Sebab itu, orang yang hebat akan melakukan tindakan luar biasa. Cetusan daripada fikiran luar biasa boleh menghasilkan kehidupan luar biasa iaitu dari segi menggapai ketenangan, kebahagiaan, kesihatan dan kekayaan.

Formula orang berjaya adalah melakukan perkara yang orang tidak berjaya enggan lakukan. Hal ini adalah kerana manusia terdiri daripada dua golongan. ‘Golongan berjaya’ dan ‘golongan beralasan’.

Ciri-ciri orang yang dalam golongan berjaya adalah seperti berikut: Pertama, mampu melihat masa hadapannya, iaitu dia melihat apa yang dipercayai akan berlaku pada 10, 20, atau 30 tahun akan datang. Hidupnya ada matlamat dan menyasarkannya.

Kedua, ‘golongan berjaya’ sentiasa berfikiran positif. Sedar dirinya unik dan yakin dirinya hebat. Ingatlah, orang yang tidak yakin dirinya hebat bermakna dia tidak yakin dengan kehebatan Allah SWT yang menciptanya. Sentiasa berusaha untuk mencuba sesuatu tindakan baharu untuk jaminan masa hadapannya. Kurangkan bercakap tetapi lebihkan tindakan yang cekap dan mudah pergaulan. Kata Hamka: “Orang yang bijaksana itu dikenali daripada ringkasnya kata-kata dan indahnya pergaulan.”

Ketiga, ‘golongan berjaya’ sentiasa ada niat dan perasaan hendak memberi bukan hendak mendapat. Oleh itu, jika melakukan satu-satu pekerjaan dia membuatnya dengan ikhlas, bersungguh-sungguh dan memberi sebanyak mungkin manfaat tanpa memikirkan berapa banyak manfaat yang diterimanya iaitu dari segi ganjarannya.

Keempat, ‘golongan berjaya’ akan sentiasa melihat dan rezeki itu sangat luas. Justeru, dia sentiasa berlapang dada tidak tamak haloba, sentiasa memberi kerjasama, tidak mahu bersaing dan tidak berasa iri hati apabila tidak berpeluang memperolehnya. Berpegang pada prinsip, kelebihan kita melengkapkan kekurangan orang dan kekurangan seseorang dilengkapkan oleh kelebihan orang lain. Percaya yang hebat hanyalah Allah.

Kelima, ‘golongan berjaya’ sentiasa bersifat positif. Golongan ini percaya dengan berfikiran positif, fizikal akan turut positif. Mereka segera membuang sikap negatif kerana sikap itu boleh memberikan kesan negatif kepada tubuh badan. Analoginya, ambil sebatang besi yang berkarat dan genggam besi itu sekuat-kuatnya. Tentu tangan berasa sakit. Adakah kita akan terus menggenggam besi berkarat itu sampai bila-bila atau segera melepaskannya?

Misalnya, jika kita diumpat atau dihina, adakah perlu merasa marah dan menyimpan dendam? Patutkah perasaan negatif ini disimpan hingga berhari-hari, berminggu-minggu, berbulan-bulan atau bertahun-tahun? Sedangkan orang yang mengumpat, mengata dan mengutuk itu mungkin hanya menggunakan masanya lima minit sahaja untuk memuaskan hati negatifnya dan melunaskan tabiat negatifnya itu.

Keenam, ‘golongan berjaya’ sangat berdisiplin untuk mencapai cita-citanya. Sentiasa boleh mengawal ‘dunia dalaman’ (fikiran dan emosi) yang menentukan keputusan pilihan dan tindakannya dalam mencapai hasil kehidupan. Antaranya, menjadi orang bahagia, berbaik sangka dengan orang, suka bantu orang, memudahkan urusan orang. Hakikatnya, orang yang benar-benar bahagia dalam hidupnya suka akan rahmat Allah.

Sebaliknya, ciri-ciri atau sikap orang yang dalam ‘golongan beralasan’. Pertama, tiada perancangan dan matlamat hidup. Kedua, sentiasa mengutuk diri sendiri dan berasa rendah diri hingga tidak berani mencuba sesuatu yang baharu dan asing buat dirinya. Ketiga, sangat berkira dan suka memberi alasan apabila tidak berjaya, bukan mencari jalan untuk mencapai kejayaan.

Alasan kegagalannya itu selalunya dikatakan berpunca daripada orang lain atau faktor luaran. Keempatsentiasa berasa dunia ini sempit, rezeki sedikit dan peluang terhad. Sehubungan itu dia sentiasa hendak bersaing, kedekut dan sering enggan memberi kerjasama. Kelima, tidak tetap pendirian dan tidak konsisten. Keenam, lambat membuat tindakan serta kerap menukar keputusan. Ketujuh, berfikiran negatif dan sangat emosional.