berapa kerusi sahaja tapi mereka kembali kuat tapi nampak sudah turun sekarang. Jadi, dalam politik ini, tiada apa yang kekal.
Sama juga DAP sekarang, sudah jadi kerajaan Pulau Pinang sudah banyak penggal, 15 tahun. Sudah nampak janji yang mereka buat, tidak ditunaikan. Mereka pun sama dengan Gerakan dulu yang kata kita pun tidak mampu nak buat. Contohnya soal iktiraf sijil peperiksaan bersepadu (UEC), banyak cakap tapi sampai sekarang pun tidak iktiraf.

Jadi, saya nampak sokongan kepada dia sekarang sudah turun, sokongan kita akan naik. Kita tidak putus asa, kita akan terus berpegang kepada ideologi kita, prinsip kita dan kita akan terus lawan. Kita percaya usaha kita memperjuangkan hak-hak rakyat ini, kita boleh mendapat mandat daripada rakyat dan memberikan sokongan kepada PN.

ADAKAH BENAR PN SERING MAINKAN NARATIF TIDAK BENAR?
Satu-satu parti itu boleh terus survive adalah kerana integriti dan perjuangan parti. Kita bercakap perkara yang benar kepada rakyat. Kita bukan memberikan gambaran, tapi fakta-fakta yang betul. Kita menunjukkan integriti kita, kebersihan kita dan kekuatan kita tetapi persepsi daripada rakyat itu kemungkinan berlainan tetapi kita tahu kita betul.

Contoh, kita kata fakta-fakta itu, kita tahu itu benar. Tetapi adakah di sebelah sana menggunakan naratif yang berlainan untuk rakyat percaya kepada mereka dan sokong mereka, memberikan undi kepada mereka? Ini memang sudah berlakulah tetapi saya tidak katakan ini kesalahan rakyat, saya nak katakan ini kelemahan kita, diri kita sendiri.

Kita mengatakan yang kita betul, fakta-fakta yang betul. Tapi naratif itu, mengapa tidak boleh diterima oleh rakyat? Itu sebabnya ini masalah kita sekarang, adakah cara komunikasi kita kurang baik atau lemah?
Jadi, kita perlu perbaiki dan tambah baik, kita mesti memperkuatkan perkara ini. Fakta adalah fakta, integriti adalah integriti. Kita bersih, kita memang tidak rasuah, kita menunaikan janji dan inilah PN.

Kita serahkan kepada rakyat untuk menilai tapi saya percaya rakyat satu hari nanti akan lihat, apa yang kita kata itu betul.

PN HANYA SIBUK FIKIR NAK BENTUK KERAJAAN?
Memang membentuk kerajaan sentiasa menjadi objektif semua gabungan parti politik termasuk PN. Saya rasa tiada siapa yang mahu membentuk pakatan politik dan nak jadi pembangkang sahaja. Membentuk kerajaan adalah penting, tapi membawa negara ke hadapan juga adalah penting dan untuk berbuat demikian, kita perlu orang-orang yang bagus, mereka yang benar-benar bersih dan ada integriti. Saya percaya di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, kita akan berjaya.

Saya tidak pernah ragu-ragu dengan kepimpinan beliau dan kita akan terus menyokong beliau sepenuhnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN