Pilihlah pemimpin yang luar biasa - Utusan Malaysia

Pilihlah pemimpin yang luar biasa

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SETIAP ahli dan pimpinan UMNO perlu bermuhasabah dan bersatu dari segi pemikiran, hati nurani serta tindakan bagi mengembalikan semula kekuatan parti itu yang sebelum ini menjadi tunjang memartabat agama, bangsa dan negara.

Bagi DATUK SERI MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN, pemilihan UMNO kali ini (sesi 2023-2026) menjadi platform terbaik buat setiap perwakilan memilih kepimpinan yang memiliki faktor wow bagi memastikan parti keramat ini bangkit kembali.

Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD SHOFI MAT ISA menemu ramah calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) itu bagi mendapatkan perspektif beliau, baru-baru ini.

UTUSAN: Apa dimaksudkan dengan faktor wow?
MOHD. SHARKAR: Faktor wow adalah sesuatu yang luar biasa untuk menyegerakan usaha meremajakan UMNO bagi meraih lebih banyak sokongan anak muda, sekali gus mengembalikan sokongan rakyat kepada parti keramat ini.

UMNO tidak boleh kekal ditakuk lama kerana kita kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, jadi adalah penting untuk naib presiden dan MKT yang bakal dipilih merupakan pemimpin yang luar biasa demi memulihkan dan menyumbang khidmat serta keupayaan supaya parti keramat UMNO bangkit kembali.

Apa akan terjadi jika UMNO gagal laksana perubahan?
Kita perlu sedar bahawa sekarang ini kita hanya ada 26 kerusi Parlimen di Dewan Rakyat daripada pernah ada 109 kerusi sebelum ini. Ia menuntut UMNO segera melaksanakan perubahan supaya pimpinan tertinggi parti yang dipilih Sabtu ini benar-benar ikhlas dan setia berjuang dulu, kini dan selamanya demi memartabatkan kembali parti tercinta ini.

Jika tidak mahu ditolak lagi terutama PRU akan datang, UMNO memerlukan anjakan kepemimpinan lebih segar, hebat dan diterima bukan sahaja oleh rakyat tetapi juga seluruh ahli parti ini.

Apa cabaran UMNO ketika ini?
Saya berpandangan UMNO perlu mempunyai imej yang baik dan karakter yang kuat. Diplomasi juga penting. Kerana situasi sekarang memerlukan pemimpin yang boleh duduk semeja dengan parti-parti lain.

Diharap selepas pemilihan parti kali ini, kekuatan dalaman UMNO dapat diperhebatkan untuk menjadi senjata kepada terjemahan sokongan rakyat membabitkan semua peringkat.

Sebagai calon MKT, apa yang ingin Datuk Seri tawarkan?
Saya mengambil keputusan mempertahankan jawatan ini kerana mahu terus menyumbang usaha dan tenaga bagi memantapkan UMNO.

Dengan pengalaman saya sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ketika ini dan di dalam UMNO sehingga kini, saya yakin dapat terus menyumbang idea dan keringat serta bersama-sama dengan pucuk pimpinan untuk memperkukuhkan lagi parti keramat orang Melayu ini.

Untuk mengembalikan kegemilangan parti ini, UMNO memerlukan barisan kepimpinan yang mantap yang mempunyai pelbagai latar belakang dan pengalamannya.

Nasihat kepada perwakilan parti?
Pertama, pilihlah naib presiden dan MKT yang mempunyai jati diri, daya juang dan semangat kesetiaan kepada UMNO walau apa pun badai melanda dan yang lebih penting, setia kepada pimpinan parti.

Kedua, pilih mereka yang boleh bekerja dan yang tahu bagaimana melaksanakan tanggungjawab apabila diberikan tugas tersebut dan yang ketiga adalah mereka yang kita rasakan bahawa dia boleh memberikan apa yang kita sebut sebagai faktor wow tadi.

Ia bermaksud kepimpinan di bawah naib presiden dan MKT ini merupakan pucuk pimpinan yang akan mengendalikan ahli dan parti keramat ini pada PRU16 akan datang yang pastinya lebih mencabar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN