Premis urut ini adalah antara puluhan rumah urut yang beroperasi secara bebas di satu kawasan di ibu negara. Dalam serbuan pada 16 Mac lalu, seramai 41 wanita warga asing menjalankan aktiviti pelacuran berjaya ditahan bersama-sama beberapa orang penjaga premis warga tempatan.

Hasil soal siasat mendapati premis itu baru sahaja diserbu pihak penguat kuasa dua minggu sebelumnya. Namun, wanita-wanita yang ditahan dalam operasi tersebut didapati terus menjalankan aktiviti persundalan tanpa rasa takut.

Di mana silapnya? Kenapa tindakan serbuan dan tangkapan yang dijalankan pihak penguatkuasaan berkenaan langsung tidak mendatangkan kesan ?

Hasil risikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati rumah-rumah urut ini khususnya yang tidak berlesen mahupun berlesen sebahagian besarnya menawarkan perkhidmatan seks dengan kadar bayaran seperti berikut:
Urutan batin - RM80 - RM120
B2B - RM140 - RM160
Seks - RM160

Kenapa dan apakah puncanya kegiatan pelacuran ini begitu bebas berlaku khususnya di sebalik perniagaan rumah urut/refleksologi/spa/pusat kecantikan?

PR PENGUAT KUASA?

Perlindungan yang diberikan oleh penguat kuasa merupakan faktor utama kepada isu ini.

Agensi-agensi penguatkuasaan ini mengutip wang rasuah secara bulanan bagi melindungi kegiatan itu.

Seorang pengusaha rumah urut terpaksa membayar antara RM1,000 hingga RM10,000 kepada pelbagai agensi penguat kuasa.

Beberapa orang awam seperti samseng kawasan dan PR (orang penghubung) kepada pegawai penguat kuasa turut terlibat mengutip wang rasuah secara bulanan.

Berdasarkan penyelidikan yang dibuat, dianggarkan terdapat lebih 146 pusat urut haram beroperasi di sekitar Kuala Lumpur.

Kesemua pusat urut haram ini dipercayai menjalankan kegiatan pelacuran. Dianggarkan kutipan rasuah yang terlibat ialah sebanyak RM730,000 sebulan. Ini berdasarkan kiraan RM5,000 x 146 pusat.

Dijangkakan bayaran rasuah ini juga melibatkan sekurang-kurangnya 50 peratus rumah urut yang berlesen. Sebanyak 379 lesen rumah urut telah dikeluarkan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

DUIT RASUAH RM1 JUTA SEBULAN

Jika 180 pusat urut berlesen turut membayar RM2,000 sebulan, maka duit rasuah yang bertukar tangan dianggarkan sebanyak RM360,000.

Ini bermakna lebih RM1.09 juta dibayar dalam tempoh sebulan kepada pelbagai agensi. Maka tidak hairanlah kegiatan pelacuran ini terus berlaku tanpa rasa takut kepada tindakan penguatkuasaan.

Antara kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pusat urut:

1. Menyediakan perkhidmatan seks.

2. Menggaji pekerja asing tanpa permit.

3. Pekerja menggunakan pas lawatan sosial untuk bekerja.

4. Membuat sekatan dinding bilik urut menggunakan batu (syarat lesen perlu menggunakan langsir).

5. Menyalahgunakan permit (pusat kecantikan menjalankan aktiviti pelacuran).

Sesungguhnya kesalahan rumah urut dan pelacuran bukan di bawah tanggungjawab SPRM. Namun setelah menerima banyak aduan kerana kegagalan agensi-agensi terlibat bertindak, maka SPRM menyahut cabaran untuk mengetengahkan isu ini agar disahut oleh pihak-pihak bertanggungjawab.


PENYAMARAN

Operasi secara penyamaran (covert operation) ini erupakan strategi yang telah digunakan oleh SPRM bagi menguji tahap integriti (integrity testing) pegawai penguat kuasa.

Operasi seumpama ini telah dijalankan di beberapa negeri sebelum ini, namun didapati agensi-agensi terlibat tidak mengambil iktibar atas perkara sebegini.

Bagi tempoh 2015 hingga 2018, seramai 31 pegawai daripada pelbagai agensi ditangkap dan didakwa menerusi empat operasi di Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur.

Op Jejak dan Op Kota Raya yang dilancarkan oleh SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen kali ini berjaya menahan 41 wanita warga asing.

SPRM pula menahan 14 orang termasuk tujuh pegawai agensi penguat kuasa serta tiga orang awam kerana melindungi pusat-pusat urut haram.

Penahanan itu juga melibatkan empat peniaga kerana membayar wang rasuah bagi melindungi kegiatan menggajikan pekerja asing di premis mereka.

Operasi seumpama ini akan diteruskan dan diperluaskan ke seluruh negara jika aktiviti melindungi kegiatan itu masih berlaku. Tindakan tegas akan dikenakan terhadap ketua jabatan yang melindungi kegiatan kakitangannya.

DATUK SERI AZAM BAKI ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM.