Boleh jadi betul begitu. Tetapi Tumpang melihat dari dekat sistem yang dijalankan mendapati yang penting ialah budaya menghormati undang-undang diamalkan terus menerus. Mula-mula, rakyat agak liat menerima dasar tegas itu tetapi lama kelamaan dasar itu menjadi sebahagian cara hidup yang diterima pakai.

Siapa yang tidak kenal dengan ‘harimau berantai’ Singapura, mendiang Lee Kuan Yew, pengasas Singapura moden.

Tumpang menukilkan nama Kuan Yew dalam kolum ini kerana tiba-tiba kelmarin teringat dengan tindakan nekadnya - selepas membawa keluar republik itu dari Malaysia pada 1965 - menutup sekolah-sekolah dan universiti Cina di Singapura, sebelum kemudian menggantikannya dengan sekolah kebangsaan Inggeris di seluruh Singapura.

Universiti pula digantikan sebuah Universiti Cina dengan University Nasional Singapura berpengantar bahasa Inggeris.

Meskipun ini dilakukan serentak dengan penutupan sekolah Melayu dan Tamil, tetapi menutup sekolah kaumnya sendiri yang merupakan majoriti di Singapura memerlukan keazaman dan keberanian untuk bertindak luar biasa - kemungkinan menghadapi risiko kekacauan dan rusuhan besar.

Untuk menghapuskan Universiti Cina dalam tahun 1980, Nanyang University dipaksa bergabung dengan University Singapore bagi mewujudkan National University of Singapore.

Orang India Singapura menangis apabila sebuah sekolah menengah Tamil tertua di Singapura ditutup dalam tahun 1982 kerana sekolah itu merupakan benteng terakhir bagi bahasa Tamil di Singapura. Mereka telah membinanya dalam 1946 menerusi darah, keringat dan air mata dan mengadakan tabung sumbangan bulanan bagi penyelenggaraannya.

Kebanyakan mereka ialah penjual akhbar Tamil yang melihat penutupan itu bererti gelaplah masa depan bahasa Tamil.

Pejuang bahasa cina ditakutkan

Apa yang mereka takuti benar-benar berlaku di Singapura waktu itu. Lapan minggu selepas perpisahan dari Malaysia dalam Oktober 1966, Dewan Perniagaan Cina yang disokong oleh kesatuan guru-guru Cina, pengarang-pengarang akhbar Cina dan pemimpin-pemimpin berbagai-bagai persatuan suku kaum Cina menggesa kerajaan Singapura memberikan jaminan untuk menjadikan bahasa Cina sebagai salah satu bahasa rasmi di Singapura.

Belum pun kempen itu bermula, Kuan Yew telah mencantasnya dengan memberitahu mereka semua bahasa utama di Singapura mempunyai taraf yang sama walaupun sebenarnya pada masa itu beliau memang telah bercadang untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.

Lima hari selepas pengumuman itu, dengan tujuan untuk menakutkan pejuang-pejuang bahasa Cina yang mewakili empat dewan Cina, Kuan Yew memanggil dan memberi amaran kepada mereka di bawah suluhan cahaya lampu televisyen bahawa beliau tidak akan membenarkan sesiapa juga mengeksploitasi bahasa Cina sebagai isu politik. Dengan itu tamatlah suatu percubaan untuk mengangkat martabat bahasa Cina. Tetapi beberapa orang pemimpin pelajar yang berasal dari Malaysia telah meneruskan tindakan bantahan dengan mengetuai tunjuk perasaan pelajar-pelajar Nanyang University dan juga Ngee Ann College di hadapan pejabatnya. Kuan Yew mengarahkan mereka ditangkap dan dihantar pulang ke Malaysia.

Pada 1987 bahasa Inggeris secara rasmi menjadi bahasa pengantar di semua sekolah kebangsaan di Singapura. Tidak ada lagi sekolah Cina, Melayu dan India. Aliran pemikiran pendidikan Inggeris telah meruntuhkan sentimen perkauman, merasionalisasikan sikap, mengawal pengucapan dalam masyarakat berbilang kaum dan menjadi benteng pertahanan kepada masyarakat Singaporean Singapore. Maka itu orang Cina Malaysia yang kebanyakannya masih kecinaan dalam cara hidup mereka berasa terasing dan sukar untuk menyesuaikan diri dengan generasi baharu Singapura.

CINA MALAYSIA BERUNTUNG

Selepas merdeka, kerajaan Malaya juga telah memperkenalkan Dasar Pelajaran Kebangsaan dengan meningkatkan taraf sekolah kebangsaan pengantar Melayu ke peringkat menengah dan universiti di samping mengekalkan sekolah aliran Cina dan Tamil di peringkat rendah sahaja.

Begitu rentetan kisah sedih sekolah Cina dan Tamil di Singapura suatu ketika.

Apabila isu-isu semasa tanah air diselubungi dengan desakan puak cauvinis termasuklah berkisar polemik tulisan khat Jawi, Tumpang akui sedikit terkilan.

Hakikatnya masyarakat Cina Malaysia begitu beruntung dari Singapura dan satu lagi negara tetangga, Indonesia.

Di Indonesia, walaupun negara itu mempunyai etnik minoriti Cina yang berjumlah besar, negara itu menerapkan sistem sekolah aliran tunggal yang menggunakan bahasa Indonesia untuk pengajaran.

Di bawah rejim bekas presiden Allahyarham Suharto, kerajaannya menghalang budaya Cina ditonjolkan termasuk nama yang berbunyi Cina bagi menyerapkan identiti Cina dengan identiti Jawa-Melayu, penduduk majoriti Indonesia.

Bila timbul ‘kegawatan’ yang bersangkut-paut semangat kebangsaan hari ini, Tumpang teringat idea yang pernah dicetuskan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1997 sehingga menubuhkan Sekolah Wawasan di mana semua pelajar dari tiga aliran bahasa yang berbeza akan ditempatkan di sebuah kampus tunggal di mana mereka boleh bergaul dengan satu sama lain.

Mengikut konsep itu, terdapat tiga buah sekolah di dalam satu kampus yang menggunakan bahasa ibunda mereka di kelas. Tetapi untuk aktiviti lain seperti sukan dan perhimpunan pagi, mereka akan bersatu dan menggunakan bahasa Melayu.

Sekolah Wawasan pertama mula beroperasi pada 2002 di Subang Jaya, di barat Kuala Lumpur dan waktu itu dibuka beberapa lagi.

Tetapi sayangnya konsep sekolah sedemikian yang baik, gagal dari aspek pelaksanaannya. Lagipun masyarakat Cina tidak minat.

Waima apa pun, Tumpang cukup yakin supremacy atau keagungan mana-mana pemerintahan tidak akan dinafikan jika pentadbiran berkenaan dirasai hingga ke pinggan makan dan bilik tidur.